JANGAN PERNAH PUTUS ASA MENCARI ILMU, MESKI SUKAR, KERANA ADA “FUTUH” YANG ALLAH BERIKAN
Oleh: KH Hafidz Abdurrahman
Banyak kisah pelajar atau pencari ilmu yang mengalami kesusahan dalam mencari ilmu. Susah untuk menghafal, tidak faham apa yang dipelajari, dan sebagainya. Meski mereka terus-menerus menghafal, dan tak pernah tidak hadir ke majlis ilmu, tetapi mereka tetap belum mendapatkan ilmunya.
Kisah bagaimana murid Imam Abu Hanifah, yang kemudian menjadi ulama hebat, menggantikan gurunya, Abu Yusuf, penulis kitab al-Kharaj, yang ditulis atas permintaan Khalifah Harun ar-Rasyid, ternyata sebelumnya adalah murid yang susah memahami dan menghafal pelajaran. Tapi, disebabkan ketekunannya dia diberi “Futuh” oleh Allah, sehingga akhirnya semuanya menjadi mudah, dan akhirnya menjelma menjadi ulama hebat.
Kisah bagaimana Rabi’ bin Sulaiman, murid Imam Syafie, yang telah khatam 40 kali kitab ar-Risalah karya gurunya, tetapi tetap tidak juga faham, sampai akhirnya beliau banyak bermunajat kepada Allah, dan akhirnya mendapatkan “Futuh” sehingga menjelma menjadi ulama hebat.
Ibn al-Imad, dalam kitabnya, Syadzarat ad-Dzahab fi Akhbari Man Dzahab, menceritakan kisah al-Allamah al-Imam Sa’du ad-Din at-Taftazani, yang menulis banyak kitab dalam bidang balaghah, terutama Ma’ani dan Bayan, dan banyak kitab yang lain, termasuk akidah, fiqh, tafsir dan sebagainya, ternyata awalnya adalah pelajar atau murid yang mengalami kesukaran menghafal dan belajar.
Tetapi beliau tidak pernah berputus asa. Disebabkan kesungguhannya itu, beliau sampai didatangi “utusan” Rasulullah, dan diajak menemui Nabi, sampai akhirnya didoakan oleh Nabi, dan setelah kembali ke daerahnya beliau tiba-tiba menjadi orang yang mampu menghafal dan memahami pelajaran dengan sempurna, sehingga menjelma menjadi ulama hebat yang dikenal dengan berbagai karyanya dalam bidang balaghah.
Beliau menulis Syarah Miftah al-Ulum, yang ditulis oleh al-Sakkaki, kemudian membuat ringkasannya, dengan tajuk al-Mukhtashar Syarah Talkhish al-Miftah. Kedua kitab ini merupakan kitab terbaik dalam bidang balaghah, terutamanya Ma’ani dan Bayan.
Siapa sangka, kitab ini ditulis oleh orang yang sebelumnya mengalami kesukaran menghafal, dan memahami apa yang disampaikan gurunya, bahkan mempunyai kesukaran dalam berbicara.
#mencariilmu #ilmuagama #sabar #jombelajar #jomngaji