[Fikrul Islam] Terikat dengan Hukum Allah
Penulis: M. R. Kurnia
Allah SWT telah memerintahkan di dalam Al-Quran untuk selalu terikat dengan hukum syarak. Terdapat banyak sekali ayat di dalamnya yang menegaskan tentang perkara tersebut. Sebagaimana, firman Allah SWT:
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa terbeban dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” [TMQ An-Nisa (4): 65].
Nabi SAW senantiasa menegaskan bahawa tolok ukur adalah wahyu yang dibawanya. Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan sabda Rasulullah SAW,
“Tinggalkanlah olehmu apa sahaja yang telah kutinggalkan. Sesungguhnya yang menyebabkan kehancuran umat-umat sebelum kamu ialah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan mereka bertindak tidak sesuai dengan apa yang disampaikan oleh nabi-nabi mereka. Oleh kerana itu, bila aku melarang sesuatu kepada kamu sekalian maka jauhilah, dan bila aku memerintahkan sesuatu maka laksanakan dengan sekuat tenaga.”
Suatu ketika dahulu, Abu Najih al-‘Irbadl bin Sariyah berkata tentang Rasulullah SAW, baginda telah memberi suatu nasihat kepada kami yang nasihat itu mampu untuk mencuit hati dan menitiskan air mata, kemudian kami berkata, “Wahai Rasulullah, nasihat itu seakan-akan suatu nasihat yang disampaikan kepada orang yang akan ditinggalkan, kerananya berilah kami wasiat.” Baginda pun bersabda,
“Saya berwasiat kepada kalian agar selalu bertakwa kepada Allah serta selalu mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang budak dari Ethiopia. Dan sesungguhnya sesiapa sahaja di antara kalian yang dipanjangkan umur, maka mereka akan melihat banyak perselisihan. Oleh kerana itu, kalian mesti berpegang teguh pada sunnahku dan sunah Khulafa rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu (peganglah teguh-teguh sunnahku itu), dan janganlah kalian mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kerana sesungguhnya setiap bidaah itu adalah sesat.” [HR Abu Daud dan Tirmidzi].
Seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah SAW lebih tegas lagi menyatakan,
“Semua umatku akan masuk ke dalam syurga kecuali orang yang tidak mahu.” Terdapat salah seorang sahabat yang bertanya, “Siapakah yang tidak mahu itu, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Barang siapa yang taat kepadaku, maka dia akan masuk syurga dan barang siapa yang derhaka kepadaku, maka dia itu enggan masuk syurga.”
Dengan demikian, orang yang merindukan keselamatan hidup akan senantiasa terikat dengan hukum syarak tersebut.
Jadi, Islam telah menetapkan bagi manusia suatu tolok ukur untuk menilai segala sesuatu sehingga dapat diketahui bahawa perbuatan yang terpuji bermakna yang mesti segera dilaksanakan atau perbuatan tercela iaitu buruk, maka mesti segera ditinggalkan. Tolok ukur ini adalah hukum syarak iaitu pengaturan dari Allah SWT yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan bukan akal dan hawa nafsu manusia. Apabila syarak menilai perbuatan tersebut sebagai baik, maka itu adalah terpuji. Tetapi apabila syarak menilai suatu perbuatan sebagai buruk, maka itu adalah tercela. Dalam kaedah usul fikih disebutkan,
“Sesuatu yang terpuji adalah sesuatu yang dipuji oleh syarak dan sesuatu yang tercela adalah yang dicela oleh syarak.”
Tolok ukur ini bersifat abadi dan tidak berubah selama-lamanya. Oleh kerana itu, perbuatan yang terpuji menurut syarak seperti jujur, menepati janji, berbuat baik kepada ibu bapa, berjual beli dengan jalan yang halal dan lain-lain tidak akan berubah menjadi perbuatan yang tercela (buruk). Demikian juga perbuatan yang tercela (buruk) seperti berbohong, mengingkari janji, menfitnah, rasuah, memakan harta riba, menghalangi tegaknya Islam, mengabaikan dakwah dan lain-lain tidak akan berubah menjadi perbuatan terpuji (baik). Jadi apa yang dinyatakan terpuji oleh syarak akan terpuji selamanya, begitu juga apa yang dicela oleh syarak selamanya akan tetap tercela.
Dengan demikian, manusia akan hidup di muka bumi ini dengan berada di atas jalan yang lurus. Jalan yang mendatangkan kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman. Hal ini merupakan sesuatu yang wajar sebab mereka berjalan di atas ketentuan Allah SWT yang telah menciptakan, mengatur mereka, dan mengetahui secara pasti yang baik dan buruk bagi manusia.
