[Nafsiyah] Berakhirnya kepimpinan
Penulis kitab al-Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam mengatakan bahawa masalah paling berat yang telah memalingkan kaum muslim, serta penyakit paling parah yang mereka deritai dalam kehidupan mereka adalah masalah pemikiran yang terkait dengan persoalan pemerintahan dan ekonomi kerana pemikiran-pemikiran inilah yang paling banyak diterima dan disambut dengan penuh kebanggaan oleh kaum muslim.
Jelas bagi kita bahawa dalam mukadimah kitab tersebut, penulis memiliki dua pandangan :
(1) Pandangan pertama, beliau mampu melihat masa lalu di mana umat Islam hidup untuk mengambil pengajaran daripadanya.
(2) Pandangan kedua, beliau menantikan masa depan yang jauh di mana umat Islam akan hidup, dia seolah-olah dapat melihat realitinya.
Daripada penjelasan tersebut, sebenarnya menunjukkan bahawa membina sistem ekonomi dalam rangka rakyat dan negara memerlukan kewujudan pemimpin dan kepimpinan politik yang produktif dan inovatif.
Kepimpinan terbahagi kepada tiga jenis:
(1)Qiyadah Dzakiyyah (Kepimpinan yang Bijaksana)
(2)Qiyadah Mulhimah (Kepimpinan yang Memberikan Inspirasi)
(3) Qiyadah Mubdi’ah (kepimpinan yang Kreatif dan Inovatif)
Nampaknya kepimpinan jenis ketiga adalah yang terbaik dalam melaksanakan sistem ekonomi dan menyelesaikan masalah ekonomi sedia ada. Qiyadah mubdi’ah adalah seorang pemimpin yang genius dengan model kepimpinan yang unik kerana beliau bukan sahaja orang yang terbaik dan terulung, malah mampu membawa perkara-perkara baru yang belum diketahui dan mampu membawa mereka ke arah itu. Dia tidak menggunakan apa yang ada pada mereka untuk menjadi yang terbaik, tetapi dia mampu mengubahnya dan membuka jalan baru, atau mendorong mereka untuk mengharunginya, walaupun ianya sukar, memenatkan, memerlukan kerja keras, dan penuh dengan pengorbanan.
Lebih dari itu, qiyadah mubdi’ah sanggup menjadikan perjalanan mereka yang menempuhi jalan yang penuh onak dan duri dilalui dengan gembira. Dia bukan sahaja mampu mengharungi krisis dalam keadaan biasa, tetapi mampu menghadapi masalah, memberikan maklum balas terhadap peristiwa dan krisis, dan menyalakan api semangat dalam kesusahan. Beliau menjalani kehidupannya demi berjihad di medan jihad, kerana beliau yakin bahawa kehidupan yang sebenar adalah kehidupan berjihad.
Akhirnya kita boleh merenungi sebuah riwayat,
نَجَا أَوَّلُ هَذِهِ الأُمَّةِ بِالْيَقِيْنِ وَالزُّهْدِ [أخرجه الحافظ ابن أبي الدنيا في كتاب اليقين]
“Umat yang pertama dahulu berjaya kerana keyakinan dan kezuhudannya.” [Dikeluarkan oleh al-Hafizh Ibn Abi ad-Dunya dalam kitabnya, Kitab al-Yaqin]
Maksudnya, kentalnya keyakinan mereka akan fikrah dan thariqah Islam, serta kezuhudan terhadap dunia dengan kemampuan mereka mengendalikan dan menggenggamnya bagi mencapai tujuan yang abadi iaitu negeri Akhirat.
Sumber: muslimahnewsID