[Fiqh] Melaburkan Zakat (Istithmar az-Zakat), Adakah Boleh?
Oleh: Ustaz M. Shiddiq al-Jawi
Adakah dibenarkan melaburkan dana zakat yang dikutip oleh amil? Sebagai contoh, amil zakat menggunakan dana zakat sebagai modal dalam mudharabah dengan pihak lain, atau jenis pelaburan lain (F, Yogya).
Jawapan:
Pada pendapat kami, dana zakat tidak sah secara syarie diproduktifkan (dilaburkan) oleh amil dalam apa jua cara dan bentuk. Ini kerana :
(1) dana zakat bukan milik amil, tetapi lapan asnaf (Surah At-Taubah (9): 60). Telah maklum dalam syariat bahawa mereka yang tidak memiliki bermakna tidak boleh men-tasharruf-kan (*). Men-tasharruf-kan sesuatu yang tidak dimiliki adalah batil menurut syarak. Oleh kerana itu, Nabi SAW bersabda, “Janganlah kamu menjual apa yang bukan milikmu (laa tabi’ maa laysa ‘indaka).” [HR Ahmad]
(2) Amil wajib mengagihkan dana zakat kepada lapan asnaf tersebut. Jika dilaburkan dana zakat bermakna amil meninggalkan kewajipan tersebut dan dia berdosa. Suatu kewajipan pada dasarnya tidak boleh ditinggalkan, kecuali untuk melaksanakan kewajipan lain yang lebih utama. Kaedah fiqh menyatakan, “Laa yutraku waajib illa li waajib (Sesuatu kewajipan tidak boleh ditinggalkan melainkan untuk melaksanakan kewajipan lain (yang lebih utama).” (Imam as-Suyuthi, Al-Asybah wa An-Nazha`ir). Seandainya fatwa yang menyatakan pelaburan zakat adalah mubah (boleh) itu benar, maksudnya amil telah meninggalkan yang wajib, demi melakukan yang mubah.Sudah tentu tindakan ini tidak benar secara syarie.
(3) Jika amil sanggup menanggung risiko pelaburan zakat, tidak bermakna amil boleh melaburkannya. Ini kerana boleh atau tidak amil melabur dana zakat tidak bergantung kepada sikap amil yang sanggup atau tidak sanggup menanggung risiko, tetapi bergantung kepada terdapat nas/dalil syarie yang menghalalkan pelaburan zakat oleh amil. Padahal tidak ada satu pun dalil yang membolehkan amil melaburkan zakat, baik dari al-Quran, Sunnah, Ijmak, mahupun Qiyas.
(4) Jika menurut amil penangguhan agihan zakat tidak mendatangkan dharar (bahaya) kepada lapan asnaf-kerana dana zakat dilaburkan dahulu oleh amil-tidak bermakna kemudian amil boleh melaburkan zakat. Ini kerana boleh atau tidak amil melaburkan dana zakat tidak bergantung kepada wujudnya dharar ke atas lapan asnaf tersebut, tetapi bergantung kepada ada tidaknya nas/dalil syarie yang menghalalkan pelaburan zakat oleh amil. Padahal, seperti yang telah kami tekankan, dalil ini tidak ada. Baik dari al-Quran, Sunnah, Ijmak, ataupun Qiyas. (Jika ada, sila maklumkan kepada kami).
Kami memahami bahawa zakat adalah sebahagian daripada ibadat, bukan sebahagian daripada muamalah, maka kaedah-kaedah fiqh yang menegaskan: al-ashlu fi al-‘ibadah al-butlan hatta yadulla dalil ‘ala al-hill (hukum asal ibadat itu batal/tidak dibenarkan sehingga ada dalil yang menyatakan halalnya) adalah berlaku kepada hukum-hukum zakat.
Kami telah meneliti pelbagai pendapat berkenaan dengan bolehnya menanam dana zakat, atau yang dalam bahasa Arab dikenal dengan tauzhiif az zakat (memproduktifkan zakat) atau istithmar az zakat (menaburkan zakat), baik literatur dalam bahasa Indonesia mahupun bahasa Arab.
Namun setelah diteliti dan dikaji, kami tidak bersetuju dengan fatwa-fatwa sama ada dari ulama kontemporari atau institusi fiqh yang membenarkan pelaburan zakat, seperti Yusuf al-Qardhawi, Shalah as-Shawi dan Abdullah Mushlih, Wahbah az-Zuhaili, Ali as-Salus, Majma’ Fiqh Islami, dan sebagainya.
Jika pada dasarnya kami tidak bersetuju dengan aktiviti pelaburan zakat, maka secara automatik kami juga tidak bersetuju dengan semua cabang tindakan yang lahir dari sikap utama (contohnya kewujudan unit perniagaan dan program amil, pemanfaatan keuntungan daripada hasil unit perniagaan amil, dan sebagainya).
Pada pendapat kami, amil pada dasarnya adalah institusi ibadah maliyah sosial, bukan institusi muamalah perniagaan. Jadi meletakkan amil dalam rangka kerja institusi muamalah perniagaan, bagi kami, adalah satu paksaan yang tidak wajar dan telah salah sejak awal. Pada pendapat kami, kesalahan ini bukan semata-mata kesalahan praktikal dalam bidang aksiologi (kesalahan amali oleh muqallid), tetapi sudah menjadi kesalahan paradigmatik konsep dalam bidang epistemologi (kesalahan metod/kaedah ijtihad oleh mujtahid). Wallahua’lam.
(*) tasharruf ialah perbuatan atau perkataan yang mempunyai akibat hukum (qaulun aw fi’lun lahu athar hukm). Ringkasnya, tasharruf ialah perbuatan hukum. Contohnya, melafazkan akad muamalah (tasharufat qauliyah), atau melakukan serah terima barang (tasharrufat fi’liyah). Lihat Mu’jam Lughat al-Fuqaha, oleh Prof. Rawwas Qal’ah Jie.