[FIKRUL ISLAM] Pemikiran dan Teori-Teori yang Salah Mengenai Perubahan (Bahagian 3)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Perkara-perkara yang telah dibincangkan sebelum ini merupakan contoh-contoh terhadap pelbagai penyelesaian dan pemikiran yang telah gagal sebagai asas-asas kebangkitan. Kerosakan kepada semua pemikiran yang gagal ini nampaknya disebabkan metod mereka sendiri dan telah jelas kegagalannya. Namun, apa yang perlu diingatkan dalam pemikiran ialah kenyataan kami berkenaan kerosakan semua solusi tersebut sebagai asas kebangkitan tidaklah bermakna menolak terhadap semua itu, maksud kenyataan kami hanyalah penolakan untuk menjadikan penyelesaian tersebut sebagai asas kebangkitan.
Sebenarnya akhlak, ekonomi, pendidikan, persenjataan dan lain-lain adalah perkara yang diperlukan oleh umat maka ia mesti dipenuhi dan sentiasa berusaha untuk merealisasikannya, tetapi usaha ini dilakukan setelah kebangkitan berjaya direalisasikan bukan sebelumnya.
Sebelum memasuki pada solusi yang sahih dan pemikiran yang benar yang pasti boleh membawa kita kepada kebangkitan serta menjadi asas untuk kebangkitan. Terlebih dahulu kita merumuskan sebab-sebab terpenting yang mendedahkan kelemahan beberapa pemikiran yang gugur tadi. Sebab-sebab tersebut di antaranya ialah:
Pertama: Bahawa mereka (para pemikir yang menjadi pencetus dan pemilik idea-idea yang gugur tersebut) tidak mendalami perbincangan tentang punca-punca yang membawa kepada kejatuhan umat ini, mereka hanya berpuas hati dengan pandangan dan teori yang dangkal. Kerana itu, mereka meletakkan solusi-solusi yang berkaitan dengan permukaan sahaja bukan inti masalah, pelbagai solusi yang hanya berkaitan dengan kulit tetapi tidak menyentuh intipati. Akibatnya, mereka telah meletakkan solusi yang sebenarnya hanya sesuai untuk menyembuhkan kesan penyakit tetapi bukan untuk menyembuhkan punca sebenar penyakit.
Mereka seperti seorang doktor yang mengubati penyakit demam menggunakan kain sejuk dan seketul ais, hanya dengan menurunkan suhu badan orang yang sakit dia menyangka bahawa penyakit itu telah berjaya disembuhkan. Atau seperti tabib yang lebih suka merawat jerawat kecil yang timbul pada badan penghidap cacar daripada menentukan punca penyakitnya atau seperti kanak-kanak yang ingin kelihatan besar supaya dia boleh memasuki alam dewasa, maka dia berkata kepada ibunya, “Wahai ibu, pakaikanlah pakaian kakakku supaya aku menjadi besar dan dewasa.”
Mereka seperti orang Badwi yang ingin berubah menjadi orang kota, lalu dia memakai pakaian orang kota dan menyangka bahawa urusannya cukup terhenti pada titik ini sahaja. Mereka semua melakukan hal itu dengan melupakan bahawa apa yang mereka lakukan sebenarnya hanya membincangkan sekadar menzahir (penampakan luar) dan tidak menyentuh punca yang mendasarinya. Agar usaha mereka itu berguna, mereka seharusnya membincangkannya dengan lebih mendalam dan melihat dengan lebih teliti supaya mereka sampai kepada maksud yang dikehendaki.
Kedua: Para pemikir ini telah menumpukan perbincangannya kepada perkara yang bukan menjadi tujuan sebenar mereka iaitu kebangkitan. Objek perbincangan seharusnya bukanlah bagaimana kita maju dari segi ekonomi, ketenteraan dan politik, tetapi objek perbincangan sebenarnya ialah bagaimana manusia dan umat boleh bangkit supaya apabila kebangkitan itu tercapai, umat dapat merasakan hasilnya dalam bentuk kemajuan ekonomi, ketenteraan, sains teknologi dan boleh memimpin dunia secara keseluruhan seperti yang telah dilakukan oleh umat pada masa beberapa kurun yang lalu. Manakala perbincangan mengenai isu ekonomi, persenjataan, dan akhlak pula dilihat sebagai perbincangan dalam perkara yang sebenarnya tidak perlu dijadikan bahan perbincangan.
Apa yang telah dijelaskan di atas mesti jelas dan terang apabila kita memikirkan tentang usaha rawatan yang boleh menjamin kebangkitan umat. Agar boleh membangkitkan umat, kita harus memahami hakikat manusia dengan pemahaman yang sempurna, kita juga mesti memahami fakta umat dan masyarakat.
Sebarang perhatian yang ditujukan kepada selain perkara itu hanya akan menjadi usaha yang sia-sia, membazir harta dan tenaga secara percuma. Oleh itu, artikel seterusnya akan membincangkan realiti manusia dan cara mengubahnya agar menjadi lebih baik.
Sumber: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
#FikrulIslam #Teori #Pemikiran #Perubahan