[Syarah Hadis] Negara Berhak Memindahkan Pemilikan Tanah Terbiar
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ عَبْدِ الله بْنِ أَبِي بَكْرٍ قَالَ: جَاءَ بِلَالُ بْنُ الْحَارِثِ الْمُزَنيُّ إِلَى رَسُول الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَقْطَعَه أَرْضًا، فَأَقْطَعَهَا لَه طَوِيلَة عَرِيضَة . فَلَمَّا وُلِّيَ عُمَرُ قَالَ لَه : يا بِلَالُ، إِنَّكَ اسْتَقْطَعْتَ رَسُولَ الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْضًا طَوِيلَة عَرِيضَةً، فَقَطَعَهَا لَكَ، وَإِنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُ شَيْئًا يُسْأَلُهُ، وَأَنْتَ لَا تُطِيقُ مَا فِي يَدَيْكَ. فَقَالَ: أَجَلْ. فَقَالَ: فَانْظُرْ مَا قَوِيتَ عَلَيْهِ مِنْهَا، فَأَمْسِكْهُ، وَمَا لمْ تُطِقْ، وَمَا لمْ تَقْوَ عَلَيْهِ، فَادْفَعْهُ إِلَيْنَا نَقْسِمْهُ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ . فَقَالَ: لَا أَفْعَلُ . وَالله، شَيْئًا أَقْطَعَنِيهِ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم. فَقَالَ عُمَرُ: وَالله لَتَفْعَلَنَّ . فَأَخَذ مِنْهُ مَا عَجَزَ عَنْ عِمَارَتِهِ، فَقَسَمَهُ بَيْنَ الْمُسْلِمِين.
Abdullah bin Abu Bakar berkata: Bilal bin al-Harits al-Muzani pernah datang kepada Rasulullah SAW. dan meminta diberi sebidang tanah. Lalu Rasulullah memberi dia sebidang tanah yang luas. Ketika Umar diangkat menjadi khalifah, dia berkata kepada Bilal, “Bilal, sungguh kamu pernah meminta tanah yang luas kepada Rasulullah SAW., kemudian beliau memberikan tanah itu kepadamu. Sesungguhnya Rasulullah tidak akan menahan sesuatu yang diminta dari beliau, sedangkan kamu tidak mampu mengerjakan apa (tanah) yang ada di tanganmu.” Dia berkata, “Baiklah.” Lalu Umar berkata, “Lihatlah dari tanah itu yang mampu kamu uruskan, sila pertahankan. Adapun yang tidak mampu kamu uruskan, serahkan kepada kami untuk kami kongsikan kepada kaum muslim.” Bilal berkata, “Aku tidak mahu berbuat demikian. Demi Allah, itu adalah sesuatu yang telah Rasulullah berikan kepadaku.” Umar berkata, “Demi Allah, sesungguhnya kamu mesti melakukannya.” Lalu Umar mengambil tanah yang tidak mampu diuruskan oleh Bilal dan beliau membahagikan tanah itu kepada kaum muslim. (HR Yahya bin Adam No. 294, Ibnu Syabbah, Al-Baihaqi No. 11825 di Sunan al-Kubrâ).
Yahya bin Adam (w. 203 H) mengeluarkan riwayat di atas dalam kitabnya, Al-Kharâj, dalam hadis nombor 294. Umar bin Syabbah (Ibnu Syabbah) an-Numairi al-Bashri (w. 262 H) mengeluarkan riwayat tersebut di dalam bukunya, Târîkh al-Madînah li Ibni Syabbah. Imam al-Baihaqi (w. 458 H) mengeluarkan hadis ini di dalam Sunan al-Kubrâ, yakni hadis nombor 11825.
Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam (w. 224 H) di dalam Kitâb al-Amwâl, juga Ibnu Zanjawayh (w. 251 H) dalam Al-Amwâl li Ibni Zanjawayh, hadis nombor 1069, telah mengeluarkan riwayat dari jalur Bilal bin al-Harits al-Muzani ra. yang berkata,
أَنَّ رَسُولَ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْطَعَه الْعَقِيقَ أَجْمَعَ، قَالَ: فَلَمَّا كَانَ زَمَانُ عُمَرَ قَالَ لِبِلَال: إِنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يُقْطِعْكَ لِتَحْجُرَهُ عَنِ النَّاسِ، إِنَّماَ أَقْطَعَكَ لِتَعْمَلَ. فَخُذْ مِنْهَا مَا قَدَرْتَ عَلَى عِمَارَتِهِ وَرُدَّ الْبَاقِيَ.
Rasulullah SAW. pernah memberi dia al-‘Aqiq semuanya. Dia berkata, “Pada zaman Khalifah Umar, Umar berkata kepada Bilal, “Sesungguhnya Rasulullah SAW. tidak memberi kamu (tanah itu) untuk kami halang daripada orang, melainkan beliau memberi kamu tanah itu agar kamu usahakan. Oleh itu, ambillah bahagian tanah yang mahu kamu usahakan dan pulangkan selebihnya.”
Riwayat Bilal bin al-Harits al-Muzani ini juga dinyatakan oleh Qudamah bin Ja’far (w. 337 H) dalam bukunya, Al-Kharâj wa Shinâ’atu al-Kitâbah; juga oleh Imam al-Baihaqi (w. 458 H) dalam As-Sunan ash-Shaghîr hadis nombor 2193.
Di situ Imam al-Baihaqi menambahkan, “Di dalam riwayat yang lain, Umar mengambil bahagian tanah yang tidak mampu diuruskan oleh Bilal dan membahagikan tanah itu kepada kaum muslim.”
Daripada riwayat ini dapat difahami bahawa punca tanah terbiar iaitu tanah tidak diuruskan disebabkan ketidakmampuan Bilal bin al-Harits al-Muzani. Inilah sebab mengapa tanah itu diambil oleh Khalifah Umar daripada Bilal.
Ia juga dapat difahami bahawa pengabaian itu telah berlaku lebih dari tiga tahun berturut-turut. Sebab, tanah itu adalah pemberian Rasulullah SAW.. Maka telah berlalu semasa zaman Rasulullah SAW. masih hidup, kemudian zaman Khalifah Abu Bakar ra. selama dua tahun dan zaman Khalifah Umar sejak dibaiat menjadi khalifah.
Peristiwa ini serupa dengan peristiwa yang lain. Humaid bin Zanjawaih an-Nasa’i dalam kitabnya, Al-Amwâl li Ibni Zanjawayh, meriwayatkan daripada jalan Amru bin Syu’aib, Sesungguhnya Nabi SAW. pernah memberikan tanah kepada mereka dari Juhainah. Lalu mereka membiarkan dan meninggalkan tanah itu. Kemudian kaum yang lain datang dan menghidupkan tanah tersebut. Seterusnya penduduk Juhainah itu mengadukan hal mereka kepada Khalifah Umar bin al-Khattab. Lalu Khalifah Umar berkata, “Seandainya itu dari pemberianku atau dari Abu Bakar maka aku tidak akan ragu. Namun, itu adalah pemberian daripada Rasulullah SAW.” Khalifah Umar ra. berkata,
مَنْ كَانَتْ لَهُ أَرْضٌ، فَعَطَّلَهَا ثَلَاثَ سِنِينَ، لَا يُعَمِّرُهَا، فَعَمَّرَهَا غَيْرُهُ، فَهُوَ أَحَقُّ بها
“Sesiapa sahaja yang memiliki tanah, lalu dia abaikan selama tiga tahun, dia tidak mengerjakannya, kemudian orang lain datang memanfaatkan tanah itu, maka orang lain itu lebih berhak atas tanah tersebut.”
Nampaknya peristiwa ini berlaku satu tahun atau lebih sejak Umar menjadi khalifah. Kerana berasal dari pemberian Rasulullah SAW., maka pengabaian tanah itu telah berlaku lebih dari tiga tahun berturut-turut.
Umar ra. juga berkata “Orang yang memagari tidak mempunyai hak (atas tanahnya) setelah tiga tahun berturut-turut (ditinggalkan).” (HR Abu Yusuf dan Abu ‘Ubaid).
Ali Haidar Khawajah Amin Afandi di dalam Duraru al-Hukâm fî Syarhi Majallati al-Ahkâm, setelah menyebutkan kata-kata Umar ini, dia menyatakan, “Sungguh umat telah berijmak mengenai perkara ini.”
Apa yang dikatakan dan dilakukan oleh Khalifah Umar, khususnya terhadap tanah Bilal bin al-Harits al-Muzani, itu didengar dan diketahui oleh para sahabat dan tidak ada seorang pun yang mengingkari dasar ini. Padahal perkara itu termasuk perkara yang mesti diingkari jika menyalahi hukum syariat kerana mengambil tanah dari pemiliknya adalah haram. Ini menunjukkan telah terjadi ijmak sahabat dalam bentuk ijmak sukuti, bahawa pemilik tanah yang membiarkan tanahnya lebih dari tiga tahun berturut-turut, maka pemilikannya ke atas tanah itu telah hilang. Tanah yang terbiar itu diambil oleh khalifah iaitu oleh negara dan dibahagikan atau diberikan kepada kaum muslim, sudah tentu yang mampu mengusahakan tanah tersebut. Wallahualam wa ahkam.
Sumber:
#SyarahHadis
#TanahTerbiar
#MilikNegara
#IjmakSahabat