Perdagangan di Pasaran Forex
Soalan:
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Soalannya adalah seperti berikut:
Perdagangan di pasaran Forex (pasaran pertukaran mata wang asing) menggunakan kontrak derivatif kewangan, iaitu Kontrak Perbezaan (Contract for Difference – CFD), yang melibatkan aktiviti dagangan dan spekulasi terhadap pergerakan harga sesuatu aset, tanpa berlaku pembelian dan penjualan aset tersebut secara sebenar seperti dalam urus niaga biasa.
Pasaran Forex ialah pasaran global yang dikawal selia oleh badan dan institusi antarabangsa yang memantau pedagang, perantara institusi kewangan, serta institusi lain seperti bank dan dana rizab.
Untuk saya memasuki pasaran forex, saya memerlukan perantara kewangan (broker) yang mempunyai kontrak komersial antara saya dan pihak tersebut. Salah satu kontrak tersebut ialah kontrak CFD, di mana saya perlu mendepositkan sejumlah wang kepada perantara itu, dan melalui aplikasi telefon, saya boleh melakukan perdagangan mata wang asing.
[Amin Jarar]
Terdapat banyak fatwa yang membincangkan topik ini, ada sebahagian menetapkan hukumnya halal dan sebahagian lagi menetapkan hukumnya haram (dan ini merupakan pendapat majoriti). Namun, kebanyakannya hanya menjawab bagi merangkumi isu leverage kewangan dan caj semalaman (riba), yang sebenarnya boleh dielakkan dengan mudah semasa transaksi perdagangan. Akan tetapi, inti persoalannya adalah prinsip kontrak (akad) itu sendiri — adakah ia bercanggah dengan syariah?
[Usamah al-Fari’ah]
Jawapan:
Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh.
Apa yang saya faham tentang forex ialah “forex adalah singkatan bagi Foreign Exchange”, iaitu pertukaran mata wang asing. Ia merupakan pasaran global yang sangat besar untuk perdagangan mata wang dengan tujuan memperoleh keuntungan daripada perbezaan harganya”. Dan kami telah menjawab soalan yang sama pada 14/10/2024, dan saya petik apa isi kandungan daripada hasil perbincangan yang terkait dengan perdagangan mata wang asing:
[Perdagangan emas dan perak: Adapun emas dan perak, jika jual belinya dilakukan antara sesamanya atau dengan wang, maka serah terima secara langsung adalah wajib –hâ`a wa hâ`a– (tunai –yadan bi yadin-) sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang dikeluarkan oleh imam al-Bukhari dan Abu Dawud dari Umar:
الذَّهَبُ بِالْوَرِقِ رِباً إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ»
“Emas dengan dirham riba kecuali hâ`a wa hâ`a”.
Iaitu secara tunai (yadan bi yadin). Oleh itu, pembelian emas dengan perak atau dengan wang tidak sah melainkan dilakukan dengan serah terima secara langsung.
Dan setelah kami meneliti tatacara perdagangan melalui internet, didapati bahawa serah terima tersebut tidak berlaku serta‑merta, bahkan mengambil masa berjam‑jam atau berhari‑hari. Oleh itu, tidak dibenarkan membeli emas dan perak menggunakan kad elektronik melalui internet kecuali jika kad tersebut didebitkan daripada akaun berkenaan secara segera pada saat pembelian emas atau perak, iaitu secara tunai (yadan bi yadin — hâ’a wa hâ’a)
Jadi janganlah anda menerima emas atau perak itu kecuali pada waktu sejumlah harganya telah didebit daripada akaun anda … Dan oleh kerana perdagangan melalui internet, di situ tidak berlaku serah terima secara segera tetapi selepas satu atau dua hari, maka dengan demikian ianya tidak dibenarkan …
– Perdagangan saham dan surat berharga adalah diharamkan kerana saham merupakan saham syirkah musâhamah (Syarikat Terhad-pent: Cth Syarikat Sdn Bhd /Syarikat Berhad) yang secara syarie adalah batil, dan kerana surat berharga tersebut mempunyai kaitan dengan riba. Kami sudah menghuraikan topik syirkah musâhamah (Syarikat Terhad) di buku an-Nizhâm al-Iqtishâdî dan demikian juga di booklet Kegoncangan Pasaran Kewangan (Hazât al-Aswâq al-Mâliyah) dan terdapat juga di buku-buku lain. Dan kami telah menyuarakannya di booklet Kegoncangan Pasaran Kewangan secara ringkas sebagai berikut:
[Terkait hukum transaksi saham dan obligasi (bon), sama ada jual mahupun beli, adalah diharamkan. Hal itu kerana saham adalah saham Syarikat Terhad yang secara syarie batil, dan itu adalah surat berharga yang mengandung sejumlah gabungan daripada modal yang halal dan keuntungan yang haram dalam akad batil dan muamalah yang batil. Setiap surat berharga daripadanya (setiap lembar saham) dengan nilai bahagian daripada aset syirkah yang batil, dan aset ini bercampur dengan transaksi batil yang dilarang oleh syarak, maka ia merupakan harta yang haram, tidak boleh dijual atau dibeli, dan tidak boleh dijadikan bahan transaksi. Demikian juga halnya dengan surat hutang (obligasi/bon) di mana wang yang dilaburkan dengan riba, serta saham bank atau seumpama dengannya, maka ia mengandungi sejumlah harta yang haram. Oleh itu, menjual dan membelinya adalah diharamkan kerana harta yang terkandung di dalamnya adalah harta yang haram], selesai.
– Perdagangan mata wang melalui internet seperti Dolar dan Euro adalah diharamkan.
Ini adalah kerana tiada berlaku transaksi serah terima. Serah terima mestilah ada dalam pertukaran mata wang. Serah terima secara tunai (yadan biyadin) sebagaimana yang berlaku pada emas dan perak, turut berlaku pada mata wang kertas dengan ‘illat (sifat monetari –an-naqdiyah– iaitu penggunaannya sebagai harga dan upah). Kami telah menghuraikan perkara ini di dalam Jawab Soal pada 11/7/2004 seperti berikut :
(Transaksi kertas berharga (wang kertas): Benar, ke atasnya dikenakan hukum yang sama seperti emas dan perak dari sudut riba serta hukum-hukum wang yang lain. Keadaan ini kerana terwujudnya ‘illat (sifat monetari –an-naqdiyah– iaitu penggunaannya sebagai harga dan upah) pada kertas ini menjadikannya tertakluk kepada hukum-hukum wang.
Oleh itu, pembelian jenis-jenis ribawi dengan wang kertas ini, termaktub apa yang dinyatakan dalam hadis “yadan bi yadin –tunai–” iaitu bukan pembayaran secara tertangguh (dayn). Dan topik itu dihuraikan seperti berikut:
– Rasullulah SAW bersabda:
«الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ، مِثْلًا بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَداً بِيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَداً بِيَدٍ»
“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, dan garam dengan garam; mestilah sama timbangan dan secara tunai (yadan bi yadin). Jika berbeza jenisnya, maka jual belilah sesuka hati kamu asalkan secara tunai.” [HR al-Bukhari dan Muslim][dari jalur ‘Ubadah bin ash-Shamit RA].
Nas tersebut jelas, apabila berbeza jenis antara jenis-jenis ribawi ini, maka jual belinya adalah harus sesuka kalian, iaitu tidak disyaratkan kesamaan tetapi syaratnya ialah serah terima secara tunai. Lafaz al-ashnâf (jenis-jenis) dinyatakan secara umum merangkumi semua jenis ribawi iaitu enam jenis harta, dan tidak ada pengecualian daripadanya kecuali dengan nas. Oleh kerana tiada nas, maka hukumnya adalah harus pertukaran gandum dengan barli, atau gandum dengan emas, atau barli dengan perak, atau kurma dengan garam, atau kurma dengan emas, atau garam dengan perak dan sebagainya, sekalipun berbeza nilai transaksi dan harga, namun mestilah dilakukan secara tunai dan serta merta (yadan bi yadin), iaitu bukan secara hutang/tertangguh (laysa daynan). Dan apa yang berlaku terhadap emas dan perak juga berlaku terhadap wang kertas dengan sebab adanya ‘illat (sifat monetari –an-naqdiyah– iaitu penggunaannya sebagai harga dan upah) selesai.
Dengan mengkaji tatacara perdagangan ini melalui internet dalam jual beli emas, menjadi nyata bahawa terdapat penangguhan dalam serah terima atau settlement selama sehari atau dua hari selepas tarikh akad. Hal ini menyalahi syarat serah terima yang telah dipersetujui dan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda: ‘yadan bi yadin’ — iaitu secara serta merta-“. Imam al-Bukhari telah mengeluarkan dari al-Bara` bin ‘Azib beliau berkata, kami bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu, maka baginda bersabda:
«مَا كَانَ يَداً بِيَدٍ فَخُذُوهُ وَمَا كَانَ نَسِيئَةً فَذَرُوهُ»
“Apa yang tunai, maka ambillah, dan apa yang dengan penangguhan (tidak tunai) maka tinggalkanlah”.
Imam Muslim telah mengeluarkan dari Malik bin Aws bin al-Hadatsan bahawa ia berkata,
أَقْبَلْتُ أَقُولُ مَنْ يَصْطَرِفُ الدَّرَاهِمَ فَقَالَ طَلْحَةُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ وَهُوَ عِنْدَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَرِنَا ذَهَبَكَ ثُمَّ ائْتِنَا إِذَا جَاءَ خَادِمُنَا نُعْطِكَ وَرِقَكَ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ كَلَّا وَاللَّهِ لَتُعْطِيَنَّهُ وَرِقَهُ أَوْ لَتَرُدَّنَّ إِلَيْهِ ذَهَبَهُ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ «الْوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِباً إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ…»
“Aku datang, aku katakan “siapa yang menukar dirham?” Maka Thalhah bin Ubaidillah berkata dan dia bersama dengan Umar bin al-Khattab, “tunjukkan emasmu kemudian berikan kami, jika pembantu kami datang kami berikan dirhammu”. Maka Umar bin al-Khattab berkata, “tidak, demi Allah, sungguh engkau beri dia dinar atau engkau kembalikan kepadanya emasnya sebab Rasulullah SAW bersabda: “dirham dengan emas riba kecuali hâ`a wa hâ`a (tunai) …”.
Atas dasar itu, maka perdagangan Euro, Dolar dan mata wang lain melalui internet tidak dibolehkan kerana tiada serah terima dengan kadar segera.
Saya berharap penerangan di dalam ini mencukupi, wallâhu a’lam wa ahkam. 11 Rabi’ul Akhir 1446 H / 14/10/2024 M] selesai yang dijawab daripada Jawab Soal terdahulu ..
Dan berdasarkan hal tersebut, selama perdagangan itu berlangsung sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas, maka ia adalah tidak sah. Kontrak (akad) untuk melakukan aktiviti yang disebutkan itu adalah tidak dibolehkan …
Ini yang dapat saya rajihkan didalam permasalahan ini, wallâhu a’lam wa ahkam.
Saudaramu
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
11 Jumadal Ula 1447 H
02/11/2025 M
https:// hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/105768.html
https:// http://www.facebook.com/ataabualrashtah1942/posts/122159054330716841
#forex #saham #ekonomi #perdagangan #kontrak