[Hadis] Syubhat Kebolehan Penyewaan Tanah Pertanian
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
كُنَّا أَكْثَرَ أَهْلِ المدِينَةِ مُزْدَرَعًا، كُنَّا نُكْرِي الأَرْضَ بالنَّاحِيَةِ مِنْهَا مُسَمًّى لِسَيِّدِ الأَرْضِ، قَالَ: فَمِمَّا يُصَابُ ذَلِكَ وَتَسْلَمُ الأَرْضُ، وَمِمَّا يُصَابُ الأَرْضُ وَيَسْلَمُ ذَلِكَ، فَنُهِينَا، وَأَمَّا الذَّهَبُ وَالوَرِقُ فَلَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ
“Kami adalah penduduk Madinah yang paling banyak tanah pertaniannya. Kami menyewakan tanah dengan (hasil) bahagian tertentu untuk pemilik tanah.” Dia berkata, “Dari hasil bahagian tertentu itu apabila diserang hama dan sisanya selamat, juga apabila tanah yang lain terkena hama, sedangkan bahagian itu selamat. Kemudian kami dilarang. Adapun emas dan perak belum ada pada masa itu.” (HR Al-Bukhari No. 2327).
Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis ini dalam bab “Qath’u asy-Syajar wa an-Nakhli” dari jalur Hanzhalah bin Qays al-Anshari yang mendengar Rafi’ bin Khadij berkata: … (matan hadis di atas).
Badruddin al-‘Ayni (w. 855 H) di dalam ‘Umdatu al-Qârî Syarhu Shahîh al-Bukhârî menjelaskan, maksud fa mimmâ yushâbu dzalika wa taslamu al-ardhu iaitu: Musibah menimpa bahagian itu dan menjadi diserang hama sehingga bahagian itu rosak, sedangkan tanah selebihnya selamat. Kadang-kadang sebaliknya. Itu adalah maksud kata beliau: yushâbu al-ardhu wa yaslamu dzâlika, yakni sebahagian itu. Ertinya, sewanya adalah hasil bahagian tertentu itu. Berapa pun hasilnya. Banyak atau sedikit. Malah tidak ada.
Hadis ini juga diriwayatkan dari jalur Hanzhalah bin Qays al-Anshari yang berkata, “Aku pernah bertanya kepada Rafi’ bin Khadij tentang penyewaan tanah (kirâu al-ardhi) dengan emas dan perak.” Kemudian dia berkata,
لاَ بَأْسَ بِهِ، إِنَّمَا كَانَ النَّاسُ يُؤَاجِرُونَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمَاذيانات، وَأَقْبَالِ الْجَدَاوِلِ، وَأَشْيَاء مِنَ الزَّرْعِ، فَيَهْلِكُ هَذَا، وَيَسْلَمُ هَذَا، وَيَسْلَمُ هَذَا، وَيَهْلِكُ هَذَا، فَلَمْ يَكُنْ لِلنَّاس كِرَاءٌ إِلَّا هَذَا، فَلِذَلِكَ زَجَرَ عَنْهُ، فَأَمَّا شَيْءٌ مَعْلُومٌ مَضْمُونٌ، فَلَا بَأْسَ بِهِ
“Tidak apa-apa. Sesungguhnya orang-orang menyewakan (tanah) pada zaman Rasulullah SAW atas al-mâdziyânât dan aqbâl al-jadâwil dan sesuatu dari tanaman. Lalu yang ini rosak dan yang ini selamat. Sebaliknya, yang ini selamat dan yang ini rosak. Tiada penyewaan untuk mereka selain ini. Kemudian Rasulullah SAW melarang hal demikian. Adapun sesuatu yang jelas dan terjamin maka tidak apa-apa.” (HR Muslim, No. 2202; Abu Dawud, No. 3392; dan An-Nasai, No. 3899).
Al-Mâdziyânât ialah saluran air atau apa yang tumbuh di sekitar saluran air. Aqbâl al-jadâwil, aqbâl adalah awal, dan al-jadâwil adalah bentuk jamak dari jadual, iaitu anak sungai atau saluran air. Maksudnya, penyewa tanah itu mendapatkan hasil dari bahagian tanah tertentu atau sebahagian tanaman tertentu, tanpa mengira hasilnya, adakah banyak, sedikit, atau bahkan tidak ada hasilnya.
Dalam dua riwayat ini, dapat difahami bahawa Rasulullah SAW melarang al-mukhâbarah atau al-muzâra‘ah atau penyewaan tanah dengan hasil dari bahagian tertentu dari tanah yang disewakan, sama ada hasil dari bahagian itu banyak, sedikit, atau malah tidak ada kerana diserang hama.
Lafaz falidzâlika zajara ‘anhu (Lalu Rasulullah SAW melarang hal demikian) mengindikasikan sebab atau ‘illat pelarangan itu, iaitu ketidakjelasan imbalan. Namun begitu, dapat difahami dari redaksi riwayat di atas bahawa itu adalah pemahaman Rafi’ bin Khadij. Tidak ada nas berupa ucapan Rasulullah SAW yang menyatakan sebab atau ‘illat larangan penyewaan tanah. Kerana, itu adalah pemahaman dari Rafi’ bin Khadij bukanlah dalil. Sebabnya, ucapan atau pemahaman sahabat bukan dalil syariat.
Berdasarkan pemahaman tersebut, Rafi’ bin Khadij menyatakan, “fa ammâ syayun ma’lûmun madhmûnun falâ ba`sa bihi (Adapun sesuatu yang jelas dan dijamin maka tidak mengapa).” Ini juga merupakan ucapan Rafi’ bin Khadij dan bukan hadis. Jadi tidak dapat dijadikan dalil. Apatah lagi ini menyalahi riwayat Usaid bin Zhuhair,
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كِرَاء الْأَرْضِ، قلنا: يا رَسُولَ اللهِ إِذًا نُكْرِيهَا بِشَيْءٍ مِنَ الْحَبِّ، قَالَ: وَكُنَّا نُكْرِيهَا بِالتِّبْنِ، فَقَال: لاَ، وَكُنَّا نُكْرِيهَا بِمَا عَلَى الرَّبِيعِ السَّاقِي، فَقَال: لَا، ازْرَعْهَا أَوِ امْنَحْهَا أَخَاكَ
“Rasulullah SAW telah melarang penyewaan tanah.” Kami berkata, “Wahai Rasulullah, kalau begitu kami sewakan dengan sesuatu dari bijirin.” Beliau bersabda, “Tidak.” Dia (Usaid) berkata, “Kami sewakan dengan jerami.” Beliau bersabda, “Tidak.” Dia (Usaid) “Kami sewakan dengan ar-rabî’ (iaitu tanaman bahagian yang berhampiran air).” Beliau bersabda, “Tidak. Tanamlah atau pinjamkan kepada saudaramu.” (HR An-Nasai No. 4575 di dalam Sunan al-Kubra dan No. 3862 di Sunan An-Nasai atau Sunan ash-Sughrâ).
Penyewaan dengan sesuatu dari bijirin dan jerami maksudnya adalah bijirin dan jerami dalam jumlah tertentu. Rasulullah SAW tetap melarang hal demikian. Dengan demikian, penyewaan tanah dengan sesuatu yang tertentu sudah ditanya kepada Rasulullah SAW dan beliau melarang hal demikian.
Kata-kata Rafi’ bin Khadij bahawa tidak ada penyewaan tanah selain daripada yang dia jelaskan, maka hanya setakat itu pengetahuan Rafi’. Penyewaan dalam bentuk yang lain, iaitu dengan bijirin dan jerami yang tertentu telah ditanya dalam riwayat Usaid bin Zhuhair di atas, dan Rasulullah SAW melarang hal demikian.
Riwayat Rafi’ bin Khadij di atas juga menyatakan bahawa penyewaan tanah dengan emas dan perak (dinar dan dirham) belum ada pada zaman Nabi SAW. Ini menyangkal dakwaan bahawa terdapat ijmak sahabat dalam perkara ini yang dikutip oleh al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani di dalam Fathu al-Bârî, “Ibnu al-Munzhir menyatakan bahawa para sahabat telah berijmak tentang kebolehan menyewa tanah dengan emas dan perak. Ijmak ini merupakan dalil kebolehan menyewakan tanah dengan emas dan perak (wang).”
Dakwaan ijmak ini lemah dan terbantahkan. Bagaimana ijmak berlaku jika praktik penyewaan tanah dengan emas dan perak belum ada pada masa itu?
Justeru, hadis di atas menegaskan keharaman penyewaan tanah. Ini menegaskan lagi larangan bersifat umum, bahawa Rasulullah SAW melarang al-mukhâbarah dalam riwayat Jabir bin Abdullah dan Zaid bin Tsabit, atau kirâ‘u al-mazâri’ (penyewaan tanah pertanian) dalam riwayat Rafi’ bin Khadij, atau kirâ‘u al-ardhi dalam riwayat Usaid bin Zhuhair. Wallahualam wa ahkam.
#SyarahHadis
#SewaTanah
#TanahPertanian