[SOAL-JAWAB] DUA MALAIKAT – HARUT DAN MARUT DALAM SURAH AL-BAQARAH (BAHAGIAN 3/3)
- Hukuman ahli sihir seperti yang telah kami jelaskan ialah hukuman orang murtad. Dia kafir dengan makna yang telah disebutkan sebelumnya. Para sahabat menghukum ahli sihir dengan hukuman bunuh. Hafshah Ummul Mukminin RA memerintahkan supaya ahli sihir yang telah mengaku melakukan sihir dibunuh.
Adapun yang diriwayatkan tentang pengingkaran Uthman bin Affan RA terhadap Hafshah RA atas apa yang dilakukannya, maka itu adalah pengingkaran terhadap Hafshah RA kerana dia melakukan perkara itu tanpa izinnya. Padahal dia adalah khalifah umat Islam. Uthman RA tidak mengingkari hukuman bunuh tersebut. Perbuatan seperti itu, iaitu hukuman bunuh terhadap ahli sihir, telah dilakukan pada masa Umar RA. Jadi perkara tersebut adalah Ijmak Sahabat kerana ia adalah hukuman berat yang dijalankan di hadapan mereka tanpa sebarang pengingkaran. Imam Ahmad telah mengeluarkan dari Sufyan dari jalur Jaz`u bin Muawiyah bapa saudaranya Ahnaf bin Qays yang berkata:
أَتَانَا كِتَابُ عُمَرٍ قَبْلَ مَوْتِهِ بِسَنَةٍ أَنْ اُقْتُلُوْا كُلَّ سَاحِرٍ وَرُبَمَا قَالَ سُفْيَانُ وَسَاحِرَةٍ
“Telah sampai kepada kami surat Umar setahun sebelum kematiannya agar “bunuhlah setiap ahli sihir lelaki” dan mungkin Sufyan berkata “dan setiap ahli sihir wanita”.
Adapun yang kami sebutkan berupa aktiviti-aktiviti seni tersembunyi yang dengannya orang ramai dikelabui jika tidak dijelaskan kepada mereka, serta pembohongan dan silap mata oleh para syaikh, maka pelakunya akan dikenakan hukuman ta’zir sesuai dharar yang ditimpakan terhadap orang yang tertipu oleh mereka, di antara mereka yang bermuamalah dengan para syaikh tersebut. Umum mengetahui bahawa hukuman ta’zir dalam Islam boleh sampai pada hukuman bunuh mengikut jenis jenayah yang dilakukan.
Namun, perbezaan di antara hukuman bunuh dalam bentuk hadd dan hukuman bunuh dalam bentuk ta’zir, ialah hukuman bunuh dalam bentuk hadd ialah hadd murtad yang tidak disolatkan orangnya dan tidak dikebumikan di perkuburan orang Islam. Adapun yang kedua, iaitu hukuman bunuh dalam bentuk hukuman ta’zir, maka dia adalah orang Islam yang fasiq atau fajir mengikut jenis jenayahnya, yang mana dia masih disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam.
8- Firman Allah SWT:
﴿فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ ۚ وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ﴾
“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) seseorang pun dengan sihir itu melainkan dengan izin Allah.” [TMQ al-Baqarah (2): 101].
Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang yang mempelajari sihir dan melakukan sihir, mereka boleh melakukan perbuatan tersebut ke atas orang-orang yang bermuamalah dengan mereka, yang menimbulkan masalah-masalah di antara mereka, dan di antara isteri-isteri mereka sehingga menyebabkan talak dan perpisahan. Kemudian Allah SWT menjelaskan perkara akidah yang penting untuk menghilangkan kefahaman yang boleh masuk ke dalam kefahaman orang bahawa ahli sihir mempunyai kemampuan Allah SWT atau boleh mengadakan perkara-perkara yang terlepas dari kehendak Allah SWT. Maka dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku dalam kekuasaan Allah SWT melainkan dengan izin-Nya, yakni tidak mengikut kehendak-Nya. Makna ini adalah maksud kehendak Allah atau yang dinamakan iradah Allah. Jadi tidak akan berlaku sesuatu pun dalam kerajaan (kekuasaan) Allah selain dari kehendak-Nya, iaitu semuanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah SWT atau iradah Allah SWT.
