[Syarah Hadis] Pemerintahan sesudah Rasulullah SAW wafat
Penulis: Achmad Fathoni
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ اْلأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ اْلأَوَّلِ فَاْلأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ
“Dahulu Bani Israel diurus oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, dia akan digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada nabi sesudah aku. Yang akan ada adalah para khalifah dan mereka ramai.” Para sahabat bertanya, “Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Nabi bersabda, “Penuhilah baiat yang pertama. Yang pertama sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah SAW akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa yang diminta agar mereka mengurusnya.” [HR Bukhari, Muslim, Ahmad, dan Ibn Majah].
Hadis ini juga diriwayatkan di dalam Shahîh Ibn Hibbân; Musnad Abi ‘Awanah; Sunan al-Kubrâ al-Bayhaqî; Mushannaf Ibn Abi Syaybah; Musnad Ishhaq Ibn Rahawayh; Musnad Abi Ya’la al-Mûshili; Musnad li al-Khalâl oleh Abu Bakar al-Khalal; dan di dalam As-Sunah li Ibn Abi ‘Ashim.
Hadis ini menjelaskan beberapa hal,
Pertama, kata tasûsu berasal dari sâsa-yasûsu-siyâsah. Menurut Ibn Manzhur dalam Lisân al-‘Arab, sâsa al-amr siyâsah bermakna: qâma bihi (melaksanakan amanah). Menurut As-Suyuthi, Abdul Ghani, dan Fakhr al-Hasan ad-Dahlawi dalam Syarh Sunan Ibn Mâjah, as-siyâsah adalah riyâsah wa ta’dîb ‘alâ ar-ra’iyah (kepimpinan dan pendidikan terhadap rakyat). Secara bahasa, siyâsah maknanya ra’â syu’ûnahu (memelihara urusan-urusannya). Dengan demikian as-siyâsah (politik) maknanya ri’âyah syu’ûn al-ummah (pengaturan dan pemeliharaan urusan-urusan umat).
Kedua, kanat banû isrâ‘îla tasûsuhum al-anbiyâ’. Menurut Ibn Hajar al-‘Ashqalani di dalam Fath al-Bari, frasa ini bermakna, “Jika kelihatan di tengah mereka kerosakan, Allah SWT akan mengutus seorang nabi yang meluruskan dan mengatur urusan mereka dan menghilangkan hukum Taurat yang telah mereka ubah. Di dalamnya ada isyarat bahawa mesti ada orang yang mengurusi urusan-urusan rakyat, membimbing mereka kepada kebaikan dan memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi dari orang yang zalim.”
Menurut Imam An-Nawawi dalam Syarh Shahîh Muslim, makna frasa itu adalah bahawa para nabi mengurusi urusan mereka seperti yang dilakukan oleh para amir dan wali terhadap rakyat. As-Siyâsah (politik) adalah mengatur sesuatu dengan apa yang membuat sesuatu itu menjadi baik.
Ketiga, Nabi SAW juga menjalankan peranan politik ri’ayah asy-syu’un, iaitu memelihara dan mengatur urusan-urusan umat sebagaimana nabi-nabi Bani Israel. Bahkan Nabi termasuk di antara sedikit nabi yang istimewa. Ini disebabkan oleh, selain menjawat posisi kenabian, baginda pun menjadi penguasa yang melakukan ri’ayah asy-syu’un secara praktikal.
Keempat, wa innahu lâ nabiyya ba’di. Ini menegaskan bahawa kenabian sudah diakhiri oleh Rasulullah SAW dan merupakan penutup para nabi. Oleh kerana itu, siapa sahaja yang mendakwa kenabian dalam bentuk apapun adalah pendusta.
Kelima, kerana tidak ada nabi sesudah baginda, muncul pertanyaan, “Lalu siapa yang memelihara urusan umat?” Pertanyaan itu juga ditanyakan oleh para sahabat. Dalam riwayat Abu ‘Awanah dalam Musnad-nya, Ibn Majah dalam Sunan-nya dan Ibn Abi Syaibah dalam Mushannaf-nya, para sahabat bertanya, “fa mâ yakûnu yâ Rasûlallâh (Apa yang akan ada, ya Rasulullah)?” Jawab Rasulullah SAW, “wa sayakûnu khulafâ’u fa yaktsurûn.”
Jadi, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa yang akan memelihara dan mengatur urusan kaum muslim setelah pemergian Rasulullah SAW adalah para khalifah yang terus berganti hingga jumlahnya ramai.
Keenam, Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam Afkâr Siyâsiyah menjelaskan, “Mafhum sabda Nabi SAW itu, bahawa selain amir bukanlah penguasa dan bahawa selain khalifah tidak boleh menjalankan peranan politik secara praktikal terhadap rakyat.” Hadis ini adalah dalil bahawa pengaturan dan pemeliharaan (siyâsah/ri’âyah syu’ûn) rakyat secara praktikal hanyalah kekuasaan penguasa dan bukan selain penguasa. Ini adalah salah satu dalil—selain dalil-dalil lainnya—atas pembatasan kekuasaan dan ri’ayah rakyat hanya oleh penguasa, iaitu khalifah dan orang yang mewakili dia, atau amir dan orang yang mewakili dia.
As-Sulthân adalah ri’âyah syu’ûn secara mengikat dan memaksa. Ertinya, pelaksanaan tanggungjawab penguasa hanya oleh penguasa. Siapa pun selain penguasa tidak boleh melaksanakan tugas ini. Jelas, syariat telah memberikan hak itu hanya kepada khalifah dan orang yang mewakili dia.
Orang lain—siapa pun dia—yang melakukan tugas penguasa dan ri’âyah syu’ûn terhadap rakyat—adalah menyalahi syariat sehingga batil. Setiap tindakan batil adalah haram. Jadi, selain khalifah dan orang yang ditunjuk oleh khalifah, iaitu selain penguasa, tidak boleh (haram) melakukan aktiviti pemerintahan dan kekuasaan serta ri’âyah syu’ûn secara mengikat dan memaksa.”
Ketujuh, fû bibay’ati al-awwal fa al-awwal. Imam An-Nawawi menjelaskan, maknanya adalah, “Jika dibaiat seorang khalifah setelah pembaitan khalifah sebelumnya, maka baiat pertama adalah sahih dan wajib dipenuhi, sedangkan baiat kedua adalah batil dan haram dipenuhi; haram pula menuntut Khilafah itu, baik diakadkan untuk yang kedua oleh mereka yang mengetahui baiat yang pertama ataupun tidak tahu; baik di dua negeri atau di satu negeri, atau yang satu di negeri imam yang terpisah dan yang lain di negeri lainnya. Inilah yang benar, yang menjadi pendapat ashhab kami dan jumhur ulama.”
Jadi, khalifah itu mesti seorang dan haram lebih dari seorang. Bahkan dalam riwayat Imam Muslim dinyatakan, “fa [u]qtulû al-âkhira minhumâ (maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya).”
Kelapan, a’thûhum haqqahum, iaitu taati mereka dan bergaul dengan mereka dengan mendengar dan taat, kerana Allah SWT akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa yang mereka lakukan terhadap kalian, tentu selama mana mereka tidak memerintahkan kemaksiatan. Dalam hal ini terdapat perincian di dalam syariat.