[Nafsiyah] Memperjuangkan Risalah para Pemenang
Penulis: Ustaz Irfan Abu Naveed
Detik kelahiran Rasulullah SAW ke muka bumi bukan sekadar kelahiran keturunan Nabi Adam AS, tetapi momentum ke arah lahirnya mesej unggul yang dibawa oleh para pemenang. Risalah ini mesti mengatasi semua agama dan kepercayaan, sebagaimana firmanNya,
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkan di atas segala agama meskipun kaum musyrik membencinya.” [TMQ As-Saff (61): 9]
Allah ’Azza wa Jalla ketika memperkenalkan dinNya menegaskan li yuzhhirahu ‘ala al-din kullihi, diawali huruf lam al-ta’lil. Ini menjadi penanda hikmah turunnya risalah Islam sebagai petunjuk dan satu-satunya din yang benar, ia hadir untuk diunggulkan atas seluruh agama (tanpa pengecualian). Syeikh Muhammad ’Ali ash-Shabuni menukil maqalah Abu Su’ud al-’Imadi (w. 982 H) dalam Shafwat at-Tafasir (VIII/245) yang menuturkan, “Sungguh Allah SWT benar-benar telah memenuhi janjiNya dengan kecenderungan pada Dinul Islam. Ia menjadi topik pembicaraan. Tidaklah tersisa agama dari pelbagai agama yang ada, melainkan telah dikalahkan dan ditundukkan oleh Dinul Islam.”
Risalah Islam menjadi rahmat bagi semesta alam [TMQ al-Anbiya’ (21): 107] dan menjadi sebab kemuliaan orang-orang beriman [TMQ al-Munafiqun (63): 8]. Isyarat-isyarat kemenangan pun dikemukakan dalam pelbagai petunjuk tersurat dan tersirat.
Isyarat Kemenangan dalam Momentum Kelahiran Rasulullah SAW
Isyarat kemenangan bahkan telah muncul pada saat-saat kelahiran Nabi Muhammad SAW ke dunia yang dihiasi dengan pelbagai peristiwa luar biasa (khawariq li al-‘adah). Kesemuanya mencerminkan irhashat (pelbagai tanda karamah untuk bakal Nabi). Dipersetujui bahawa Rasulullah SAW dilahirkan ke dunia pada hari Isnin di Mekah Al-Mukarramah di ‘آm al-Fil iaitu Tahun Gajah sebagai kinayah dari kedatangan serbuan Pasukan Gajah Habsyah dan Abrahah yang ingin menghancurkan Kaabah, tetapi berakhir dengan kemusnahannya (lihat: TM al-Fil (105): 1–5].
Para ulama pakar sirah, Al-Imam al-Baihaqi (w. 458 H) dalam Dala’il an-Nubuwwah (I/126), Al-Hafizh Ibn Katsir (w. 774 H) dalam As-Sirah an-Nabawiyyah (I/215), sebagaimana diringkaskan dalam kitab Ar-Rahiq al-Makhtum (hlm. 45) karya Syeikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfuri (w. 1427 H), mengisahkan pelbagai khawariq li al-’adah yang menandakan akan tunduknya segala agama yang menyimpang dari ajaran Allah SWT kepada Islam. Di antaranya, “Diriwayatkan bahawa pelbagai jenis kejadian luar biasa tanda kenabian terjadi ketika kelahiran Nabi SAW iaitu kemusnahan empat belas balkoni Istana Kisra (Parsi), pemadaman api yang disembah oleh orang Majusi (sebelum ini tidak pernah padam selama 1000 tahun), dan keruntuhan gereja di kawasan Buhairah setelah runtuh sebelum ini.”
Allah SWT berfirman,
وَقُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَٰطِلَ كَانَ زَهُوقٗا ٨١
“Katakanlah, ‘Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap.’ Sungguh yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.” [TMQ Al-Isra’ (17): 81]
Syeikh Ali as-Shabuni dalam Shafwat at-Tafasir (II/158) menjelaskan bahawa Allah SWT menjadikan agamaNya paling unggul daripada agama-agama lain. Allah SWT memancarkan cahaya kebenaran dan sinarnya, iaitu Dinul Islam, dan menghapuskan kebatilan dan penyokongnya. Justeru, momentum kelahiran Rasulullah SAW pada dasarnya merupakan momentum fajar kemenangan Islam.
Benarlah apa yang disenandungkan Al-’Abbas bin ’Abdul Mutallib RA pada momentum kelahiran baginda,
وَأَنْتَ لَمَّا وُلِدْتَ أَشْرَقَتِ الأَرْضُ #
وَضَاءَتْ بِنُورِكَ الأُفُقُ
فَنَحْنُ مِنْ ذَلِكَ النُّورِ فِي الضِّيَاءِ #
وَسُبْلِ الرَّشَادِ نَخْتَرِقُ
Engkau adalah orang yang semasa dilahirkan memuliakan bumi ini / Bersinar dengan cahayamu di kaki langit
Lalu dari cahaya itu kami berada dalam sinar terang/dan jalan-jalan petunjuknya
Tidak berhenti pada pelbagai fenomena luar biasa di atas, selama hidupnya Rasulullah SAW pun mengabarkan pelbagai janji kemenangan umat Islam, iaitu tegaknya Kekhilafahan di atas manhaj kenabian, tertakluknya Konstantinopel dan Rom, kekuasaan umat dari Timur hingga Barat, dan lain-lain yang seluruhnya menuntut pembenaran.
