[Tafsir al-Quran] Mengingatkan Manusia tentang Asal-usulnya
[Tafsir Surah Al-Mursalat [77]: 20-23]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
أَلَمۡ نَخۡلُقكُّم مِّن مَّآءٖ مَّهِينٖ * فَجَعَلۡنَٰهُ فِي قَرَارٖ مَّكِينٍ * إِلَىٰ قَدَرٖ مَّعۡلُومٖ * فَقَدَرۡنَا فَنِعۡمَ ٱلۡقَٰدِرُونَ *
“Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina. Kemudian Kami letakkannya dalam tempat yang kukuh (rahim) hingga waktu yang ditentukan. Kemudian Kami tentukan (bentuknya). Oleh itu Kamilah sebaik-baik Penentu. Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.” [TMQ al-Mursalat (77): 20-23].
Dalam ayat-ayat sebelumnya, Allah SWT menegaskan tentang kebinasaan kaum-kaum kafir terdahulu. Begitu juga dengan kaum-kaum sesudahnya. Mereka mesti mengalami perkara yang sama. Mereka semua Allah binasakan. Hal itu disebabkan mereka mempunyai tingkahlaku yang sama, iaitu menjadi mujrimîn (orang-orang yang melakukan dosa).
Kemudian ayat-ayat ini mengingatkan tentang asal-usul mereka. Mereka dicipta daripada air yang hina. Seolah-olah ingin dikatakan: Bagaimana mereka mendustakan dan berani melakukan kejahatan kepada Allah SWT, padahal Allah SWT menciptakan mereka dari barang yang hina?
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman, “Alam nakhluqkum min mâi[n] mahîn[n] (Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina).”
Khithâb (seruan) ayat ini ditujukan kepada manusia. Ibnu Jarir at-Thabari berkata, “Bukankah Kami telah menciptakan kamu, wahai manusia.”[1]
Seperti dalam ayat sebelumnya, kalimat tanya dalam ayat ini juga adalah istifhâm taqrîrî (kalimat tanya untuk menetapkan).[2] Justeru ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT benar-benar telah menciptakan manusia daripada mâi[n] mahîn[n] (air yang hina).
Menurut Ibnu Abbas dan ramai ahli tafsir lain, perkataan mahîn[n] dalam ayat ini bermaksud dha’îf (lemah).3 Ibnu Kathir, al-Qurthubi, dan as-Syaukani juga memaknakan perkataan ini sebagai dha’îf haqîr (lemah dan hina).[4]
Menurut Abdurrahman as-Sa’di, perkataan ini bermakna fî ghayâh haqârah (di puncak kehinaan), yang keluar dari antara sulbi dengan tarâ’ib.[5]
Menurut Ibnu Kathir, air itu lemah dan hina jika dibandingkan dengan Kekuasaan Tuhan Yang Maha Pencipta ‘Azza wa Jalla. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Yasin melalui hadis Bisyar bin Jahsy,
ابْنَ آدَمَ أَنَّى تُعْجِزُنِي وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ مِثْلِ هَذِهِ؟
“Wahai anak Adam, apakah yang menghalangKu berbuat kepadamu, padahal Aku telah menciptakanmu dari sesuatu yang hina seperti ini (air mani)?”[6]
Air yang lemah dan hina yang menjadi asal-usul manusia itu adalah an-nuthfah. Demikian penjelasan ahli-ahli tafsir.[7] Dari situlah manusia diciptakan. Allah SWT berfirman,
وَٱللَّهُ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٖ ثُمَّ مِن نُّطۡفَةٖ
“Allah menciptakan kamu dari tanah kemudian dari air mani.” [TMQ Fathir (35): 11].
Kemudian Allah SWT berfirman, “Faj’alnâhu fî qarâr[in] makîn[in] (Kemudian Kami meletakkannya dalam tempat yang kukuh [rahim]).”
Diberitakan bahawa air yang hina itu diletakkan di dalam qarâr[in] makîn[in] (tempat yang kukuh). Iaitu di dalam makân harîz (tempat tertutup).[8] Tempat itu tidak lain adalah rahim. Demikian penjelasan ahli-ahli tafsir.[9] Di dalam rahimlah air mani lelaki bertemu dengan indung telur kemudian terus membesar dan berkembang menjadi janin manusia sehingga bersedia untuk dilahirkan.
