[Nafsiyah] Kaedah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam Membentuk Pengemban Dakwah yang Ikhlas
Penulis: Adi Victoria
Terdapat kalimat luar biasa yang ditulis oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani Rahimahullah dalam kitab at-Takatul al-Hizbiy, iaitu kalimat yang berbunyi, “Secara automatik al-ihsasul Fikriy ini akan membersihkan orang yang disentuhnya dan membentuk mereka menjadi orang yang ikhlas. Sehinggakan walaupun dia tidak mahu ikhlas, dia tidak akan mampu untuk tidak ikhlas .”
Al-ihsasul Fikriy sendiri bermaksud adanya perasaan yang jelas/tajam, yang dihasilkan dari proses berfikir yang mendalam. Al-ihsasul Fikriy mampu diwujudkan dari sebuah Manthiqul Ihsas, iaitu pemahaman yang dihasilkan daripada proses berfikir berdasarkan fakta yang terindera.
Keikhlasan itulah yang juga menjadi salah satu dari empat sebab yang ditulis oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab at-Takatul al-Hizbiy, iaitu empat perkara yang menjadi penyebab kegagalan beberapa gerakan dakwah dalam melakukan perjuangan untuk membangkitkan Islam.
Secara ringkas, empat perkara yang menjadi penyebab kegagalan beberapa gerakan tersebut, iaitu:
- Gerakan tersebut berdiri di atas fikrah dan thariqah yang masih belum jelas.
- Gerakan tersebut tidak mengetahui bagaimana thariqah untuk pelaksanaan fikrahnya.
- Gerakan tersebut ditumpukan kepada orang-orang yang belum mempunyai kesedaran yang benar sepenuhnya. Mereka pun belum mempunyai niat yang benar.
- Orang-orang yang menjalankan tugas gerakan tersebut tidak mempunyai ikatan yang benar.
Memiliki niat yang benar dalam berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam adalah salah satu dari empat sebab supaya suatu gerakan dapat bertahan dan berjaya dalam perjuangannya. Gerakan dakwah yang dibentuk oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah sendiri sehingga sekarang telah berusia hampir 70 tahun, sejak didirikan pada tahun 1953.
Dan perkara ini dilakukan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dengan sungguh-sunguh bagi membentuk sebuah jemaah atau gerakan dakwah supaya tertanamnya keikhlasan dalam diri setiap pengemban dakwah.
Beliau menetapkan peraturan bahawa sesiapa pun yang akan menjadi bahagian dari pengemban dakwah Islam Ideologis hendaklah mengikuti kegiatan halaqah setiap minggu. Tidak mengira samada dia seorang Profesor mahupun seseorang yang tidak pernah mendapatkan pendidikan di bangku sekolah, semuanya sama.
Malahan, berkemungkinan mereka yang mengisi halaqah adalah dari pendidikan yang lebih rendah. Contohnya, penyampai dalam kumpulan halaqah hanyalah pelajar lepasan sekolah rendah, pelajar sekolah rendah atau menengah, atau mereka yang sedang berada di kolej.
Atau boleh jadi para peserta halaqah tersebut merupakan pelajar agama tahfiz, atau lepasan dari timur tengah, sedangkan yang menjadi penyampai tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama sebagaimana para peserta halaqah.
Sekali dalam seminggu, selama dua jam mereka mesti duduk membaca setiap perenggan kitab yang kemudian akan dijelaskan oleh penyampai halaqahnya.
Halaqah itu dilakukan supaya mereka faham bagaimana fikrah dan thariqah sebuah kelompok dakwah yang sahih untuk memulakan kembali kehidupan Islam. Halaqah yang dilakukan dengan kaedah talqiyan fikriyan.
Dengan fikrah yang diajarkan di dalam halaqah tersebut, akan terbentuknya pemikiran Islam pada diri mereka. iaitu,
الحكم على الواقع من وجهة نظر الإسلام
“Usaha menilai fakta dari sudut pandang Islam.”
Pemikiran Islam tersebut akan mempengaruhi perasaan dan perbuatan mereka, juga menjadi kayu ukur mereka dalam melakukan penginderaan terhadap suatu fakta. Dalam perkara ini, kayu ukur mereka adalah dengan melihat keadaan umat Islam khususnya dan masyarakat umumnya, ketika Islam tidak lagi diterapkan secara menyeluruh di dalam kehidupan.
Selain kewajipan halaqah, mereka juga digalakkan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan dakwah di tengah-tengah masyarakat. Ini kerana halaqah bukanlah semata-mata untuk menjadi seseorang yang memiliki keperibadian Islam, tetapi juga menjadikan diri sebagai seorang pengemban dakwah.
Dengan proses halaqah yang mereka lalui, sambil melibatkan diri dalam masyarakat untuk berdakwah, insya-Allah akan menjadikan mereka orang-orang yang ikhlas dalam berdakwah. Mereka tidak mengharapkan pahala, material atau pujian dalam dakwahnya. Mereka melakukan ini semata-mata kerana kewajipan untuk menegakkan kembali Islam, supaya umat Islam menjadi umat terbaik (khairu ummah) dan Islam menjadi agama yang tinggi dan tidak ada yang dapat menandinginya.
Sebagaimana firman Allah SWT,
كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ ۗ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” [TMQ Ali Imran (3): 110]
Dan sabda Rasulullah SAW,
الإسلام يعلو ولا يعلى عليه
“Sesungguhnya Islam itu mulia/tinggi tidak ada agama yang lebih tinggi daripadanya.” [HR Bukhari]
Wallahu’alam.