[At-Tafkir] Berfikir Politik (Bahagian 6/6)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Berfikir terhadap teks-teks politik merupakan hal yang sangat penting. Hasil-hasilnya merupakan kegagalan atau keberhasilan yang sangat besar. Bahaya kesesatan yang ada di dalamnya adalah bahaya yang akan menghancurkan.
Dari sini, mesti ada perhatian yang mendalam terhadap berfikir politik, dengan perhatian yang lebih besar daripada proses berfikir yang lain. Hal itu kerana berfikir politik adalah suatu kemestian bagi suatu bangsa, sebagaimana kemestian adanya kehidupan.
Hanya saja, meskipun berfikir politik merupakan jenis berfikir yang paling sukar dan paling tinggi, tidak cukup jika ia hanya menjadi proses berfikir individu saja. Ini kerana individu tidak ada nilainya, berapa pun juga jumlahnya dan bagaimanapun juga lurus atau geniusnya pemikiran individu-individu itu. Hal ini kerana penyesatan dalam berfikir politik apabila telah tertanam pada suatu bangsa atau umat, maka untuk menghadapinya tidak cukup dengan kegeniusan individu-individu tertentu.
Tidak ada nilainya juga orang-orang yang genius dalam berfikir politik, berapa pun jumlahnya dan bagaimanapun juga kegeniusan berfikirnya. Itu kerana suatu kesesatan apabila telah tertanam pada diri umat atau bangsa, maka arusnya akan menyapu bersih segala sesuatu. Umat atau bangsa tersebut akan menjadi santapan empuk bagi penyesatan.
Bangsa dan umat yang demikian, apabila bersamanya ada orang-orang yang genius, maka itu akan menjadi makanan yang lazat yang akan disantap dengan lahap oleh musuh-musuhnya. Kejayaan Mustafa Kamal dalam menghancurkan Daulah Islamiyah dan melenyapkan Khilafah pada awal abad ke- 20 M, dan kejayaan Gamal Abdul Nasser pada 1950-an dan 1960-an dalam upayanya menghambat kemerdekaan Arab—padahal bangsa Arab pasca Perang Dunia II telah bersedia untuk memerdekakan diri—merupakan contoh yang nyata untuk buruknya berfikir politik apabila telah menguasai bangsa dan umat.
Dalam keadaan ini, kegeniusan individu-individu tertentu menjadi tidak bermanfaat, selama mereka tetap merupakan individu, meski jumlahnya mencapai ribuan orang. Oleh kerana itu, buruknya berfikir politik tidak akan menimbulkan bahaya bagi individu, tetapi akan menimbulkan bahaya bagi bangsa dan umat. Dengan demikian, perlu ada perhatian pada berfikir politik pada bangsa dan umat dengan perhatian yang melebihi segala sesuatu.
Memang benar, jika proses berfikir politik telah ada pada individu-individu dan berjalan pada jalan yang lurus, maka mereka mungkin dapat melakukan proses berfikir politik yang dapat menghadapi musuh dan dapat mengungkap kesesatannya. Namun, ini hanya dapat terjadi jika proses berfikir politik individu-individu tersebut telah berpindah kepada bangsa dan umat, jika proses berfikir politik pada umat telah menjadi berfikir politik yang sama dengan berfikir politik pada individu, dan jika proses berfikir politik telah berubah menjadi proses berfikir politik pada umat, bukan pada individu.
Dengan demikian, individu-individu tersebut menjadi bahagian yang tidak terpisahkan dari umat, bukan sebagai individu. Umat pun seluruhnya telah menjadi umat yang berfikir, bukan hanya sebahagian individu saja yang berfikir. Jika proses berfikir individual tidak berubah menjadi proses berfikir kolektif, dan jika proses berfikir individu tertentu tidak menjadi proses berfikir umat, maka proses berfikir ini tidak ada nilainya. Individu-individu tersebut tidak ada nilainya juga.
Berfikir politik per individual tidak akan mampu menghadapi musuh dan menghadapi penyesatannya, meskipun jumlah mereka banyak dan tinggi tahap kegeniusannya. Ini kerana yang akan mampu menghadapi musuh hanyalah proses berfikir yang ada pada suatu bangsa dan umat.