Ibnu Kathir berkata, “Kemudian Kami kumpulkan di dalam rahim, iaitu tempat pertemuan air mani lelaki dan indung telur. Rahim memang disediakan untuk itu dan menjaga air mani yang tersimpan di dalamnya.”[10]
Kemudian Allah SWT berfirman, “Ilâ qadar[an] ma’lûm (hingga waktu yang ditentukan).” Perkataan qadar dalam ayat ini bermaksud miqdâr (ukuran). Menurut al-Alusi dan as-Syaukani, qadar[an] ma’lûm bermaksud miqdâr ma’lûm (ukuran tertentu).[11] Dalam konteks ayat ini, ukuran yang dimaksudkan ialah ukuran masa. Oleh itu, sebahagian ahli tafsir lain menafsirkan perkataan ini sebagai waqt ma’lûm (waktu tertentu). Ibnu Jarir berkata, “Hingga waktu tertentu apabila janin keluar dari rahim menurut Allah SWT.”[12]
Al-Alusi berkata, “Sehingga waktu yang telah ditentukan di sisi Allah SWT untuk dilahirkan, selama sembilan bulan, kurang atau lebih.” [13]
Ibnu Kathir berkata bahawa masa yang ditentukan ialah enam bulan atau sembilan bulan.[14]
Sebagaimana Allah SWT yang meletakkan embrio bakal manusia ke dalam rahim, Dia juga yang menentukan tempoh masa di dalamnya sehingga ia keluar. Bukan yang lain (Lihat juga: Surah Luqman [31]: 34).
Kemudian Allah SWT berfirman, “Faqadarnâ fani’ma al-Qâdirûn (Kemudian Kami menentukan (bentuknya).” Oleh itu Kamilah sebaik-baik Penentu). Terdapat perbezaan dalam membaca frasa ‘Faqadarnâ’ dalam ayat ini. Ada yang membaca frasa itu dengan tasydîd, sebagaimana pada umumnya qurrâ‘ di Madinah. Ada juga yang membaca frasa itu dengan takhfîf, sebagaimana pada umumnya qurrâ‘ di Kufah dan Bashrah.[15]
Menurut al-Kisa‘i dan al-Farra‘, kedua-dua perkataan tersebut mengandungi satu makna.[16] Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, kadang-kadang satu perkataan yang at-tasydîd atau at-takhfîf mengandungi satu makna.[17]
Maknanya, menurut az-Zuhaili: Kamilah yang menentukan bentuk dan ciptaannya.[18] Dialah yang menciptakan organ-organ tubuhnya dan sifat-sifatnya; Dia menjadikan setiap keadaan mengikut sifat yang Dia kehendaki.[19]
Menurut al-Jazairi, maksud frasa ‘faqadarnâ’ ialah: Dia telah menciptakan janin tersebut dengan sebaik-baik bentuk dan susunan jarak antara organ tubuh yang paling teliti seperti antara dua mata, dua tangan, dua kaki, dan dua telinga. Semuanya ditentukan dengan ukuran yang sangat mengagumkan, tidak lebih dan tidak kurang.[20]
Kemudian ditegaskan, “fani’ma al-Qâdirûn (Oleh itu Kamilah sebaik-baik Penentu).” Perkataan ni’ma ialah perkataan yang digunakan untuk memuji, sebagaimana perkataan bi’sa yang digunakan untuk mencela.[21]
Kemudian diteruskan dengan firman-Nya, “Wayl[un] yawmaizi[n] li al-mukazzibîn (Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan).” Allah SWT sekali lagi menyampaikan ancaman keras terhadap orang-orang yang mendustakan. Mereka akan ditimpa kecelakaan pada hari itu. Ibnu Jarir at-Thabari berkata, “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang mendustakan kerana Allah SWT telah menciptakan mereka dari air yang hina.” [22]
Menurut as-Samarqandi, seksa yang dashyat bagi orang yang melihat ciptaan pertama, tetapi mengingkari ciptaan kedua.[23]
Menurut Fakhruddin ar-Razi, ayat ini adalah dari jenis ketiga untuk memberikan rasa takut kepada orang-orang kafir. Hal itu terlihat dalam dua perkara:
Pertama: Allah SWT mengingatkan mereka akan besarnya nikmat-Nya kepada mereka. Semakin banyak kenikmatan Allah SWT ke atas mereka, kejahatan mereka bertambah buruk dan keji. Sudah tentu hukuman terhadap mereka lebih besar. Oleh itu, penyebutan nikmat tersebut diakhiri dengan firmanNya, “Wayl[un] yawmaizi[n] li al-mukazzibîn.”
Kedua: Sesungguhnya Allah SWT telah mengingatkan mereka tentang kewujudanNya Yang Maha Kuasa dalam mencipta kali pertama. Nampak jelas mengikut akal bahawa Zat Yang Maha Kuasa memulakan, Maha Kuasa juga untuk mengulangi lagi. Oleh itu, apabila mereka mengingkari petunjuk yang terang tersebut, maka Allah SWT berfirman tentang hukuman bagi mereka, “Wayl[un] yawmaizi[n] li al-mukazzibîn.”[24]
Beberapa Pengajaran Penting
Pertama: Asal-usul manusia. Ayat ini mengingatkan manusia bahawa kewujudan mereka di dunia ini tidak berlaku dengan sendirinya. Mereka wujud kerana ada yang menciptakan mereka. Dialah Allah SWT. Ini dengan jelas dinyatakan dalam firmanNya, “Alam nakhluqkum (Bukankah Kami menciptakan kamu).”
Seperti yang telah dijelaskan, kalimat ini adalah istifhâm taqrîrî. Iaitu Alllah SWT benar-benar telah mencipta mereka. Hal ini sangat banyak diceritakan dalam al-Quran.
Ayat ini juga menyatakan bahan mentah manusia, bahawa mereka diciptakan oleh Allah SWT daripada air yang hina. Penyebutan air yang hina ini juga terdapat dalam Surah As-Sajdah [32]: 8.
Seperti yang dijelaskan oleh ahli-ahli tafsir, yang dimaksudkan dengan itu adalah nutfhah atau air mani yang ditumpahkan ke dalam rahim. Selain daripada ayat ini, terdapat ayat lain yang menceritakan perkara yang sama [Lihat, misalnya: Surah Al-Qiyamah [74]: 37].
Ini berbeza dengan bapa pertama mereka, iaitu Adam. Adam diciptakan oleh Allah SWT dari tanah [lihat Surah As-Sajdah [32]: 7].
Ini jelas merupakan satu kenikmatan yang sangat besar bagi manusia. Malah ia juga boleh disebut sebagai sumber kenikmatan. Ini kerana tiada kenikmatan lain yang dapat dirasai oleh manusia jika dia tidak ada. Oleh itu, hendaklah dia bersyukur kepada Zat Yang menciptakan dirinya, iaitu Allah SWT. [Lihat juga: Surah An-Nahl [16]: 78].
Semestinya juga mudah bagi manusia untuk beribadah dan mentaati Allah SWT. Ini kerana untuk tujuan itulah Allah SWT menciptakan mereka [Lihat: Surah Az-Zariyat [51]: 56].
Sesungguhnya manusia tidak sedar diri jika tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT. Apatah lagi jika mereka mengingkari Allah SWT dan menjadi musuh yang nyata bagiNya. Allah SWT berfirman,
أَوَ لَمۡ يَرَ ٱلۡإِنسَٰنُ أَنَّا خَلَقۡنَٰهُ مِن نُّطۡفَةٖ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٞ مُّبِينٞ ٧٧
“Tidakkah manusia memperhatikan bahawa Kami menciptakannya dari setitik air (mani). Kemudian tiba-tiba dia menjadi penentang yang nyata!” [TMQ Yasin (36): 77].
Seperti yang dinyatakan di akhir ayat ini, kecelakaanlah yang akan menimpa mereka yang mendustakan Allah SWT beserta risalah yang diturunkanNya dan rasul yang diutusNya.
