Marhaban Ya Ramadhan
Alhamdulillah, akhwati Rahimakumullah, Ramadhan kini menjelma lagi. Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dan ibadah lainnya dengan kesempurnaan dan diredhai Allah swt. Marilah sama-sama kita menginsafi diri kita seterusnya menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik dalam kesempatan yang ada dalam menyambut Ramadhan al-Mubarak.
Muslimah yang dirahmati Allah swt, marilah kita panjatkan doa kepada Allah swt supaya kita diberikan kebarkatan, keimanan, keselamatan seterusnya memperolehi takwa di akhir Ramadhan. Sebelum tirai Ramadhan dibuka lagi, Rasulullah saw dan para sahabat sentiasa berdoa dan mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Dari Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah saw berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan”
[HR Ahmad]
Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah saw berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan.
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ
Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”
[HR Ahmad]
Inilah antara doa Rasulullah saw dan para sahabat ketika menjelang Ramdhan. Rasa syukur dengan penuh pengharapan agar Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terbaik.
Akhwati Rahimakumullah, selain daripada ibadah-ibadah ritual yang dilakukan, Rasulullah saw dan para sahabat juga terlibat dalam perang melawan kaum kuffar demi menegakkan Islam agama Allah swt. Antara perang yang berlaku semasa bulan Ramadhan adalah perang Badar, persiapan menggali parit untuk perang Khandaq dan pembukaan kota Mekah. Ini menunjukkan kepada kita bahawa, bulan Ramadhan bukan hanya sekadar bulan untuk ibadah ritual semata-mata, namun ada yang lebih besar dari itu. Dakwah dan jihad demi penegakkan Islam juga dilakukan oleh Rasulullah saw yang merupakan perintah daripada Allah swt. Sudah pasti, walaupun kini tidak ada lagi perang dan jihad yang dilancarkan, namun di sekeliling kita masih banyak kemaksiatan dan pelanggaran hukum syarak yang berlaku. Malah, banyak penindasan yang berlaku di negeri-negeri umat Islam yang dilakukan oleh puak kuffar. Umat Islam Islam seharusnya tidak duduk diam melihat kekejaman ini. Marilah kita ambil iktibar dari pengorbanan dan perjuangan yang ditunjukkan oleh kaum Muslimin yang sedang berpuasa ketika itu.
Akwati rahimakumullah, umat Islam terdahulu telah membuktikan perjuangan dan kesungguhan mereka demi menegakkan syariat Islam. Kini giliran kita pula untuk berjuang dan mengembalikan semula kehidupan Islam. Kehidupan Islam adalah kehidupan yang berlandaskan syariat Islam seluruhnya. Dengan erti kata lain, dakwah dan seruan penerapan syariat Islam kaffah tetap wajib disampaikan lebih-lebih lagi Ketika bulan Ramadhan, bulan yang dilipat kali gandakan pahala. Suasana Ramadhan adalah kesempatan untuk saling berlumba meraih pahala sesuai dengan kemampuan dan peluang yang diberikan. Suasana keimanan dalam kalangan umat Islam dan semangat mereka untuk bertaqarrub kepada Allah adalah peluang terbaik bagi menyeru mereka untuk mengkaji Islam dan mengamalkannya. Sesungguhnya rahmat dan ampunan dariNya hanya akan diraih ketika amal yang dilakukan bersesuaian dengan syariat Islam.
Mudah-mudahan momentum Ramadhan tahun ini menguatkan kita untuk bersiap sedia melaksanakan seluruh peraturan dan syariat Islam secara sempurna. Tibalah waktunya untuk kita berpaling dari sistem kehidupan sekular yang mendatangkan kemurkaan Allah dan beralih kepada kehidupan dan peraturan Islam yang diturunkan oleh Zat yang Mahakuasa, Allah SWT sebagai pencipta setiap makhluk.
Wallahu ‘alam.