[Syarah Hadis] Nasab dan Penyusuan
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ الله عَنْهَا عَنِ النَّبيِّ صلى الله عليه وسلم قالَ: الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ ما تحرِّمُ الولادةُ
Aisyah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda, “Penyusuan mengharamkan apa yang diharamkan oleh kelahiran.”[HR Malik, Al-Bukhari, Muslim, dan An-Nasai].
Hadis ini dicantumkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Jâmi’ al-‘Ulûm wa al-Hikam sebagai hadis ke-44 untuk melengkapi Arba’un an-Nawawiyah menjadi lima puluh hadis. Hadis ini juga diriwayatkan dengan redaksi lain. Nabi SAW bersabda,
يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنْ النَّسَبِ
“Diharamkan dari susuan itu apa–apa yang diharamkan dari nasab.”[HR Al-Bukhari, An-Nasa’i, At-Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ahmad].
Ibn Hajar al-‘Ashqalani dalam Fath al-Bârî menjelaskan makna hadis ini, “Penyusuan mengharamkan apa yang diharamkan oleh kelahiran. Penyusuan juga membolehkan apa yang dibolehkan oleh kelahiran (nasab). Itu menurut ijmak dalam hal yang berkaitan dengan pengharaman nikah dan yang terkait dengannya. Keharaman itu meliputi di antara orang yang menyusu dan anak-anak wanita yang menyusui. Mereka memiliki hubungan sebagai kerabat dalam hal kebolehan memandang, berkhalwat, menemani safar, dsb., tetapi tidak memiliki kewajipan kepada hukum-hukum keibuan yang lain, berupa saling mewarisi, kewajipan nafkah, pembebasan, kepemilikan, kesaksian, menanggung diat, dan pengguguran kisas.”
Hadis ini menetapkan mahram menurut hubungan penyusuan. Semua mahram yang menurut nasab juga berlaku pada hubungan penyusuan. Semuanya boleh diketahui dari wanita-wanita yang diharamkan kerana nasab. Ini juga mempengaruhi dan dipengaruhi oleh sebab mushâharah (pernikahan). Wanita-wanita yang haram dinikahi itu dengan sebab nasab dan pernikahan antara lainnya ialah:
Pertama, wanita yang haram dinikahi selamanya. Ini juga terdapat dua jenis. Pertama: semata-mata kerana nasab. Mereka terdiri dari: (1) Hubungan utama, iaitu ibu dan nenek dari pihak bapa dan ibu dan seterusnya ke atas. (2) Anak perempuan, cucu perempuan dan seterusnya ke bawah. (3) Adik beradik perempuan kandung, sebapa atau seibu, dan anak perempuan mereka, dan seterusnya ke bawah (4) Hubungan yang jauh, iaitu ibu saudara dari pihak bapa dan ibu dan seterusnya. Tidak ada yang halal (boleh dinikahi) dari sisa kerabat kecuali hubungan yang jauh; mereka adalah anak-anak perempuan bapa saudara dan ibu saudara (sepupu) baik dari pihak bapa mahupun ibu.
Kedua: yang diharamkan dengan nasab berserta sebab lain iaitu pernikahan. Haram seorang lelaki menikahi isteri bapanya, isteri datuknya, dan seterusnya; isteri anak lelaki, isteri cucu lelaki, dan seterusnya; ibunya isteri, nenek isteri, dan seterusnya; anak perempuan isteri yang sudah dicampuri dan anak-anak seterusnya ke bawah. Begitu juga anak perempuan anak lelaki dari isteri yang sudah dicampuri, seperti yang dikemukakan oleh Asy-Syafie dan Ahmad dan tidak diketahui adanya perbezaan. Mereka semua adalah wanita yang haram dinikahi untuk selamanya. Dengan merekalah semua hukum mahram berlaku terhadap seorang lelaki, seperti kebolehan berkhalwat, menemani safar, dan boleh melihat mereka dalam pakaian di dalam rumah.
