[TPOM] Ummu Mahjan: Kemiskinan dan Kelemahan Tak Menghalangnya Berjuang di Jalan Islam
Oleh: Marni Rosmiati
Terkadang kita salah mengukur diri dan mencari-cari alasan untuk tidak memiliki peranan apa pun di jalan perjuangan dakwah Islam. Kita menganggap bahawa hal itu adalah tugas para ulama, ustaz, dan asatizah. Selain itu, kita juga menjadikan kesibukan, kemiskinan, penyakit, dan usia tua sebagai alasan yang sering dilontarkan apabila kita enggan atau mahu keluar dari perjuangan dakwah.
Wahai saudariku! Kita diseru untuk menunaikan kewajipan dakwah, tidak lain demi mewujudkan kehidupan Islam. Dengan mencurahkan segenap kemampuan kita, berkorban dengan apa pun yang kita miliki dalam rangka menegakkan bangunan Islam yang agung. Allah tidak menuntut amal dan pengorbanan yang sama atas setiap muslim, tapi Allah meminta sebatas yang kita mampu. Sebagaimana firman Allah SWT:
لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا ۗ
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 28)
Menegakkan bangunan masyarakat Islam, tidak semuanya jadi mandor. Akan tetapi dalam usaha membangun masyarakat Islam terdiri dari beragam kerja atau amal. Sebagaimana orang membangun rumah, ada yang membuat design bangunannya, ada yang membuat tapaknya, ada yang membangun dindingnya, ada juga yang memasangkan pelengkap bangunannya seperti tingkap dan pintu. Oleh kerana itu, jangan menganggap remeh peranan sekecil apa pun dalam perjuangan di jalan Allah.
Sepenggal kisah muslimah inspirasi tentang Ummu Mahjan, akan penulis hantarkan sebagai teladan yang nyata dalam hal kesungguhan, tawadhuk, dan tanggungjawab berkhidmat kepada Islam. Meskipun keadaannya boleh dikatakan sebagai orang miskin yang terpinggir.
Disebutkan Ash-Shahih ibnu Sa’ad dalam Ath-Thabaqat (VIII/414) tanpa menyebutkan nama sebenarnya, beliau dipanggil dengan nama Ummu Mahjan dan menetap di Madinah. Ummu Mahjan adalah seorang wanita miskin yang memiliki tubuh yang lemah. Kehidupan Ummu Mahjan yang sangat bersahaja ini menjadikannya sangat dekat dengan Rasulullah, sang ketua negara. Kerana Rasulullah adalah sosok pemimpin yang sangat memperhatikan kaum yang miskin dan lemah, Rasulullah sentiasa mengunjungi orang-orang miskin dan menanyakan keadaan mereka, serta memberi makanan kepada mereka.
Dalam keadaan yang serba terbatas, Ummu Mahjan tidak pernah merasa berkecil hati ataupun putus asa. Keimanannya yang tinggi menjadikan beliau merasa memiliki tanggungjawab untuk menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan Islam. Termasuk kewajipan berdakwah dan berpolitik mengurusi urusan umat dengan Islam. Maka dengan penuh semangat, setiap hari Ummu Mahjan membersihkan kotoran dan dedaunan yang ada di sekitar Masjid Nabawi. Beliau menyapu dan membuangnya ke dalam tong sampah. Dengan penuh dedikasi, beliau sentiasa menjaga kebersihan rumah Allah. Sebab dalam pandangan Ummu Mahjan, masjid adalah tempat berkumpulnya para ahli politik, pejuang, dan para ulama.
Saat itu masjid ibarat gedung parlimen yang sebanyak lima kali sehari digunakan sebagai tempat bermusyawarah. Juga menjadi pejabat bagi Rasulullah SAW, sebagai ketua negara dalam mengurusi berbagai urusan kemaslahatan umat. Bahkan menjadi universiti tempat mendidik dan membina umat. Begitulah fungsi masjid di masa Rasulullah SAW. Begitu juga yang terjadi pada masa Khulafaur Rasyidin, dan begitu jugalah seharusnya peranan masjid hari ini hingga hari kiamat kelak.
Dengan alasan itulah Ummu Mahjan tidak lemah semangatnya. Amal itulah yang menjadi sasaran yang dapat beliau lakukan. Beliau tidak meremehkan pentingnya membersihkan kotoran di sekitar masjid, untuk memastikan agar suasana yang bersih dan nyaman bagi Rasulullah dan para sahabat dalam bermusyawarah yang mereka lakukan secara rutin. Ummu Mahjan juga tidak merasa rendah diri dengan peranannya yang hanya membawa penyapu, bukan dengan pedang ataupun pidato yang menggelegar ketika berjuang untuk Islam.
Ummu Mahjan terus menerus melakukan pekerjaan tersebut hingga beliau wafat di masa Rasulullah SAW. Maka para sahabat membawa jenazah beliau setelah malam tiba, dan mereka mendapati Rasulullah masih tidur sehingga mereka tidak ingin membangunkan beliau. Maka mereka terus sembahyangkan dan menguburkan jenazah Ummu Mahjan di Baqi’ul Gharqad.
Tibalah pagi hari, Rasulullah merasa kehilangan wanita tersebut. Kemudian beliau menanyakan keberadaan Ummu Mahjan kepada para sahabat. Mereka menjawab, “Beliau telah dikubur wahai Rasulullah, kami telah mendatangi Anda dan kami mendapati Anda masih dalam keadaan tidur sehingga kami tidak ingin membangunkan Anda.” Maka beliau SAW berkata, “Marilah kita pergi!” Maka pergilah Rasulullah dan para sahabat menyertai Nabi sehingga mereka menunjukkan kuburan Ummu mahjan. Maka berdirilah Rasulullah SAW, sementara para sahabat berdiri bersaf-saf di belakang beliau, kemudian Rasulullah solat dan bertakbir empat kali.
Berikut hadis yang menceritakan kisah Ummu Mahjan:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ -فِي قِصَّةِ الْمَرْأَةِ الَّتِي كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ- قَال: فَسَأَلَ عَنْهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: مَاتَتْ, فَقَالَ: “أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي”? فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا. فَقَالَ: “دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهَا”, فَدَلُّوهُ, فَصَلَّى عَلَيْهَا.
“Dari Abu Hurairah RA. Beliau berkisah tentang seorang wanita yang biasa membersihkan masjid (di masa Nabi). Suatu ketika Rasulullah SAW kehilangan orang itu, sehingga beliau pun menanyakannya. Para sahabat menjawab, “Orang itu telah meninggal.” Beliau bersabda: “Kenapa kalian tidak memberitahukan kepadaku?” Seolah-olah mereka menganggap remeh urusan kematiannya. Baginda pun bersabda: “Tunjukkanlah kepadaku di mana letak kuburnya?” Maka para sahabat pun menunjukkan kuburnya, dan akhirnya beliau mensolatkannya. Setelah itu beliau bersabda: “Sesungguhnya kuburan-kuburan ini telah dipenuhi kegelapan bagi penghuninya. Dan Allah benar-benar akan memberikan mereka cahaya kerana solat yang aku kerjakan atas mereka.” (HR. Bukhari no. 458 dan Muslim no. 956, sahih ijma’)
Semoga Allah sentiasa merahmati Ummu Mahjan. Sekalipun beliau seorang yang miskin dan lemah, akan tetapi beliau turut berperanan sesuai kemampuannya. Beliau memberikan pelajaran bagi kaum muslimin melalui catatan sejarah, bahawasanya tidak boleh menganggap remeh suatu amal sekecil apa pun. Beliau mampu mengubah kemiskinan dan kelemahan fizikal menjadi kekayaan dan kekuatan iman untuk mencapai puncak kemuliaan di sisi Allah SWT.
Setiap amal dalam perjuangan menegakkan kalimat Allah adalah kebaikan. Jika kita ikhlas dan istiqamah menjalankannya sesuai kemampuan yang kita miliki, maka inshaAllah amal kebaikan tersebut akan menjadi saksi kelak di yaumil qiyamah. Bahawasanya kita telah turut melakarkan warna indah dalam perjuangan di jalan Allah yang akan mengantarkan kita ke syurga-Nya. Aamiin.
Wallahu a’lam bishshawab.
#thepowerofmother #muslimahinspirasi #ummumahjan #muslimahberpolitik #perananmuslimah