
[Keluarga] Wahai para Suami, Mendidik Isteri Adalah Kewajipanmu
Penulis: Najmah Saiidah
Dalam berumah tangga, seorang suami memiliki kewajipan-kewajipan yang mesti ditunaikan kepada isterinya. Kewajipan tersebut bukan hanya berkaitan dengan nafkah—pakaian, makanan, dan tempat tinggal—sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang. Akan tetapi, sesungguhnya terdapat kewajipan penting yang sebenarnya tidak kurang penting dan telah dianggap remeh atau bahkan dilalaikan oleh para suami, iaitu mendidik dan mengajarkan perkara atau kewajipan-kewajipan dalam agama kepada isterinya.
Hal ini sebenarnya sangat berkait erat dengan fungsi kepimpinan lelaki atau suami atau ayah dalam keluarga. Allah SWT menjelaskan tanggungjawab terhadap keluarga ini dalam firmanNya :
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” [TMQ at-Tahrim (66): 6].
Secara umum subjek ayat ini adalah setiap mukmin. Namun, perintah ini juga mengarah kepada orang yang paling bertanggungjawab terhadap keluarga, iaitu ayah. Ketua keluarga yang berkewajipan untuk memastikan diri dan keluarganya dijauhkan daripada api neraka. Hal ini menunjukkan bahawa orientasi pengawasan tersebut bukan hanya pengawasan yang bersifat duniawi, tetapi juga bersifat ukhrawi.
Fungsi Kepimpinan Suami dalam Keluarga
Kepimpinan lelaki dalam rumah tangga bererti bahawa ayah memiliki tanggungjawab terhadap keluarga yang dipimpinnya, ke mana akan dibawa isteri dan anak-anaknya kelak?
Allah SWT berfirman :
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”[TMQ an-Nisaa‘ (4): 34].
Ibnu Kathir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “árrijalu qawwamuna ‘ala an-nisa” adalah lelaki itu merupakan pemimpin bagi kaum perempuan dalam erti pemimpin, ketua, hakim, dan pendidik bagi perempuan dikala mereka menyimpang.
“Bima fadhalallahu ba’dhahum ‘ala ba’dhin” adalah kerana lelaki itu lebih utama kedudukannya daripada perempuan, dan lelaki lebih baik daripada perempuan, maka kenabian pun dikhususkan kepada lelaki. Begitu pula jawatan ketua negara, kehakiman, dan lain-lain.
Imam Ath-Thabari berkata, “Maksud ayat ini adalah bahawa lelaki merupakan pelindung (pemimpin) bagi kaum perempuan dalam mendidik dan mengajak mereka kepada apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Hal itu disebabkan oleh kelebihan yang telah diberikan kepada lelaki atas perempuan, dari segi mahar, nafkah, perbelanjaan rumah tangga, dan yang lainnya sehingga mereka menjadi pemimpin bagi kaum perempuan. Mereka merupakan pelaksana amanah dari Allah SWT untuk kaum perempuan.”
Ibnu Abbas RA berkata, “Ayat ini bermakna bahawa lelaki adalah pemimpin bagi kaum perempuan, dan perempuan diwajibkan untuk mentaati suaminya dalam perkara yang telah Allah SWT perintahkan kepada mereka. Mentaati suami adalah dengan berbuat baik kepadanya, menjaga hartanya, serta memuliakan suami atas nafkah dan perbelanjaan yang telah diberikannya kepada isteri kerana Allah SWT telah melebihkan suami dengan amanah itu.”
Imam Adh-Dhahak pula berkata, ayat ini bermakna bahawa lelaki adalah pemimpin bagi kaum perempuan. Mereka memerintahkan kepada para isteri untuk mentaati Allah SWT. Jika mereka enggan untuk mentaatinya, maka kaum lelaki boleh memukul mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan (sehingga membuat isteri cacat), dan Allah SWT telah melebihkan lelaki atas perempuan lantaran nafkah dan perbelanjaan yang diberikannya kepada mereka.”
Dengan kesempurnaan hikmahNya, Allah SWT, telah mengangkat suami sebagai pemimpin. Dalam menjalankan fungsinya ini, seorang suami tidak boleh bersifat jahil, dan kaku terhadap keluarganya. Namun dia mesti mempunyai akhlak yang mulia dan penuh kasih sayang. Dia mesti mendidik dan membentuk isterinya dengan baik, sesuai dengan tuntunan syariat Islam.