Sebaliknya, jika manusia menjadikan akal dan hawa nafsu mereka untuk menentukan perbuatan terpuji atau tercela. Dengan kata lain, mereka membuat pelbagai peraturan yang bertentangan dengan aturan yang diturunkan oleh Allah SWT, sehingga mereka berjalan di atas jalan yang salah, maka yang akan didapatkannya hanyalah kesengsaraan, kekacauan, kegelisahan, dan pelbagai bencana yang silih berganti. Allah SWT berfirman,
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah SWT merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar.” [TMQ ar-Ruum (30): 41].
Keterikatan dengan hukum syarak ini tidak boleh ditunda-tunda. Rasulullah SAW bersabda,
“Bersegeralah kalian untuk melakukan amal-amal soleh, kerana akan terjadi suatu bencana yang menyerupai malam yang gelap gelita, di mana ada orang pada waktu pagi beriman, tetapi pada waktu petang dia kafir; pada waktu petang dia beriman, tetapi pada waktu pagi dia kafir;dia rela menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” [HR Muslim].
Cuba kita renungkan pada hadis di atas, hampir atau bahkan sememangnya telah terjadi. Betapa banyak godaan dan halangan bagi orang yang melakukan kebaikan. Tetapi sebaliknya, banyak kemudahan bagi orang yang melakukan kemaksiatan. Contohnya ialah orang yang hendak mengaji, solat berjemaah di masjid apalagi berdakwah bukan main halangannya. Terkadang dengan seribu satu alasan ini. Mak, kewajipannya ditinggalkan.
Namun, bagi orang yang hendak membunuh, menggunakan senjata tajam, lalu yang ingin berzina pula boleh menjumpai wanita simpanan di mana-mana, bercampur antara lelaki dan perempuan, meninggalkan hukum Islam, menentang hukum Allah juga dibiarkan atas nama kebebasan berpendapat. Bermakna semuanya serba mudah dalam menapaki jalan kemaksiatan. Rasulullah SAW justeru memerintahkan untuk segera melakukan kebaikan. Jangan ditunda-tunda.
Para sahabat Nabi merupakan contoh yang terbaik dalam mengikat hukum syarak. Setelah ayat tentang perubahan kiblat solat dari Baitulmaqdis ke Meka [TMQ Al-Baqarah (2): 144] diturunkan, Rasulullah SAW sedang solat bersama para sahabatnya menghadap kiblat (Mekah). Setelah selesai solat, salah seorang yang ikut berjemaah dengan Rasulullah SAW lalu di masjid yang orang-orangnya sedang rukuk. Dia pun berkata, “Aku bersaksi kepada Allah SWT, sungguh aku telah solat bersama Nabi menghadap kiblat.”
Mereka pun dengan segera mengubah arah kiblat pada saat itu juga. Sikap sahabat yang digambarkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim tadi menggambarkan betapa para sahabat tidak menunda-nunda dalam melakukan perbuatan yang berasal dari Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Demikian pula ketika ayat tentang pengharaman khamar (arak) dalam surah Al-Maidah, ayat 90 turun, para sahabat bersegera membuang simpanan khamar masing-masing dan tidak menunda-nunda. Sehingga digambarkan bahawa tanah Madinah pada waktu itu menjadi basah akibat penuh dengan pembuangan khamar. Peristiwa ini menunjukkan bahawa para sahabat Nabi SAW senantiasa berusaha untuk berpegang teguh kepada hukum syarak.
Akan tetapi, tidak cukup hanya dengan terikat melainkan juga berusaha untuk melakukannya dengan secepat mungkin dan semampunya. Berdasarkan hal ini, seorang muslim akan berusaha sekuat tenaga agar terikat dengan hukum dan aturan Islam.
Berdasarkan hal ini, terbukti bahawa manusia merupakan makhluk yang lemah dan terbatas. Seluruh perbuatannya akan dihisab oleh Allah SWT, Zat yang Maha Cepat hisab-Nya, sedangkan Allah Maha Tahu atas seluruh perbuatan manusia termasuk isi hatinya dan malaikat juga turut mengawasi. Allah SWT juga memerintahkan untuk selalu terikat dengan hukum-hukumNya.
Semua ini membuatkan orang yang takut akan hari akhir nanti selalu terikat dengan hukum syarak. Untuk itu, kita perlu memahami hukum-hukum syarak. Caranya adalah melalui menghadiri pengajian Islam. Oleh kerana itu, setiap muslim yang ingin berbahagia akan selalu berusaha untuk mendalami Islam dan menerapkannya.
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam