Aidilfitri Tanpa Khilafah
Penulis: Farid Wadjdi
Alhamdulillâhir Rabbil ‘âlamîn. Kita baru saja selesai melaksanakan ibadah Ramadhan. Setelah itu, kita berbahagia menyambut Aidilfitri. TaqabbalalLâhu minnâ wa minkum shiyâmana wa shiyâmakum.
Aidilfitri tentu membahagiakan kita. Namun, tidak berbeza dengan tahun-tahun yang lalu, nasib umat Islam masih saja menyedihkan. Apa penyebabnya?
Ini kerana kita mengabaikan firman Allah SWT, “Jika kalian berselisih tentang suatu perkara, hendaklah kalian mengembalikan perkara itu kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnah) jika kalian benar-benar mengimani Allah dan Hari Akhir.” (TMQ An-Nisa’ [4]: 59).
Sebahagian besar ulama tafsir, seperti Imam Ath-Thabari, menjelaskan makna kembali kepada Allah dan Rasul adalah kembali pada Al-Quran dan Sunnah. Imam Ibnu Katsir rahimahulLâh bahkan menegaskan bahawa siapa saja yang tidak berhukum pada Al-Quran dan Sunnah, pada hakikatnya dia bukanlah orang yang benar-benar mengimani Allah dan Hari Akhir.
Akibat Tanpa Khilafah
Untuk menerapkan Al-Quran dan Sunnah ini, kaum muslim memerlukan keberadaan institusi politik Islam. Itulah Khilafah Islam yang menerapkan seluruh syariat Islam. Tanpa Khilafah, umat Islam mustahil secara kaffah (menyeluruh/total) menerapkan seluruh syariat Islam. Sekali lagi, inilah pangkal utama masalah umat Islam, iaitu ketiadaan Khilafah Islam di tengah umat.
Tanpa Khilafah, umat Islam pun tidak memiliki pelindung. Ini kerana, salah satu kewajipan utama Khalifah adalah melindungi umat. Nabi SAW pernah bersabda, “Sungguh, Imam (Khalifah) itu adalah perisai. Umat diperangi dengan berlindung belakangnya dan akan dijaga oleh dirinya.” (HR Muslim).
Lihatlah, tanpa Khilafah sebagai pelindung, darah umat Islam yang mulia ini terus tertumpah di mana-mana. Nyawa umat Islam demikian murah di hadapan musuh-musuh Allah. Jerit tangis anak-anak dan para ibu masih terdengar menyayat hati; di Syria, Palestin, Iraq, Pakistan, Myanmar, dan tempat-tempat lain.
Jeritan kesedihan kerana ditinggal orang-orang yang mereka cintai. Jeritan harapan agar ada penolong yang menyelamatkan diri mereka yang dizalimi. Namun, tidak ada yang menolong. Tanpa Khilafah, saat Ramadhan yang penuh berkah pula, Zionis Yahudi berani menyerang Semenanjung Gaza dengan jet-jet tempurnya. Serangan itu menghancurkan bangunan-bangunan serta mencederakan dan membunuh umat Islam. Mereka sebelumnya juga telah menculik dan membakar para pemuda Palestin.
Aidilfitri tanpa Khilafah, kebahagiaan umat Islam tidak sempurna. Tanpa Khilafah, tidak ada yang melindungi akidah umat dari serangan musuh-musuh Islam. Mereka secara sistematik dan gencar menyerang akidah anak-anak kita.
Melalui kurikulum pendidikan, media massa dan sarana hiburan, mereka menanamkan pada diri anak-anak umat ini doktrin-doktrin kufur, seperti sekularisme, liberalisme (kebebasan), dan pluralisme. Tujuannya adalah menyesatkan umat Islam dan menjauhkan dari Islam. Yang sepatutnya menjadi pelindung, si penguasa sekular pula sebaliknya mempermudahkan serangan ini.
Tanpa Khilafah, tidak ada yang melindungi kehormatan umat dan agama ini. Penghinaan terhadap ajaran Islam terus berulang. Tanpa Khilafah, umat Islam tidak mampu untuk benar-benar mewujudkan ketakwaannya secara menyeluruh. Padahal, Allah SWT telah memerintahkan kita untuk berhukum hanya pada syariat-Nya dalam seluruh aspek kehidupan.
