[Fikrul Islam] Manusia Itu Bersifat Lemah dan Terbatas
Penulis: M. R. Kurnia
Manusia itu lemah dan terbatas, baik dari segi perkara yang boleh diindera mahupun perkara yang ghaib. Semua orang tahu bahawa jantungnya sentiasa berdegup. Adakah anda tahu berapa kali jantung berdegup pada minit pertama, minit kedua, dan seterusnya? Berapa banyak rambut yang ada di kepala anda? Berapa kali sejak manusia mula baligh sehingga kini rambutnya gugur? Berapa banyak air yang telah anda minum dalam hidup anda? Berapa biji pasir dalam satu baldi plastik? Banyak lagi persoalan yang sukar malah tidak mampu dijawab oleh manusia. Kalaupun mampu dijawab, ia hanya dalam bentuk jangkaan, bukan perkara yang pasti. Ini baru terkait perkara-perkara sederhana yang boleh diindera. Manusia sememangnya lemah dan terbatas.
Dalam isu material yang lebih kompleks, manusia juga sukar untuk menjawabnya. Mengapa manusia memiliki rasa kasihan dan pada masa yang sama sombong? Mengapa manusia memiliki rasa sayan dan benci pada masa yang sama? Mengapa manusia mempunyai rasa ingin memiliki? Mengapa ada keinginan untuk membina keluarga? Mengapa memiliki rasa takut ? Apa yang menyebabkan semua perkara tersebut jika dianalisis dari sudut kimia? Apakah hubungan antara ciri-ciri yang terdapat pada semua manusia itu dengan oksigen, karbon dioksida, air, nitrogen, sulfur, besi, dan unsur-unsur yang terdapat dalam tubuh manusia? Manusia tidak dapat menjawabnya. Walaupun anda boleh memberi jawapan, ia hanya sebatas jangkaan, tidak tepat dan pasti! Sesungguhnya manusia itu sememangnya lemah dan terbatas!
Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara ghaib. Bagaimana sebenarnya jin? Siapakah malaikat? Apakah arsy ? Adakah faedah bank itu baik atau buruk? Adakah berbohong itu baik atau salah? Adakah berkahwin itu baik atau buruk? Adakah perang baik atau buruk? Dan 1,001 jenis soalan-soalan lain. Dengan hanya bergantung pada akal semata-mata, manusia tidak akan mampu menjawabnya.
Jika anda memaksa diri untuk menjawabnya, jawapan akan saling berbeza antara satu orang dengan yang lain, malah sering bercanggah antara satu sama lain. Sikap antara generasi juga selalunya berbeza. Akhirnya, kebenaran menjadi relatif bergantung pada masa dan juga tempat
Minuman keras dianggap baik pada satu masa, tetapi buruk pada masa yang lain. Menjadi pelacur dilihat sebagai buruk pada satu keadaan, tetapi disebut sebagai baik pada masa berlakunya tekanan ekonomi, misalnya. Idea untuk menyamakan semua agama adalah dipandang tepat bagi manusia moden, tetapi tidak begitu bagi masyarakat tradisional.
Demikianlah, perbezaan dan percanggahan yang berlaku antara sesama manusia, walaupun topik yang dibincangkan adalah sama. Belum lagi menyebut tentang manusia yang sering mempunyai pemikiran dan pendapat yang berbeza tentang isu yang sama, pada masa yang berbeza. Itulah realiti manusia.
Manusia semuanya lemah, serba kekurangan dan terbatas. Jika dalam hal sebegini, manusia itu lemah dan serba kekurangan, apatah lagi dalam hal menentukan kebaikan-kebaikan dunia dan akhirat untuk umat manusia.
Persoalan ini bagi seorang muslim bukan semata-mata didasarkan pada realiti yang dilihatnya. Dia mestilah benar-benar meyakini firman Allah SWT dalam al-Quran yang memberitahu bahawa pengetahuan manusia itu amatlah terbatas. Allah SWT berfirman,
وَمَاۤ اُوۡتِيۡتُمۡ مِّنَ الۡعِلۡمِ اِلَّا قَلِيۡلًا
“Dan tidaklah kalian aku beri ilmu melainkan sedikit.” [TMQ al-Isra (17): 85]
Lebih dari itu, Allah SWT Pencipta manusia menggambarkan ciptaanNya itu dengan menyatakan,
اِنَّهٗ كَانَ ظَلُوۡمًا جَهُوۡلًا
“Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [TMQ al Ahzab (33): 72).
Oleh kerana itu, tidaklah menghairankan apabila manusia sering kali menyangka sesuatu itu baik, padahal ia buruk, dan menyangka sesuatu yang buruk sebagai baik. Berkaitan dengan perkara ini, Allah SWT memberitahu kepada kita,
وَعَسٰۤى اَنۡ تَكۡرَهُوۡا شَيۡـــًٔا وَّهُوَ خَيۡرٌ لَّـکُمۡۚ وَعَسٰۤى اَنۡ تُحِبُّوۡا شَيۡـــًٔا وَّهُوَ شَرٌّ لَّـكُمۡؕ وَاللّٰهُ يَعۡلَمُ وَاَنۡـتُمۡ لَا تَعۡلَمُوۡنَ
“Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui.”[TMQ al-Baqarah(2): 216].
Berdasarkan realiti kelemahan dan sifat serba kekurangan manusia ini, maka menyerahkan pengaturan kehidupan kepada hukum-hukum dan peraturan yang dihasilkan oleh akal manusia hanya akan mendatangkan kerosakan dan keburukan.
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam