[Nafsiyah] Rupa, Kekayaan, dan Umur Bukan Kebanggaan Untuk Mendapat Cinta
Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Ingatlah nasihat Abu Talib kepada Waraqah bin Naufal ketika meminang Khadijah? “Harta itu adalah bayangan yang akan hilang.” Betul tu, Harta tidak akan kekal. Harta adalah titipan dari Allah, maka ia tidak layak untuk dibanggakan.
Begitu juga rupa dan usia semua itu adalah pemberian. Tidak patut dibanggakan atau dijadikan ukuran. Namun, ukurlah dengan sesuatu yang datang dari manusia iaitu perbuatan. Ukurlah dari akhlak dan adabnya yang tergambar dari pergaulan.
Nabi Muhammad SAW diberikan kasih sayang kepada Ibu Khadijah RA selepas berinteraksi dan bergaul dengan beliau semasa menjalankan perniagaannya. Dari pergaulan itu, Rasulullah sangat mengetahui akhlak dan budi pekerti Khadijah yang mulia. Begitu juga sebaliknya.
Bibit cinta yang sama turut bersemi di hati Saidina Ali RA dan Saidatina Fatima RA ketika Nabi mengambil sepupunya untuk dibesarkan di rumahnya kerana Abu Talib mempunyai ramai anak lelaki, tetapi kekurangan harta.
Interaksi antara Saidina Ali dan Fatima Az-Zahrah di rumah Rasulullah dan keluarga telah mendekatkan mereka berdua. Mereka mengenali akhlak, budi pekerti dan keperibadian masing-masing.
Kemuliaan akhlak, budi pekerti dan tingkah laku antara merekalah yang melahirkan rasa hormat, tarikan, dan akhirnya muncul rasa kasih sayang antara keduanya. Itu cinta yang waras bukan cinta yang buta.
Nabi tidak lagi melihat berapa umur Saidatina Khadijah, mahupun statusnya sebagai janda kepada dua lelaki terdahulu. Begitu juga Saidatina Khadijah tidak melihat sama ada Muhammad itu kaya atau tidak tetapi lebih mementingkan akhlak, budi pekerti dan tingkah lakunya.
Begitu juga Saidatina Fatimah ketika Ali meminang yang tidak mempunyai apa-apa. Malah, untuk mas kahwinpun perlu menjual baju besinya. Manakala, yuran walimah disediakan oleh para sahabat. Lihatlah, betapa miskinnya Ali pada masa itu, tetapi Fatima dan Nabi menerimanya.
Nabi menjawab pinangan Ali, “Ahlan wa Marhaban.” Ketika Ali keliru, apa maksudnya? Sahabat yang lain menjelaskan, “Kamu bersyukur, kerana Nabi memberi dua jawapan.” Betapa indahnya.