[Fikrul Islam] Allah Maha Tahu
Penulis: M. R. Kurnia
Allah SWT adalah Zat Yang Maha Mengetahui. Allah sendiri yang telah menjelaskan kepada kita bahawa Dia mengetahui segala-galanya. Tiada apa yang berlaku di mana-mana dan apa sahaja yang dilakukan oleh manusia, yang terlepas daripada pengetahuanNya.
وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ
“Dan Dia Maha Mengetahui atas segala sesuatu.”
Begitulah firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 29. Apa yang ada dalam hati, Allah SWT mengetahuinya.
اِنَّهٗ عَلِيۡمٌۢ بِذَاتِ الصُّدُوۡرِ
“Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui tentang apa yang ada dalam dada.” [TMQ al-Anfal (8): 43].
Segala perbuatan manusia juga diketahui olehNya. Allah SWT berfirman,
اِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ ۢبِمَا يَفْعَلُوْنَ
“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas apa yang mereka perbuat.” [TMQ Yunus (10): 36].
Selain itu, Allah SWT telah mengutus malaikat untuk mencatat segala amalan manusia. Dengan tegas Allah menjelaskan,
كِرَامًا كَاتِبِيۡنَ
يَعۡلَمُوۡنَ مَا تَفۡعَلُوۡنَ
“Sesungguhnya pada kalian ada para penjaga malaikat yang mulia dan menulis amal. Mereka mengetahui apa pun yang kalian lakukan.” [TMQ al-Infithar (82): 11-12].
Ayat di atas menjelaskan dengan pasti (qath’ie) bahawa Allah Maha Mengetahui segala perbuatan manusia. Selain itu, segala perbuatan manusia dicatat oleh malaikat. Oleh itu, manusia tidak akan dapat mengemukakan sebarang alasan. Manusia tidak akan dapat mengelak dan menafikan apa yang dilakukannya di dunia. Lebih dari itu, manusia akan menjadi saksi terhadap dirinya sendiri.
اَلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلٰٓى اَفۡوَاهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَاۤ اَيۡدِيۡهِمۡ وَتَشۡهَدُ اَرۡجُلُهُمۡ بِمَا كَانُوۡا يَكۡسِبُوۡنَ
“Pada hari ini kami tutup mulut mereka. Dan berkatalah kepada kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki mereka terhadap apa yang mereka kerjakan.” [TMQ Yasin (36): 65].
Berdasarkan ini, satu-satunya jalan untuk selamat ialah sentiasa terikat dengan hukum syarak, hukum Allah SWT yang telah ditetapkanNya. Jika tidak, kerugian tidak ditanggung oleh orang lain, melainkan oleh diri sendiri. Ini kerana,
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِّزْرَ اُخْرٰى
“Seseorang tidak akan menanggung kesalahan orang lain.” [TMQ Faathir (35): 18].
Anehnya, seseorang tidak berani menipu dalam ujian kerana takut diketahui. Namun, mengapa dalam perbuatannya dia tidak takut sama sekali jika ia diketahui oleh Allah SWT, padahal Allah SWT sememangnya mengetahui segala-galanya.
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam