[Tafsir al-Quran] Perintah untuk Memperhatikan Makanan yang Halal dan Tayyib [Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat 168]
Penulis: Siti Murlina, S.Ag.
Allah SWT berfirman dalam TMQ al-Baqarah ayat 168,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَٰلًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
Adapun asbabun nuzul dari surah Al-Baqarah ayat 168 tersebut menurut Imam Al-Alusi al-Baghdadi (wafat 1854 M) menyatakan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan kaum musyrikin dari kaum Tsaqif, Bani Amir bin Sha’sha’ah, Khuza’ah, dan Bani Mudlij yang mengharamkan untuk diri mereka memakan haiwan ternak seperti unta bahiirah, saaibah, washiilah, ham, dan susu (yoghurt). Mereka juga mengharamkan hasil buah seperti kurma. Ibnu Jarir dan Ibnu Abbas RA mengatakan ayat tersebut turun untuk Abdullah bin Salam dan kelompoknya ketika mereka mengharamkan daging unta sebagaimana sebelumnya daging tersebut juga dihukum sebagai haram dalam agama Yahudi [Mahmud Al-Alusi, Ruhul Ma’ani, juz II, halaman 38].
Syeikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, pakar fikih dan tafsir negeri Syria dalam Tafsir Al-Wajiz menjelaskan tentang maksud ayat di atas adalah, “Wahai manusia, makanlah sesuatu yang diciptakan oleh Allah untuk kalian di bumi yang diperbolehkan dan boleh kalian nikmati, dan janganlah mengikuti jalan syaitan yang mengajak menuju kepada kemaksiatan, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian.”
Ibnu Kathir dalam tafsirnya meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa ayat “yā ayyuhan-nāsu kulū mimmā fil-ardli ḫalālan thayyiba” ini pernah dibaca di sisi Nabi Muhammad SAW. Kemudian Saad bin Abi Waqash berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar menjadikanku orang yang diijabah doanya.” Nabi Muhammad SAW bersabda, “Wahai Sa’ad, perbaikilah makananmu, maka engkau akan menjadi orang yang diijabah doanya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNya, sungguh seseorang yang memasukkan satu suapan haram dalam perutnya, maka amal ibadahnya tidak diterima selama 40 hari, dan sungguh hamba yang dagingnya tumbuh dari sesuatu yang haram dan riba, maka api lebih utama untuknya.” [Ibnu Kathir, Tafsir Al-Qur’anil Azhim, juz I, halaman 478].
Syeikh Abdurrahman bin Nashir as Sa’di, pakar tafsir abad 14 H dalam Tafsir As-Sa’di menyatakan, ayat tersebut ditujukan kepada seluruh manusia, baik yang mukmin mahupun yang kafir. Allah SWT telah memberikan kenikmatan kepada mereka dengan memerintahkan kepada mereka untuk makan dari seluruh yang ada di bumi seperti biji-bijian, hasil tanaman, buah-buahan, dan haiwan dalam ‘keadaan halal’ iaitu yang telah dihalalkan buat kalian untuk dimakan, yang bukan dari rampasan mahupun dari hasil mencuri, bukan pula diperoleh dari hasil transaksi bisnes yang diharamkan, atau dalam bentuk yang diharamkan, atau dalam hal yang membawa kepada yang diharamkan, ‘lagi baik’, maksudnya bukan yang kotor seperti bangkai, darah, daging babi, dan seluruh hal-hal yang kotor.
Diambil dari pemahaman para ahli tafsir, dalam surah Al-Baqarah ayat 168 tersebut menunjukkan bahawa para ulama fikih telah bersepakat, “Asalnya seluruh benda yang ada itu hukumnya adalah boleh, hukumnya baik untuk dimakan mahupun dimanfaatkan, sebelum ada dalil yang melarang atau mengharamkannya.”
Mereka telah membahagikan perkara yang diharamkan daripadanya, iaitu ada dua jenis; pertama, yang diharamkan kerana zatnya (haram lizatihi). Contohnya seperti anjing, babi, bangkai, darah, arak, dan sebagainya. Juga transaksinya [haram], baik jual beli, sewa menyewa, mahupun memproses dan menghasilkannya. Kedua, diharamkan kerana dikaitkan dengan sesuatu (haram lighayrihi), iaitu yang haram kerana berkaitan dengan hak-hak Allah atau hak-hak manusia. Contohnya seperti mencuri, ghasab (merampas secara paksa), riba, berjudi, dan seumpamanya.
Dalam ayat ini juga Allah SWT dengan sharih menjelaskan bahawa memakan makanan dalam rangka untuk memenuhi fitrah adalah wajib, dan akan berdosa orang yang meninggalkannya atau melalaikannya. Ini kerana perintah untuk memakan yang “halalan thayyiban” dan larangan dalam “mengikuti langkah-langkah syaitan” di dalam ayat tersebut mengandungi kemaslahatan yang sangat banyak.
Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi, mudarris tafsir di Masjid Nabawi dalam Aisarut Tafasir menjelaskan bahawa maksud dari kata ‘halal’ adalah segala sesuatu yang tidak membahayakan, dan itu adalah segala sesuatu yang Allah SWT izinkan untuk dimanfaatkan. Dan ‘tayyib‘ adalah sesuatu yang suci, tidak najis, dan tidak menjijikkan yang tidak disukai oleh jiwa.
Perintah memakan makanan yang halal dan baik adalah syarat diterimanya doa. Selain itu, ia juga menyihatkan tubuh, menguatkan akal, dan menjadi wasilah yang menghantar kepada kejernihan fikiran dan hati dalam rangka membangunkan ketaatan kepada Allah SWT.
Apabila mengambil makanan yang haram, selain menghalangi dari terkabulnya doa juga menyebabkan fikiran dan hati rosak serta kotor. Hal ini menimbulkan kecenderungan pada kemaksiatan, kekufuran, kefasikan, dan kezaliman dan ini adalah langkah-langkah syaitan. Hal ini juga menjauhkan manusia dari ketaatan dan membuatnya menderhakai Allah SWT.
Termasuk dalam bentuk kederhakaan tersebut adalah mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang diharamkan oleh Allah SWT berdasarkan akal semata-mata, bukan berdasarkan pada nas atau dalil. Hal ini pernah dilakukan oleh kaum musyrik jahiliah dahulu.
Kebanyakan keburukan dan kerosakan di dunia disebabkan oleh was-was dan gangguan syaitan. Oleh kerana itu, Allah SWT melarang manusia mengikuti langkah musuhNya dan musuh manusia, iaitu syaitan. Hal ini kerana jika mereka mengikuti langkah syaitan akan menghantarkan menuju kesengsaraan dan kebinasaan baik di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat selanjutnya,
إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” [TMQ al-Baqarah (2): 169].
Allah SWT menegaskan dalam ayat yang lain bahawa syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia, firmanNya,
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.”[TMQ Faathir (35):6].
Agar perintah ini berjalan dengan baik, mestilah ada peraturan dari negara untuk menyediakan dan memastikan makanan yang beredar adalah halal dan tayyib. Negara mestilah menjadi perisai bagi rakyatnya untuk mendapatkan makanan dan minuman yang halalan tayyiban. Wallahu’alam bissawab.
Sumber: suaramubalighah.com