Memang benar bahawa individu-individu yang genius adalah manusia biasa, sama seperti manusia yang lain. Mereka tidak memiliki keistimewaan dari manusia biasa yang lain dari segi sifat kemanusiaan mereka. Manusia pun memandang individu-individu genius itu dengan pandangan biasa, kerana kegeniusan mereka tidak dapat disaksikan dengan mata, tidak dapat diraba, atau diindera.
Oleh kerana itu, ketika kegeniusan mereka bekerja dan membuahkan hasil, pertama kalinya tidak terlihat adanya keistimewaan apa pun pada mereka. Begitu juga pada awalnya hasil berfikir mereka tidak menampakkan adanya kelebihan dan kegeniusan apa pun.
Hal itu kerana jika mereka kaum yang terpelajar, maka banyak juga kaum terpelajar lain seperti mereka. Jika mereka cerdas, maka banyak juga orang cerdas seperti mereka.
Jika pemikiran mereka diperhatikan, itu hanyalah oleh individu-individu lain yang menerima pemikiran mereka kerana mereka ingin menjadi seperti orang-orang genius itu, atau agar pemikiran tersebut dapat membantu mereka meningkatkan darjatnya di tengah masyarakat. Atau kerana ingin menjadikan pemikiran tersebut sebagai sarana untuk memenuhi keperluan peribadinya atau kerana adanya tujuan-tujuan lain yang bersifat individual.
Apabila pemikiran tersebut tetap seperti itu keadaannya dan tidak beralih kepada kelompok, maka pemikiran mereka akan tetap bersifat individual, berapa pun banyaknya individu yang berfikir seperti itu, meskipun pemikiran itu merupakan pemikiran yang istimewa yang akan diterima oleh setiap orang yang merasakan dan mengetahuinya.
Oleh kerana itu, agar proses berfikir politik ini dapat bermanfaat dan mampu menghadapi musuh, hendaklah ia beralih menjadi proses berfikir kolektif dan keluar dari tempurung individu dan kepompong isolasi. Jika ia telah beralih menjadi proses berfikir kolektif, dan berpindah pada bangsa atau umat, maka akan terdapatlah kekuatan yang mampu menghadang musuh dan akan terdapat pula benih yang kuat yang akan menumbuhkan pohon kebangkitan.
Inilah proses berfikir politik yang bermanfaat, iaitu yang merupakan berfikir kolektif, bukan berfikir individual. Dengan kata lain, proses berfikir politik yang bermanfaat adalah proses berfikir politik pada suatu bangsa dan umat, bukan pada individu-individu tertentu, meskipun genius. Oleh kerana itu, umat wajib diberi pendidikan politik, wajib dilatih dan dididik untuk melakukan berfikir politik sehingga berfikir politik tersebut menjadi berfikir umat bukan berfikir individu.
Itulah berfikir politik, iaitu berfikir tentang ilmu-ilmu politik dan berbagai pembahasan politik, dan berfikir tentang berbagai peristiwa dan kejadian politik. Berfikir politik yang pertama tidak ada nilainya sedikit pun dan tidak akan memberi tambahan apa-apa kecuali sekadar pengetahuan akan berbagai pemikiran.
Adapun berfikir politik yang kedua, itulah berfikir yang bermanfaat dan memberikan faedah. Itulah proses berfikir yang mempunyai kesan yang sangat dahsyat dan pengaruh yang sangat besar. Oleh kerana itu, meskipun boleh melakukan proses berfikir politik tentang berbagai ilmu dan pembahasan politik dan itu mempunyai faedah bagi individu tertentu seperti para ahli politik, tetapi sesungguhnya berfikir tentang berbagai peristiwa dan kejadian adalah fardhu kifayah atas umat Islam.
Wajib diusahakan agar proses berfikir politik ini terwujud pada umat, terutamanya pada orang-orang yang pada diri mereka terdapat pola berfikir seperti itu, baik dari kalangan pelajar mahupun bukan.
Sumber: Syekh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)
#attafkir #berfikirpolitik