Syeikh Nawawi al-Bantani (w. 1314 H) berkata,
وَأَوْجَبَ التَّصْدِيْقَ لِلأَمِين #
فِيْ كُلِّ مَا جَاءَ بِهِ فِيْ الدِّيْنِ
(Dia) mewajibkan pembenaran atas al-Amin/dalam setiap perkara yang datang dalam urusan ad-Din
Visi Generasi Pemenang
Visi agung sebagai pemenang ini kemudiannya tampak pada lisan yang terucap dalam pernyataan Rib’i bin ‘Amir RA, salah seorang pejuang Islam yang mulia dan pemberani. Ketika itu beliau diutus oleh Panglima Jihad, Saad bin Abi Waqqash RA, untuk menemui Rustum (ketua pasukan Parsi) yang mengajaknya menjelaskan visi kedatangan umat Islam ke wilayahnya, sebelum Perang al-Qadisiyyah ( 636 AD) tercetus. Rustum bertanya, “Apakah tujuan yang membawa kalian ke sini?” Rib’i bin ‘Amir RA mengesahkan,
لَقَدْ اِبْتَعَثَنَا الله لِنُخْرِجَ الْعِبَادَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ رَبِّ الْعِبَادِ، وَمِنْ جُوِرِ اْلأَدْيانِ إِلَى عَدْلِ اْلإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَةِ الدُّنْيَا وَاْلآخِرَة
“Sesungguhnya Allah SWT telah mengirimkan kami untuk mengeluarkan hamba dari penyembahan kepada hamba menuju penyembahan kepada Tuhan para hamba (Allah SWT) semata-mata, dari kezaliman pelbagai agama kepada keadilan Islam, dan dari kesempitan dunia menuju kelapangan dunia dan akhiratnya.”
Kebebasan yang hakiki terbukti dengan beribadah kepada Allah SWT semata-mata, begitu juga dengan sikap mengutamakan Islam yang diredhai Allah SWT, mengatasi segala kepercayaan dan pandangan hidup yang lain. Tiada jalan menuju kemuliaan melainkan melalui Islam. Tiada jalan penyelesaian kepada masalah kehidupan di dunia melainkan dengan melaksanakan Islam.
Perjuangan pada Akhir Zaman, Penuh Tentangan
Dahulu juga Rasulullah SAW memotivasikan pahlawan untuk mengharungi badai, menghadapi ujian untuk menaikkan darjat di hadapan Allah SWT. Baginda bersabda,
إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ نَبِيٌّ قَبْلِي إِلَّا كَانَ حَقًّا عَلَيْهِ أَنْ يَدُلَّ أُمَّتَه عَلَى خَيْرِ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ وَيُنْذِرَهُمْ شَرَّ مَا يَعْلَمُه لهم وَإِنَّ أُمَّتَكُمْ هَذِهِ جُعِلَ عَافِيَتُهَا فِي أَوَّلِهاَ وَسَيُصِيبُ آخِرَهَا بَلَاء وَأُمُورٌ تُنْكِرُوَها وَتَجِيء فِتْنَة فَيُرَقِّقُ بَعْضُهَا بَعْضًا وَتَجِيءُ الْفِتْنَةُ فَيَقُولُ الْمُؤْمِنُ هَذِهِ مُهْلِكَتِي ثُمَّ تَنْكَشِفُ وَتَجِيء الْفِتْنَة فَيَقُولُ الْمُؤْمِنُ هَذِهِ هَذِهِ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنْ النَّارِ وَيُدْخَلَ الْجَنَّةَ فَلْتَأْتِهِ مَنِيَّتُه وَهُوَ يُؤْمِنُ بالله وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِي يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْهِ
“Sesungguhnya tidak ada nabi sebelumku yang diutus, melainkan dia akan memberi petunjuk kepada kaumnya kepada kebaikan yang telah diketahuinya (Allah SWT mengajar) mereka, dan memperingatkan mereka tentang bahaya yang diketahuinya (mengancam) mereka. umatmu akan diselamatkan pada awalnya dan akhirnya mereka akan ditimpa ujian dan pelbagai perkara yang kamu dustakan (tidak suka), kemudian timbul fitnah (musibah) hingga saling menghinakan antara satu sama lain, dan timbul fitnah hingga berkata seorang mukmin, ‘Inilah yang memusnahkan saya!’ Kemudian fitnah itu hilang. Kemudian timbul fitnah lain sehingga seorang mukmin yang lain berkata, ‘Ini! Ini!’ Barangsiapa yang ingin bebas dari siksa neraka dan masuk ke dalam kerajaanNya, hendaklah dia menemui ajalnya dalam keadaan beriman kepada Allah, hari akhir, dan hendaklah dia dikira membawa kepada manusia sesuatu yang dia suka untuk dipersembahkan kepadanya. (perkara yang baik).” [HR Muslim dan An-Nasa’i]
Hadis yang mulia ini memberi amaran akan tibanya suatu masa fitnah yang akan datang dan pergi (ujian yang berat). Mereka yang terselamat ialah mereka yang istiqamah dengan keimanan dan ikhlas berjuang menegakkan Islam sehingga mati. Kehidupan mulia sebagai pejuang Islam atau mati syahid sebagai pemenang, bukankah itu situasi yang terbaik? Wallahu a’lam.
Sumber: alwaie[dot]net