﴿وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ﴾
“Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) melainkan jika dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam” (TMQ at-Takwir [81]: 29).
Ini tidak bermakna ia berlaku dengan keredhaan-Nya, kerana Allah tidak meredhai kekufuran dan kemaksiatan.
﴿إِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنكُمْ وَلَا يَرْضَىٰ لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ﴾
“Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman) kamu dan Dia tidak redha kekafiran bagi hamba-Nya” (TMQ az-Zumar [38]: 7).
Istilah ini mempunyai makna tersebut dengan melakukan istiqra’ (pendekatan induktif) terhadap nas-nas. Keizinan, kehendak atau iradah Allah tidak ditafsirkan daripada hakikat lughawiyah (makna secara bahasa) iaitu mengizinkan, berkehendak atau menginginkan secara bahasa dan yang juga bermaksud toleransi melakukan sesuatu atau meminta sesuatu atau redha terhadapnya. Tetapi ditafsirkan dengan dalalah istilahiyah (makna secara istilah) seperti hakikat ‘urfiyah (makna konvensional) bagi ahli bahasa, ahli fiqh, ahli ushul atau ilmu-ilmu lain.
Firman Allah ﴿بِإِذْنِ اللهِ﴾ mempunyai konotasi yang agung dalam topik ini. Apa yang nampak dari aktiviti-aktiviti tukang sihir di hadapan manusia dari sisi menyihir mata manusia dan menampakkan beberapa perkara yang bukan hakikatnya, kadangkala dikelirukan bahawa mereka (ahli sihir) boleh mencipta seperti Allah SWT atau melakukan perkara-perkara yang tidak boleh dibatalkan oleh Allah. Maka Allah SWT menegaskan bahawa perkara itu tidak berlaku melainkan dengan izin-Nya, iaitu tidak terlepas dari-Nya melainkan dengan keinginan dan kehendak-Nya dengan maksud ini, dan Allah SWT mampu membatalkan sihir mereka sehingga tidak berlaku sesuatu pun dalam kerajaan (kekuasaan) Allah SWT yang terlepas dari-Nya.
Di sini seseorang mungkin berkata: maka mengapa Allah tidak membatalkan sihir mereka?!
Sesungguhnya Allah SWT telah menjelaskan kebaikan dan keburukan. Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa kebaikan dibalas dengan kebaikan dan keburukan akan dibalas dengan keburukan. Kemudian Allah SWT menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT boleh menjadikan kita sebagai satu umat dalam kebaikan atau keburukan.
﴿وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ﴾
“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat” [TMQ Hud (11): 118].
Tetapi Allah SWT kerana hikmah yang Dia ketahui, membiarkan kita memilih apa yang kita inginkan berupa keburukan atau kebaikan dan Allah SWT memberikan balasan untuk keduanya, sehingga ada yang masuk syurga dan ada yang masuk neraka.
﴿وَلَوْ شِئْنَا لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ﴾
“Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami akan memberi petunjuk kepada tiap-tiap jiwa, akan tetapi telah tetaplah perkataan daripada-Ku: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama” [TMQ as-Sajadah (32): 13].
Oleh kerana itu tidak ada ruang untuk soalan, mengapa Allah tidak membatalkan sihir yang buruk itu? Atau mengapa Allah tidak mendorong kita melakukan kebaikan dalam semua perkara yang kita lakukan? Atau mengapa Allah SWT tidak menghalang kita daripada melakukan keburukan supaya kita hanya melakukan kebaikan? … Allah SWT telah menjelaskan kepada kita kebaikan dan keburukan dan membiarkan kita memilih, dan itu adalah hikmah Allah SWT.
﴿لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ﴾
“Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” [TMQ al-Anbiya’ (21): 23].
Tetapi kita, dalam semua keadaan wajib meyakini bahawa dalam kerajaan Allah tidak akan berlaku sesuatu pun yang di luar kehendak Allah SWT. Tetapi semuanya berlaku dengan izin-Nya, keinginan-Nya dan kehendak-Nya SWT.
- Firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ﴾
“Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat.” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Ini bermakna bahawa apa sahaja yang ada dalam sihir itu adalah buruk. Ini adalah sifat untuk apa yang mereka pelajari iaitu sihir.