Tanpa Khilafah, kita hidup tanpa pemimpin yang adil. Tanpa Khilafah, pemimpin yang terpilih melalui sistem demokrasi adalah pemimpin yang berhukum pada hukum jahiliah, tidak menerapkan Islam secara menyeluruh. Sistem sekular hanya akan memunculkan pemimpin yang suka berdusta, bahkan mengancam kehidupan rakyat.
Abu Hisyam as-Silmi menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kalian akan dipimpin oleh para pemimpin yang mengancam kehidupan kalian. Mereka berbicara (berjanji) kepada kalian, kemudian mereka mengingkari (janjinya). Mereka melakukan pekerjaan, tetapi pekerjaan mereka itu sangat buruk. Mereka tidak senang dengan kalian hingga kalian menilai baik (memuji) keburukan mereka, membenarkan kebohongan mereka dan memberi mereka hak yang mereka senangi.” (HR Ath-Thabrani).
Tanpa Khilafah, pemimpin yang muncul di tengah umat Islam adalah pemimpin ruwaibidhah, ‘pemimpin pengkhianat dan bodoh yang berbicara tentang urusan umat’.
Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan, sedangkan orang yang jujur malah didustakan; pengkhianat dipercaya, sedangkan orang yang amanah justeru dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” (HR Ibnu Majah).
Tanpa Khilafah, kezaliman terhadap umat akan terus berulang. Ini bererti, hanya dengan Khilafah kezaliman ini dapat dihentikan. Khilafah akan menggerakkan tentera-tentera Islam (bersama-sama umat Islam) dari berbagai kawasan negeri Islam untuk membebaskan Al-Quds dari Zionis Israel.
Saatnya Bersungguh-sungguh untuk Berjuang
Setelah melihat segala yang menimpa umat ini, sudah sepatutnya kita berfikir untuk bersungguh-sungguh memperjuangkan Khilafah. Khilafah yang akan benar-benar memperhatikan, melindungi, dan menjaga umat dengan menerapkan syariat Islam. Khilafah tidak akan membiarkan darah umat Islam tertumpah walaupun setitis. Dengan kekuatan politik dan militer yang dimiliki, musuh-musuh Allah SWT tidak akan lagi berani menganiaya umat Islam.
Ini bukanlah perkara sembang kosong. Ia terbukti secara historis (sejarah), lebih dari 1300 tahun Khilafah amat disegani dan ditakuti oleh musuh-musuh Islam. Saat Rasulullah SAW menjadi ketua negara, beliau SAW mampu menghinakan Yahudi Bani Qainuqa’ dengan mengepung dan mengusir mereka dari Madinah. Kerana, bangsa Yahudi ini telah melecehkan seorang muslimah dan membunuh muslim yang membelanya.
Rasulullah SAW juga menghukum mati lelaki yang sudah baligh dari kalangan Yahudi Bani Quraizhah. Tambahan pula kerana mereka berkhianat ketika bekerjasama dengan pasukan koalisi kafir menyerang negara Islam. Tindakan tegas Rasulullah SAW ini diikuti oleh Khalifah Al-Mu’tashim Billah ketika membebaskan muslimah yang dinodai pasukan adidaya Romawi di daerah Amuriyah.
Peristiwa ini diikuti oleh Panglima Perang Saifuddin Qutuz ketika mengalahkan pasukan Tartar dalam Perang ‘Ain Jalut pada Ramadhan 658 H. Mereka mengalahkan pasukan bengis yang dalam pencerobohannya telah membunuh lebih dari 1.5 juta umat Islam.
Hal yang sama dilakukan Muhammad bin Qasim ketika membebaskan wanita yang ditawan Raja Sindh. Berdasarkan mandat Khalifah, Muhammad bin Qasim mengirim tentera kaum muslim. Tentera Islam ini menggoncang takhta Raja Sindh, membebaskan para perempuan yang ditahan, menaklukkan Sindh dan India, serta menyinari negeri itu dengan Islam. Allahu Akbar!
Sumber artikel: Al-Wa’ie.