Selain mereka juga ada wanita yang haram dinikahi secara sementara (mu’aqat[an]) iaitu seorang perempuan tidak boleh dihimpun (dimadu) dengan kakak atau adik perempuannya dan dengan ibu saudaranya dari pihak bapa dan ibu.
Semua itu diberlakukan disebabkan oleh penyusuan. Dalam hal ini masih ditambah dengan ketentuan laban rajul[in] atau laban fahl. Hal itu diambil dari riwayat Al-Bukhari dan Muslim bahawa Aflah, adik beradik dengan Abu al-Qu’ays meminta izin untuk masuk menemui Aisyah, tetapi Aisyah menolak sampai dia meminta izin Rasulullah SAW. Menurut Aisyah, Aflah adalah orang asing, bukan mahramnya, sebab yang menyusuinya adalah isterinya Abu al-Qu’ays, bukan isterinya Aflah. Lalu Rasululullah SAW mengizinkan dan memberitahu bahawa Aflah adalah bapa saudara Aisyah dari sisi penyusuan dan Aflah menjadi mahramnya.
Dari riwayat itu diambil ketentuan bahawa hubungan penyusuan itu tidak berlaku semata-mata dari sisi ibu yang menyusui, tetapi juga dari bapa penyusuan dan yang memiliki hubungan nasab, mushaharah, dan penyusuan dengannya. Ertinya, jika seseorang menyusu kepada seorang wanita, maka wanita itu menjadi ibu penyusuannya dan suami wanita itu menjadi bapa penyusuannya. Lalu dengan kedua-duanya (ibu dan bapa penyusuan) itu dikaitkan semua jenis mahram menurut sebab nasab di atas. Ini juga diisyaratkan dan ditegaskan oleh riwayat Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنْ النَّسَبِ مِنْ خَالٍ أَوْ عَمٍّ أَوْ ابْنِ أَخٍ
“Haram kerana penyusuan apa sahaja yang haram kerana nasab, baik bapa saudara dari pihak ibu, bapa saudara dari pihak bapa, atau anak saudara lelaki.” [HR Ahmad].
Oleh kerana itu, dari sisi hubungan penyusuan ini, mereka yang haram berkahwin dengannya atau dinikahi antara lain: ibu penyusuan; bapa penyusuan; mak kepada ibu penyusuan dan mak kepada bapa penyusuan dan seterusnya dari sisi bapa dan ibu baik menurut nasab mahupun penyusuan; anak-anak ibu penyusuan dan anak-anak bapa penyusuan dari semua isterinya, lelaki mahupun perempuan serta anak-anak mereka serta cucu-cucu mereka dan seterusnya; ibu saudara, iaitu adik beradik ibu penyusuan atau bapa penyusuan baik kerana nasab mahupun penyusuan; bapa saudara, iaitu saudara lelaki ibu penyusuan atau bapa penyusuan baik menurut nasab mahupun penyusuan; adik beradik penyusuan baik lelaki dan perempuan yang sama-sama menyusu kepada wanita yang sama; anak-anak saudara penyusuan, cucu-cucu mereka, dan seterusnya; anak penyusuan dan anak-anak mereka, dan seterusnya.
Yang juga haram dinikahi atau berkahwin dengannya selamanya adalah menantu penyusuan, iaitu isteri/suami dari anak penyusuan; isteri/suami dari cucu penyusuan dan seterusnya; isteri bapa penyusuan dan isteri datuk penyusuan dan seterusnya; ibu penyusuan isteri dan nenek penyusuan isteri dan seterusnya. Mereka semuanya adalah orang yang haram berkahwin dengannya atau dinikahi selamanya. Mereka adalah mahram dan berposisi hukum seperti mahram kerana nasab.
Selain itu, dari sisi penyusuan juga ada wanita yang haram dinikahi secara sementara (mu’aqat[an]). Mereka di antaranya ialah: haram menghimpun isteri dengan adik beradiknya atau ibu saudaranya dari sisi penyusuan. Wallahu’alam bissawab.