[Syarah Hadis] Menafkahi Isteri dan Anak Merupakan Kemuliaan dan Keutamaan bagi Suami
Oleh: Siti Murlina, S.Ag.
Di dalam Islam, perkahwinan adalah sebahagian daripada kesempurnaan ibadah dan sebagai sarana mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ketika dua insan yang menyatu dalam ikatan perkahwinan, syariat Islam telah mengatur dan menetapkan tanggungjawab ke atas suami dan isteri. Masing-masing mempunyai hak dan kewajipan yang harus dilaksanakan dalam rangka menjalin hubungan yang sakinah, mawaddah, wa rahmah.
Dalam kehidupan seharian, pasangan suami isteri hendaklah saling melayani dan membahagiakan antara satu sama lain. Khususnya bagi suami sebagai ketua keluarga, wajib mendidik keluarganya agar sentiasa menjaga keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh itu, salah satu kewajipan besar dan mulia seorang suami ialah memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.
Yang dimaksudkan dengan nafkah ialah harta yang dikeluarkan oleh suami untuk isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal, dan lain-lain. Memberi nafkah adalah kewajipan suami berdasarkan dalil al-Quran, hadis, ijmak, dan dalil akli. Nafkah yang diberikan hendaklah sesuai dengan kemampuan suami, tetapi mestilah mencukupi untuk keperluan isteri dan anak-anak, atau sekurang-kurangnya sama dengan apa yang dinikmati oleh suami.
Kemuliaan dan keutamaan bagi seorang suami yang mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak diberi ganjaran yang amat besar. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِى رَقَبَةٍ وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِى أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ
“Satu dinar yang kamu nafkahkan di jalan Allah, kemudian satu dinar yang kamu nafkahkan untuk memerdekakan budak, kemudian satu dinar yang kamu nafkahkan kepada orang miskin, dibandingkan dengan satu dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu, pahalanya lebih besar (daripada amal soleh yang kamu lakukan) yang disebut tadi). [HR Muslim, No. 995]
Dalam hadis yang lain dinyatakan,
إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ عَلَيْهَا ، حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِى فِى امْرَأَتِكَ
“Sungguh tidaklah engkau menginfakkan nafkah (harta) dengan tujuan mengharapkan (melihat) wajah Allah (pada hari kiamat nanti), kecuali kamu akan mendapatkan ganjaran pahala (yang besar), sampai pun makanan yang kamu berikan kepada isterimu.” [HR Bukhari No. 56]
Berdasarkan hadis di atas, Imam Nawawi menjelaskan bahawa nafkah keluarga adalah lebih afdal daripada sedekah sunnah. Ibnu Taimiyah RA menjelaskan sebagaimana jumhur ulama bersepakat bahawa nafkah suami kepada isteri kembali kepada kebiasaan masyarakat (kembali kepada ‘uruf) dan tidak ada jumlah tertentu yang ditetapkan oleh syariat. Masalah sara hidup ini disesuaikan dengan tempat, zaman, keadaan suami isteri, dan adat yang ada.
Kewajipan memberi nafkah oleh suami, selain sebagai amal soleh yang amat besar pahalanya, juga dikira sebagai sedekah. Allah SWT akan berkati setiap rezeki yang diberikan suami kepada keluarganya, Allah SWT juga akan gantikan dengan rezeki yang lebih baik lagi.
Allah SWT juga menyamakan bekerja mencari rezeki dengan jihad di medan perang. Oleh itu, jika seseorang mati dalam keadaan bekerja mencari nafkah, kematiannya adalah syahid.
Ibnu al-Mubarak menyifatkan bahawa nafkah keluarga tidak dapat ditandingi dengan mana-mana amalan termasuk jihad di jalan Allah SWT. Seperti yang dipetik dari sebuah hadis dari Ka’ab bin Ujrah,
أنَّه مر على النبي صلى الله عليه وسلم رجلٌ، فرأى أصحابُ رسول الله صلى الله عليه وسلم من جَلَدِه ونشاطِه، فقالوا: يا رسول الله، لو كان هذا في سبيلِ الله، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (إن كان خرجَ يسعى على وَلَدِه صِغارًا، فهو في سبيل الله، وإن كان خرج يسعى على أبوين شيخين كبيرين، فهو في سبيل الله،
“Seorang sahabat pernah bertemu dengan Nabi SAW, lalu para sahabat juga menyaksikan sahabat ini yang warna kulitnya gelap dan sangat rajin, mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah, seandainya (orang seperti ini) ikut berjihad.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Jika dia keluar rumah untuk memberi nafkah kepada anaknya yang kecil, dia (berjihad) di jalan Allah, jika dia keluar untuk menyara kedua-dua orang tuanya, dia berada di jalan Allah.” [HR Ath-Thabrani]
Seorang suami yang tidak memberi nafkah kepada keluarganya, walaupun dia mempunyai kemampuan maka dia telah berdosa. Ini kerana dia telah mengabaikan satu kewajipan yang dibebankan oleh Allah SWT kepadanya. Rasulullah SAW menyatakan ini dalam sabdanya,
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوْتَهAُ
“Cukuplah bagi seseorang untuk mendapatkan dosa bila dia menahan makanan dari orang yang berhak mendapatkan makanan darinya.” [HR Muslim No. 996]
Keutamaan dan kemuliaan yang diwajibkan ke atas suami, dari segi nafkah isteri dan anak, hendaklah diusahakan dengan sebaik-baiknya, sebagai medan amal soleh bagi suami dan hendaklah dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.
Sewajarnya kewajipan ini ditunaikan dengan sebaiknya agar isteri dan anak-anak tidak ditinggalkan kerananya. Sesuai dengan tuntunan syariat Islam, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Dan akulah yang paling baik di antara kalian dalam bermuamalah dengan keluargaku.” [HR Tirmidzi]
Juga firman Allah SWT,
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا
“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf.” [TMQ al-Baqarah [2]: 233]
Wallahu’alam bissawab.
Sumber: suaramubalighah.com