[Tokoh Inspirasi] Iyas bin Mu’awiyah adz-Dzaki, Simbol Kepintaran
Dzaki bermaksud pintar. Iyas bin Mu’awiyah RA digelar sebagai Adz-Dzaki kerana beliau seorang yang sangat pintar. Iyas dilahirkan pada 46 H di daerah Yamamah Najed. Kemudian, beliau berpindah ke Basrah bersama seluruh keluarganya. Di situlah beliau membesar dan belajar. Beliau rajin pergi kepada ulama untuk menimba ilmu. Beliau juga sangat gembira untuk membincangkan tentang ilmu yang bermanfaat.
Kepintarannya telah dilihat sejak kecil. Walaupun masih kecil, orang sering membicarakan tentang kehebatan dan kepandaiannya. Beliau juga seorang yang berani mengemukakan pendapat, meluruskan pendapat orang lain yang kurang tepat, dan menyanggah pendapat orang lain yang salah, walaupun berhadapan dengan orang dewasa.
Semasa beliau masih kecil, dia pernah ikut belajar ilmu hisab (sejenis ilmu matematik) di sekolah dengan pengajar orang Yahudi ahlul zimmah. Kawan-kawan beliau juga banyak dari kalangan Yahudi.
Suatu hari guru Yahudi tersebut berkata kepada kawan-kawan Iyas, “Tidakkah kalian hairan dengan umat Islam? Mereka berkata di syurga boleh makan, tetapi tidak akan membuang air besar, mana mungkin?”
Iyas kemudian bertanya, “Tuan, adakah semua yang dimakan di dunia ini keluar menjadi kotoran?”
“Sudah tentu tidak,” jawab si guru.
“Kalau begitu ke mana perginya yang tidak keluar itu?” tanya Iyas.
Guru Yahudi menjawab, “Diserap oleh tubuh.”
Iyas pun berkata, “Lalu dengan sebab apa kalian mengingkari? Jika makanan yang kita makan di dunia sahaja sebahagiannya hilang diserap oleh tubuh, maka tidak mustahil di syurga semuanya akan diserap oleh tubuh.”
Guru Yahudi segera terdiam seribu bahasa. Tetapi kemudian dia berdoa, “Semoga kamu mati sebelum dewasa.” Namun, doa guru Yahudi itu tidak dimakbulkan. Iyas meninggal dunia ketika berusia 76 tahun.
Kepintaran Iyas bin Mu’awiyah RA sangat luar biasa. Ramai ibu bapa yang belajar dengan beliau. Ketika remaja beliau juga menjadi pemimpin bagi orang yang sudah tua dan berilmu.
Pada suatu hari, ketika Abdul Malik bin Marwan mengunjungi Basrah sebelum menjadi khalifah, dia melihat Iyas yang masih remaja menjadi pemimpin, manakala di belakangnya ada empat orang penghafal Al-Quran yang sudah berjanggut panjang dan berpakaian formal.
Abdul Malik berkata, “Celaka orang-orang berjanggut ini, tidak adakah orang tua lain yang boleh memimpin, sehingga anak sekecil ini dijadikan pemimpin mereka?” Lalu dia menoleh kepada Iyas dan bertanya, “Berapa umurmu wahai anak muda?”
Iyas menjawab, “Umurku, wahai Amir. Semoga Allah SWT. panjangkan umur anda sama seperti umur Usamah bin Zaid ketika diangkat oleh Rasulullah SAW. sebagai panglima tentera yang di dalamnya terdapat Abu Bakar dan Umar.”
Abdul Malik berkata, “Kemarilah anak muda, semoga Allah memberkatimu.”
Pada kesempatan lain. Orang ramai keluar untuk mencari hilal Ramadhan yang dipimpin langsung oleh sahabat utama Anas bin Malik al-Anshari RA yang sudah berusia lanjut iaitu hampir 100 tahun. Mereka tidak menemukan hilal di langit. Kemudian Anas bin Malik RA berkata, “Aku telah melihat hilal, itu dia!”
Ketika itu Iyas memerhatikan Anas, rupa-rupanya ada sehelai rambut panjang yang berada di keningnya menjulur ke tubir matanya. Iyas kemudiannya meminta izin daripada Anas untuk merapikan rambut yang menjulur tersebut. Iyas lalu berkata, “Adakah anda masih melihat hilal itu sekarang, wahai sahabat Rasulullah SAW?”
Anas RA menjawab, “Tidak, aku tidak melihatnya. Aku tidak melihatnya.”
Berita tentang kepintaran Iyas sampai ke seluruh negara. Ramai orang yang datang kepada beliau untuk belajar, ada juga yang hanya mahu berdebat. Di antaranya adalah Duhqan, seperti jawatan Datuk Bandar di kalangan orang Parsi dahulu, yang datang ke majlisnya dan bertanya, “Wahai Abu Wa’ilah, bagaimana pendapatmu tentang minuman yang memabukkan?”
“Haram,” jawab Iyas.
“Dari sisi mana dikatakan haram, padahal ia tidak lebih dari kurma dan air yang diproses, dan kedua-duanya adalah halal?” tanya Duhqan.
Iyas menjawab, “Apakah engkau sudah selesai bicara, wahai Duhqan, atau masih ada yang hendak engkau katakan?”
“Sudah, silakan bicara,” jawab Duhqan.
Iyas berkata, “Kalau aku ambil air dan aku siramkan ke mukamu, apakah engkau akan merasa sakit?”
“Tidak,” kata Duhqan.
“Jika aku ambilkan segenggam pasir dan aku lemparkan kepadamu, adakah terasa sakit?”
“Tidak.”
“Sekarang jika aku mengambil segenggam simen dan aku lemparkan kepadamu, adakah terasa sakit?”
“Tidak.”
“Jika aku ambil pasir, lalu aku campurkan dengan segenggam simen, lalu aku tuangkan air di atasnya dan aku campurkan, lalu aku jemur sehingga kering, kemudian aku pukul atas kepalamu, adakah engkau merasa sakit?” tanya Iyas.
“Benar, bahkan boleh membunuhku,” jawab Duhqan.
Iyas berkata, “Begitu juga dengan khamar. Apabila engkau kumpulkan bahagian-bahagiannya, lalu engkau mengolahnya menjadi minuman yang memabukkan, maka ia menjadi haram.”
Masya Allah tabarakallah, demikianlah cerita singkat tentang kepintaran Iyas bin Mu’awiyah ra. dan digelar sebagai Adz-Dzaki.
Sumber: Abu Umar Abdillah. 2018. “Masa Kecil para Ulama”. Cetakan ketiga. Wafa Press. Klaten
#KisahInspirasi
#IyasBinMu’awiyahAdzDzaki
#SimbolKepintaran
#BeraniBersuara
#BerilmuDanHebat