CEMBURU SUAMI, BERBUAH REDHA ISTERI
Oleh: Ustaz Arief b Iskandar
Sebahagian generasi salafus soleh begitu mencemburui isteri-isteri mereka. Kerana cemburunya mereka, mereka tidak rela wajah isteri-isteri mereka dilihat orang lain walaupun itu untuk kepentingan di ruang pengadilan. Padahal sebahagian mereka berpendapat tentang boleh bagi seorang wanita untuk menampakkan wajahnya (tidak wajib ditutup dengan niqab [purdah]).
Dikisahkan, misalnya, antara lain oleh Imam Ibnu Katsir, juga oleh Al-Khathib al-Baghdadi, sebagai berikut:
*تقدمت امرأة إلى قاضي الري، فادعت على زوجها صداقها خمسمائة دينار. فأنكر الزوج، وجاءت ببينة تشهد لها به. قالوا: نريد أن تسفر لنا عن وجهها حتى نعلم أنها الزوجة؟ قال الزوج: لا تفعلوا هي صادقة فيما تدعيه. فأقر بما ادعت ليصون زوجته عن النظر إليها. قالت المرأة: هو في حِلٍ من صداقي في الدنيا والآخرة.*
“Pernah ada seorang wanita mengadu kepada hakim di wilayah Ray (bahagian dari Negara Iran sekarang). Wanita tersebut mendakwa bahawa suaminya masih berhutang mahar kepada dirinya sebanyak 500 dinar (lebih kurang RM7300). Namun, suaminya menafikan hal tersebut.
Wanita itu lalu datang kepada hakim dengan membawa bukti atas pengaduannya tersebut.
Mereka (para saksi) kemudian berkata (kepada si suami), “Kami ingin engkau membuka wajahnya (isterimu) kepada kami sehingga kami yakin bahawa wanita tersebut memang isterimu.”
Si suami berkata, “Janganlah kalian melakukan itu. Dakwaan dia (isteriku) terkait mahar itu benar adanya.”
Si suami mengakui apa yang diadukan isterinya tersebut semata-mata demi menjaga isterinya dari pandangan lelaki lain (dengan tidak memenuhi tuntutan mereka agar membuka wajah isterinya, pen).
Akhirnya (kerana sikap suaminya tersebut), si isteri berkata, “Maharku telah halal atas dirinya (suamiku) di dunia dan akhirat.”
(Lihat: Ibnu Katsir, Al-Bidaayah wa an-Nihaayah, 11/81; Al-Khathib al-Baghdadi, Taariikh Baghdaad, 15/51).
Demikianlah. Cemburu suami–yang tidak rela wajah isterinya dilihat lelaki lain– ternyata berbuah redha isterinya kepada suaminya. Kerana redha, si isteri pun akhirnya rela membebaskan hutang mahar suaminya. Boleh jadi, si isteri bersikap demikian kerana dia menyaksikan sendiri betapa suaminya benar-benar menjaga maruah (kehormatan) dirinya.
Wallahu a’lam.
#maruah #suamiisteri #keluarga