Kedua: Kelemahan manusia. Ayat ini mengingatkan manusia bahawa dia adalah makhluk ciptaanNya. Disebutkan juga, mereka dicipta daripada bahan mentah yang lemah, hina, dan menjijikkan. Itulah air mani yang dipancarkan dan diletakkan di dalam rahim ibu mereka. Di situlah kemudian tumbuh, berkembang, dan membesar sehingga suatu masa yang tertentu yang ditetapkanNya. Apabila tiba masanya, manusia dilahirkan. Sebaik dilahirkan dia juga tidak boleh terus berjalan dan berlari. Malah sekadar untuk makan atau minum dia perlukan bantuan daripada pihak lain. Selepas itu dia berkembang menjadi manusia dewasa. Itu hanya boleh berlaku apabila dia memakan rezeki yang Allah SWT berikan kepadanya. Semuanya menunjukkan betapa lemahnya manusia. Dia tidak akan berdaya tanpa mendapat pertolongan dan rezekiNya.
Maka atas dasar apakah manusia berani bersikap sombong terhadap Allah SWT? Malah berani memusuhi Allah SWT dan agamaNya? Sesungguhnya mereka akan mendapat kecelakaan.
Ketiga: Allah SWT adalah sebaik-baik Pencipta dan Penentu segala sesuatu. Seperti yang telah dijelaskan, nuthfah yang menjadi bahan asas kepada manusia diletakkan di dalam rahim. Di situlah janin tumbuh, membesar dan berkembang menjadi janin dalam tempoh masa tertentu. Pada umumnya kira-kira sembilan bulan. Itu adalah masa yang tepat apabila janin dilahirkan.
Begitu juga dengan tubuh manusia dan seluruh organnya. Kesemuanya serasi dan mempunyai fungsi-fungsi yang luar biasa. Manusia diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya [Lihat: Surah At-Tin [95]: 4]. Padahal asal-usulnya hanyalah dari setitis air yang lemah dan hina. Semuanya menunjukkan keagungan Penciptanya. Dia adalah sebaik-baik Pencipta [Lihat: Surah Al-Mukminun [23]: 14].
Keempat: Kepastian orang-orang yang mendustakan ditimpa kecelakaan dan azab. Itu adalah hukuman yang layak bagi mereka. Mengapa tidak. Dia yang pada asalnya tidak ada, kemudian diciptakan sebagai makhluk yang sempurna bentuknya dan dilengkapi dengan akal sihat, tiba-tiba mendustakan Penciptanya. Membangkang dan tidak mahu tunduk kepada syariatNya. Padahal syariat yang diturunkan sangat berguna untuk kehidupan mereka. Oleh itu, tidak ada balasan yang layak bagi mereka melainkan hukuman yang keras.
Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
1 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 132.
2 Az-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, vol. 29. (Damsyiq: Dar al-Fikr al-Mu’asir, 1998), 318
3 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24, 132.
4 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1999), 298
5 As-Sa’idi, Taysîr al-Karîm al-Rahmân (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 904.
6 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 298; al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 19 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1964), 159; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1994), 432.
7 Ar-Razi, Mafâtîh ala-Ghayb, vol. 30 (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, 1420 H), 772; al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 15 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 193; al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 19, 159; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 432; al-Khazin, Lubâb al-Ta`wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 383; al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), 435.
8 Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 19, 159; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 432.
9 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 30, 772; al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 19, 159; Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 299; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 432; al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3, 435; ; al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, vol. 5 (Beirut Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1998) , 275.
10 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 299.
11 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 432. Lihat juga al-Zamakhsyari, al-Kaysysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab), 679.
12 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24, 132.
13 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 15, 193.
14 Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8, 299.
15 Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24, 132.
16 Asy-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 432
17 Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24, 133.
18 Az-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, vol. 29,319.
19 Az-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, vol. 29,320.
20 Al-Jazairi, Aisar al-Tafâsîr, vol. 5 (Madinah: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, 2003), 349.
21 Al-Asfahani, al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân (Damaskus: Dar al-Qalam, 1992), 815-816.
22 Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24, 133.
23 As-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3, 435.
24 Ar-Razi, Mafâtîh ala-Ghayb, vol. 30, 771-772.