[KISAH INSPIRASI] Salamah bin Dinar, Hikmah Bertutur dari Iman yang Tidak Pernah Kendur
Penulis: Chusnatul Jannah
Pada 97 H, Khalifah kaum Muslim, Sulaiman bin Abdul Malik menempuh perjalanan ke tanah haram untuk berkunjung ke Baitullah, tempat suci umat Islam. Rombongan khalifah bergerak cepat dari Damaskus, ibu kota Kekhalifahan Umaiyah menuju ke Madinah al-Munawwarah.
Ada gurat rindu sang Khalifah di Telaga Nabawi yang suci, ingin mengucapkan salam atas Rasulullah Muhammad SAW.. Para qari (ahli Al-Quran), ahli fikih, ahli hadis, ulama’, umara’ dan para tentera juga turut serta dalam rombongan tersebut.
Setibanya di Madinah, penduduk dan para pemimpin Madinah menghampiri mereka untuk mengucapkan salam dan menyambut kedatangannya. Tetapi, Salamah bin Dinar selaku qadhi dan Imam kota Madinah tidak turut serta dalam rombongan yang menyambut sang Khalifah.
Menasihati Khalifah
Setelah selesai menyapa dan melayani orang-orang yang menyambutnya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berkata, “Sesungguhnya hati itu mudah berkarat dari waktu ke waktu sebagaimana besi bila tidak ada yang mengilatkan dan membersihkan karatnya.” Mereka berkata, “Benar, wahai Amirul Mukminin.”
Lalu Khalifah berkata, “Tidak adakah di Madinah ini orang yang boleh menasihati kita, seseorang yang pernah berjumpa dengan para sahabat Rasulullah SAW.?” Mereka menjawab, “Ada wahai Amirul Mukminin. Di sini ada Abu Hazim al-A’raj.” Khalifah bertanya, “siapa itu Abu Hazim?”
Mereka menjawab, “Dia adalah Salamah bin Dinar, seorang yang alim, cendekiawan dan Imam di Madinah. Dia termasuk salah seorang tabiin yang pernah bersahabat baik dengan para sahabat utama Rasulullah.”
Khalifah berkata, “Kalau begitu, panggilah dia kemari. Tetapi, berlaku sopan lah kepadanya.” Para pembantu khalifah pun pergi memanggil Salamah bin Dinar. Setelah Abu Hazim datang, Khalifah menyambut dan membawanya ke ruang pertemuan.
“Mengapa engkau begitu angkuh kepadaku, wahai Abu Hazim?” tanya Khalifah. “Angkuh yang bagaimana anda maksudkan?” tanya Salamah. Khalifah menjawab, “Semua tokoh Madinah menyambutku. Sedangkan engkau, tidak menampakkan diri sama sekali.”
“Seseorang dikatakan angkuh jika dia sudah berkenalan. Sedangkan anda belum mengenal saya dan saya belum pernah melihat anda. Maka keangkuhan mana yang telah saya lakukan?”
“Alasan yang engkau kemukakan benar dan Khalifahlah yang telah salah menyangka. Sebenarnya dalam benakku, ada banyak masalah penting yang ingin aku utarakan kepadamu, wahai Abu Hazim,” Ujar Khalifah lagi.
“Katakanlah wahai Amirul Mukminin. Allah tempat meminta pertolongan.” Khalifah bertanya, “Wahai Abu Hazim, mengapa kita membenci kematian?”
“Kerana kita memakmurkan dunia dan menghancurkan akhirat. Akhirnya kita benci untuk keluar dari kemakmuran menuju kehancuran,” jawab Abu Hazim. “Engkau benar wahai Abu Hazim. Apa bahagian kita di sisi Allah kelak?” tanya Khalifah kepada Salamah.
Dia menjawab, “Bandingkan amalmu dengan Kitabullah, nescaya anda akan dapat mengetahuinya.” Khalifah bertanya lagi, “Dalam ayat yang mana saya boleh menemukannya?” Kemudian Salamah menjawab dengan membacakan surah Al-Infitaar ayat 13-14 yang bermaksud, “(Gunanya catatan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat; Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.” [TMQ l-Infitaar (82): 13-14]
Disebabkan jawapan Salamah bin Dinar yang begitu menggetarkan jiwa, Khalifah Sulaiman tidak berhenti bertanya kepadanya. Beliau bertanya lagi, “Wahai Abu Hazim, siapakah orang yang paling dermawan dan terhormat?” Salamah menjawab, “Orang yang menemukan ketaatan kepada Allah, kemudian dia mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain.”
Menurut Abu Hazim, orang yang paling dungu adalah orang yang terpengaruh dengan hawa nafsu kawannya. Sedangkan, kawan tersebut merupakan orang yang zalim, maka pada hakikatnya, dia telah menjual akhiratnya untuk kepentingan dunia orang lain.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berkata kepada Abu Hazim, “Sebutlah padaku apa yang kau perlukan.” Salamah menjawab, “Keperluanku telah kuajukan kepada Zat yang tidak ada orang yang mampu memberi kurniaan yang Dia berikan kepada orang yang Dia kehendaki. Apa yang Dia beri, aku syukur dan apa yang Dia tidak beri, aku bersabar. Aku memandang sesuatu dengan dua keadaan iaitu sesuatu yang ditetapkan untukku dan sesuatu yang ditetapkan untuk orang selainku. Tentang apa yang ditetapkan untukku, seandainya semua makhluk berusaha keras untuk menghalanginya dariku, mereka tidak akan mampu. Dan tentang sesuatu yang ditetapkan untuk selainku, maka tidak mungkin aku mendahului orang yang telah ditetapkan untuk mendapatkannya, baik yang telah berlalu mahupun yang akan datang. Sebagaimana orang lain terhalang untuk mendapatkan apa yang telah ditetapkan untukku, begitu juga aku terhalang untuk mendapatkan rezeki yang telah ditetapkan untuk orang lain.”
Lalu Khalifah Sulaiman meminta doa kepada Abu Hazim, “Wahai Abu Hazim, doakan kebaikan untukku.” Abu Hazim berkata, “Tidak akan bermanfaat untukmu kalau aku mendoakanmu di hadapanmu. Sementara, ada orang-orang yang terzalimi –kerana kebijakanmu– mendoakan keburukan untukmu walaupun mereka tidak berada di hadapanmu. Doa mana yang lebih berhak dimakbulkan?” Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik pun menangis. Kemudian Abu Hazim pergi melanjutkan aktivitinya.
Nasihat Mengenai Umara’ dan Ulama
Banyak petikan nasihat Salamah kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Berikut merupakan isi nasihatnya kepada Khalifah terkait umara’ dan ulama.
“Wahai Amirul Mukminin, umat-umat terdahulu tinggal dalam kebaikan dan kebahagiaan selama para pemimpinnya mendatangi ulama untuk mencari kebenaran pada diri mereka. Kemudian muncullah kaum dari golongan rendah yang mempelajari berbagai ilmu lalu mendatangi para Amir (pemimpin) untuk mendapatkan kesenangan dunia. Kemudian para Amir itu tidak lagi memperdulikan perkataan dan nasihat ulama. Mereka pun menjadi lemah dan hina di hadapan Allah SWT.. Seandainya golongan ulama itu tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi Amir, tentu para Amir itu akan mendatangi mereka untuk mencari ilmu. Tetapi, kerana para ulama menginginkan apa yang ada di sisi Amir, maka para pemimpin itu tidak lagi menghiraukan ucapan ulama.”
Di antara ucapan Salamah bin Dinar yang lainnya, beliau pernah berkata, “Semakin berat beban agama dan dunia.”
Ada yang bertanya, “Bagaimana boleh demikian?” Beliau menjawab, “Dalam masalah agama, aku tidak melihat ada yang dapat membantu. Adapun dalam masalah dunia, tidaklah engkau menjulurkan tanganmu dalam satu bahagian dunia kecuali engkau melihat seorang yang fajir telah mendahuluimu melakukannya.”
Beliau juga berkata, “Ada dua perkara yang jika engkau lakukan keduanya, engkau akan mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat.” kemudian ada yang bertanya, “Apakah kedua hal tersebut wahai Abu Hazim?” Beliau menjawab, “Tahan (bersabar dan perjuangankanlah) sesuatu walaupun tidak engkau sukai, jika hal itu diredhai oleh Allah. Juga, tahan (cegah) dirimu dari melakukan sesuatu yang kau sukai, jika ia dibenci oleh Allah.”
Salamah bin Dinar berkata, “Orang yang mudah bosan tidak akan memiliki teman. Orang yang hasad tidak pernah beristirehat dan melihat akibat dari sesuatu akan memperbaiki akal.”
Salamah bin Dinar memberi banyak nasihat dan hikmah bertutur dari iman yang tidak pernah kendur. Hidupnya adalah untuk kehidupan akhirat. Pandangan matanya selalu tertuju pada redha Allah SWT.. Inilah di antara nasihat Salamah yang juga digelar Abu Hazim, “Tidaklah seseorang memperbaiki antara dirinya dengan Allah, kecuali Allah akan memperbaiki keadaannya di hadapan orang-orang. Dan tidaklah seseorang buruk hubungannya dengan Allah, kecuali Allah akan membuat buruk pula keadaannya dengan sesama manusia. Mencari muka di hadapan satu wajah (iaitu Allah) lebih baik daripada mencari muka di hadapan seluruh wajah.”
Sungguh, untaian hikmah dan nasihat Salamah layak diresapi dan direnungi. Semoga nasihat-nasihat menjadi penguat kesabaran kita dalam menghadapi berbagai ujian hidup. Semoga keteguhan imannya yang tidak pernah mengendur menjadi motivasi untuk kita dalam menjalankan aktiviti dakwah amar makruf nahi mungkar yang penuh rintangan dan dugaan.
*Diolah dari berbagai sumber