Kewajipan Suami Mendidik Isteri
Adakalanya, dalam sebuah rumah tangga, isteri melakukan suatu kesalahan atau sesuatu yang dilarang oleh agama, maka hal itu menjadi tanggungjawab suami untuk menegur, mengingatkan, dan mengarahkan isterinya kembali ke jalan yang lurus. Untuk melakukan kewajipannya dalam hal mendidik isteri, Islam telah memberikan panduan dan arahan bagi kaum suami. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, janganlah dia menyakiti jirannya. Berwasiatlah kepada wanita dengan kebaikan. Sebab mereka diciptakan dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atasnya. Jika engkau meluruskannya, engkau akan mematahkannya. Dan jika engkau membiarkannya, dia akan tetap bengkok. Oleh kerana itu, berpesanlah kepada wanita dengan kebaikan.”
Begitu pula pesan Nabi SAW kepada Malik bin Huwairits RA, setelah Malik dan rombongannya datang ke Madinah untuk mempelajari agama secara khusus selama lebih kurang 20 hari. Ketika mereka hendak pulang, Nabi SAW berpesan,
وَمُرُوهُمْ وَعَلِّمُوهُمْ فِيهِمْ فَأَقِيمُوا أَهْلِيكُمْ، إِلَى ارْجِعُوا
“Kembalilah kepada isterimu, tinggallah di tengah-tengah mereka, ajarkanlah mereka, dan perintahkanlah mereka.” [HR Bukhari dan Muslim].
Daripada hadis ini sesungguhnya banyak perkara yang boleh kita ambil pelajaran, sabdanya, وَعَلِّمُوهُمْ (Ajarkanlah mereka), berkaitan dengan pengajaran (agama) secara teori. Isteri dididik dan diajarkan tentang kewajipan-kewajipan yang berkaitan dengan perkara agama, contohnya solat, menutup aurat, adab berbicara dan keluar rumah, mendidik anak sesuai dengan syariat, dan sebagainya. Mereka juga perlu diajar mengenai haid dan nifas, kerana terdapat banyak kewajipan agama yang berkaitan dengan perkara ini.
Sedangkan perkataan Nabi SAW , وَمُرُوهُمْ (Perintahkanlah mereka), ini lebih berkaitan dengan mempraktikkan atau mengamalkan. Hal ini kerana boleh jadi tidak semua isteri yang sudah diajarkan konsep-konsep Islam, kemudian mengamalkannya. Kewajipan suami adalah mengingatkan, menegur, dan memerintahkan isteri ketika dia menemui isterinya lalai dalam melaksanakan perkara-perkara yang wajib baginya. Syeikh ‘Abdul ‘Adzim Al-Badawi dalam kitabnya Al-Wajiiz fi Fiqhis Sunnah wal Kitaabil ‘Aziiz berkata, “Di antara hak isteri yang menjadi kewajipan suami adalah suami memerintahkan isteri untuk menegakkan agamanya dan menjaga solatnya. Kerana Allah SWT memerintahkan suami untuk melaksanakan kewajipan ini, sebagaimana firmanNya :
وَأْمُرْ اَهْلَكَ بِالصَّلٰوةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَاۗ لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًاۗ نَحْنُ نَرْزُقُكَۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوٰى
“Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertaqwa. ”[TMQ Taha [20]: 132]
Oleh kerana itu, Nabi SAW berpesan dalam sabdanya, فِيهِمْ فَأَقِيمُوا (“Tinggallah di tengah-tengah mereka.”) Maksudnya para suami diperintahkan untuk meluangkan masa mendidik dan mengajarkan perkara-perkara yang penting dalam agama kepada isteri-isterinya mengikut kemampuannya. Jangan sampai melalaikannya, kerana suami wajib menjaga isteri dari api neraka dengan iman dan amal soleh. Sedangkan amal soleh itu mesti didasari dengan bekalan ilmu dan pengetahuan sehingga memungkinkan bagi isteri untuk menunaikan dan melaksanakannya sesuai dengan apa yang dituntut oleh syariat.
Syeikh Mustafa al-‘Adawi dalam kitabnya Fiqh Ta’aamul baina Az-Zaujain juga menyatakan bahawa, “Seorang suami hendaklah mendidik (mengajarkan) isterinya perkara-perkara yang bermanfaat untuk urusan agama dan dunianya.”
Lalu, bagaimana jika suami tidak mampu melaksanakan kewajipan ini kerana ada uzur syarie. Apa yang mesti dilakukan?
Bagaimana Jika Ada Uzur Syarie sehingga Kewajipan Tidak dapat ditunaikan?
Tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi dalam sistem sekuler kapitalis saat ini, ramai para suami yang terpaksa tinggal berasingan daripada isteri dan anak-anaknya kerana harus bekerja di tempat yang jauh, bahkan ada yang tinggal serumah, tetapi waktunya habis untuk mencari nafkah. Bahkan, ada suami yang mungkin kurang ilmu dan pemahaman agamanya berbanding isterinya. Namun situasi ini, tidak bererti suami boleh berlepas diri dari kewajipan ini.
Jika suami tidak mampu mengajarkan agama kepada isteri kerana adanya uzur syarie, maka kewajipan suami adalah mencarikan seorang guru atau ustazah yang boleh mengajarkan ilmu agama kepada isterinya, atau boleh juga melakukan kajian bersama dengan guru tersebut. Suami juga boleh mengizinkan isterinya untuk menghadiri majlis ilmu (pengajian) sehingga isteri boleh belajar ilmu agama. Sekiranya ada keperluan mendesak untuk meminta fatwa berkaitan dengan hal-hal yang dialami isteri, maka kewajipan suami adalah bertanya kepada orang yang berilmu tentangnya.
Syeikh Abdul Adzim al-Badawi menyatakan, “Hak isteri yang menjadi kewajipan suami adalah suami mengajarkan isteri perkara-perkara dharuri (yang wajib diketahui) berkaitan dengan ilmu agama, atau suami mengizinkan isteri untuk menghadiri majlis ilmu. Keperluan isteri untuk memperbaiki agamanya dan membersihkan (menyucikan) jiwanya tidaklah lebih remeh dibandingkan keperluan isteri terhadap makanan dan minuman yang wajib dipenuhi oleh suami.”
Celaan bagi Suami yang Tidak Mendidik Isterinya
Begitulah pentingnya kewajipan suami dalam mendidik dan membentuk isteri, di mana banyak hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan adanya celaan bagi suami yang melalaikan kewajipan ini. Ini bererti Islam sangat menitikberatkan tugas suami dalam mendidik isterinya. Walau bagaimanapun, isteri adalah ibu bagi anak-anaknya di mana dia memiliki kewajipan untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya.
Bagaimana nasib generasi muslim kelak, jika para ibu tidak mampu mendidik dan membentuk anak-anaknya dengan baik sesuai dengan tuntunan Islam? Oleh sebab itu, agar seluruh anggota keluarganya selamat baik di dunia mahupun di akhirat, maka suami tidak boleh mengabaikan kewajipannya ini dan jangan sampai seorang suami meremehkan perkara ini.
Nabi SAW telah mengingatkan para suami dengan sabdanya, “Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu, barang siapa tidak memerintahkan solat kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka dia telah mengkhianati kepada Allah dan RasulNya. “
Dalam hadis lainnya, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada seseorang yang menemui Allah SWT dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang tidak sanggup mendidik keluarganya.”
Rasulullah SAW bersabda, “Pertama kali perkara yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang di hari kiamat adalah keluarganya (iaitu isteri) dan anak-anaknya. Mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami, ambillah hak-hak kami (tanggungjawab) kami dari orang ini, kerana sesungguhnya dia tidak mengajarkan kepada kami tentang urusan agama kami. Dia memberi makan kepada kami berupa makanan dari hasil yang haram, dan kami tidak mengetahui.’ Maka orang itu disiksa lantaran mencari barang yang haram, sehingga mengelupas dagingnya, kemudian dibawa ke neraka.”
Khatimah
Sesungguhnya sudah jelas bahawa seorang suami sebagai pemimpin keluarga berkewajipan untuk membimbing anak dan isterinya untuk taat kepada Allah SWT, mengajarkan mereka apa yang menjadi kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Oleh kerana itu, seorang suami mesti mengajarkan ilmu agama, baik kepada anak mahupun isterinya. Jika seorang suami tidak begitu faham dalam masalah agama, dia wajib mencarikan guru untuk memberikan bimbingan ilmu agama pada isterinya.
Ini semua menunjukkan betapa pentingnya ilmu agama dalam keluarga kerana agama adalah sarana untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan untuk menjauhkan kita dari siksa api neraka kelak di akhirat. Semoga Allah SWT menjadikan kita sebagai orang-orang yang diberi kefahaman dalam agama dan keluarga kita adalah keluarga yang menguasai hukum-hukum agama dan akan dikumpulkan di dalam syurgaNya kelak. Aamiin ya Mujibassailin.