﴿يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ﴾
“Mereka mengajarkan sihir kepada manusia” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Sifat ini mempunyai dalalah -konotasi- yang jelas bahawa apa yang mereka pelajari sebenarnya memudaratkan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Jadi semua sihir itu buruk dan dharar serta tidak ada manfaatnya.
Kemudian Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang melakukan sihir mengikut apa yang telah kami jelaskan sebelum ini tidak ada bahagian baginya di akhirat kerana dia kafir kepada Allah SWT dan ayat-ayat-Nya.
Firman Allah SWT ﴿اِشْتَرَاهُ﴾ iaitu yang mereka beli. Lafaz ini di sini adalah penggunaan secara majaz, iaitu menjadikannya sebagai kerjaya. Membeli sesuatu adalah tuntutan untuk memanfaatkannya dengan menggunakan barangnya atau mengambil pampasan daripadanya. Dan perbuatan itu di sini ialah mengambil sihir sebagai kerjaya yang melimpah-ruahkan pendapatannya (manfaat mengikut sangkaannya) seolah-olah dia membeli sihir.
Firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ﴾
“Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat.” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Ia adalah khabar dalam erti kata thalab at-tarki (tuntutan untuk meninggalkan), iaitu dalam erti kata larangan yang tegas daripada melakukan sihir.
Firman Allah SWT:
﴿وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ﴾
“Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Yakni amat buruklah perbuatan mereka menjual diri mereka sendiri. Sebab mereka menawarkan diri mereka sendiri untuk hukuman Allah dan mereka menukarnya dengan imbalan neraka jahannam.
﴿مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ﴾
“Tiadalah baginya keuntungan di akhirat” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Imbalan yang disiapkan untuk mereka adalah kompensasi dari diri mereka yang mereka jual dan mereka tukar dengan sihir, imbalan ini adalah kemurkaan Allah, azabNya dan neraka jahannam. Dan hal itu benar-benar jual beli yang buruk dan merugikan.
Firman Allah SWT:
﴿لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ﴾
“Kalau mereka mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Maksudnya, jika mereka dapat mengambil manfaat dari apa yang mereka ketahui, kerana orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan tidak boleh memanfaatkannya dan tidak berpegang kepada dalalah (konotasi) apa yang diketahuinya, seolah-olah dia tidak mengetahui. Siapa yang mengetahui bahawa sihir itu akibatnya adalah keburukan dan penyesalan kemudian dia melakukannya, maka seolah-olah dia tidak tahu hal itu. Ini termasuk ungkapan yang kuat dalam dalalahnya (konotasinya) terhadap topiknya. Sungguh Maha Suci Allah SWT!
Rasulullah SAW berlindung kepada Allah SWT dari ilmu yang tidak bermanfaat.
«أَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ وَقَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ وَعَيْنٍ لاَ تَدْمَعُ»
“Aku berlindung kepada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk dan mata yang tidak dapat menangis” [HR Ahmad].
Penggunaan ini sangat kuat seperti yang telah kami katakan. Dan ia terdapat di dalam Kitabullah di selain tempat ini. Seperti yang digunakan dalam dalalah-dalalah yang lain.
﴿أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ﴾
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” [TMQ al-Hajj (22): 46].
﴿صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ ﴾
“Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti” [TMQ al-Baqarah (2): 171].
Jadi orang yang tidak memanfaatkan pendengarannya seolah-olah dia tidak boleh mendengar.
Orang yang tidak memanfaat penglihatannya seolah-olah dia tidak boleh melihat.
Orang yang tidak memanfaatkan mulutnya seolah-olah dia tidak boleh berbicara.
Dan orang yang tidak memanfaatkan akalnya seolah-olah dia tidak berakal.
Dan orang yang tidak memanfaatkan ilmunya seolah-olah dia tidak mengetahui], selesai.
Dan di dalam ini ada kecukupan jika Allah menghendaki.
Saudaramu Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
18 Ramadhan 1444 H
09 April 2023 M
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer/jurisprudence-questions/88113.html
https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/posts/776448380709200
[1] Dikeluarkan oleh Imam Ahmad. Makna yaqrifûna adalah mereka mencampurkan kebohongan di dalamnya.
[2] Ini adalah penggunaan secara majaz dengan hubungan al-musabbabiyah (menyatakan musabab untuk menunjukkan sebab). Sihir adalah sebab kekafiran.
[3] Tafsîr at-Thabarî, I/451
(Selesai Bahagian 3/3)