[Syarah Hadis] Kewajipan Terikat dengan Jemaah Kaum Muslim
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
Orang-orang dahulu bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan, sedangkan aku (Hudzaifah bin al-Yaman) bertanya tentang keburukan kerana takut keburukan itu akan menghampiriku. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya dahulu kami dalam keadaan jahiliah dan keburukan, lalu Allah SWT mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Apakah setelah kebaikan ini akan ada keburukan?”Baginda menjawab, “Benar.” Aku bertanya, “Apakah setelah keburukan itu akan ada kebaikan?” Baginda menjawab, “Benar, tetapi di dalamnya terdapat asap.” Aku bertanya, “Apa asapnya?” Baginda menjawab, “Kaum yang memberi petunjuk dengan selain petunjukku, engkau mengetahui (kebaikan mereka) dan mengingkari (keburukan mereka)” Aku bertanya, “Apakah setelah kebaikan itu akan ada keburukan?” Baginda menjawab, “Benar, para penyeru yang menyeru ke pintu-pintu jahanam, siapa sahaja yang memenuhi seruan mereka, mereka akan menjerumuskan dan menenggelamkannya ke dalamnya.” Aku berkata, “Tunjukkanlah sifat mereka kepada kami.” Baginda bersabda, “Mereka berkulit sama dengan kulit kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya, “Lalu apa yang engkau perintahkan kepadaku jika hal itu menghampiriku?” Baginda menjawab, “Berpeganglah pada jemaah kaum muslim (jamâ‘ah al-muslimîn) dan imam mereka!” Aku bertanya, “Jika mereka tidak memiliki jemaah dan imam?” Baginda menjawab, “Jauhilah semua kelompok-kelompok itu sekalipun engkau harus menggigit akar pohon hingga kematian menghampirimu, sedangkan engkau tetap dalam keadaan seperti itu.” [HR Al-Bukhari dan Muslim].
Imam Al-Bukhari mengeluarkan hadis di atas dalam Shahîh al-Bukhârî bab “Kayfa al-Amr idzâ lam Takun Jamâ‘ah”. Imam Muslim mengeluarkannya dalam Shahîh Muslim bab “Wujûb Mulâzamah Jamâ‘ah al-Muslimîn tsumma Zhuhûr al-Fitan wa fî Kulli Hâl wa Tahrîm al-Khurûj ‘alâ ath-Thâ’ah wa Mufâraqah al-Jamâ’ah”.
Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkannya berturut-turut dari Muhammad bin Mutsanna, dari al-Walid bin Muslim dari Ibn Jabir, dalam riwayat Muslim dijelaskan bahawa Ibn Jabir adalah Abdurrahman bin Yazid bin Jabir, dari Busr bin Ubaidillah al-Hadhrami, dari Abu Idris al-Khaulani yang mendengarnya dari Hudzaifah bin al-Yaman.
Imam Al-Bukhari juga mengeluarkannya dalam bab “‘Alâmât an-Nubuwwah fî al-Islâm” dari Yahya bin Musa, dari Al-Walid, dari Ibn Jabir, dan seterusnya sama dengan sanad di atas.
Frasa kunnâ fî jâhiliyyah wa syarr (kami dahulu berada dalam kejahiliyahan dan keburukan) menunjuk pada keadaan sebelum datangnya Islam. Maksudnya, dahulu mereka hidup dalam keadaan jahiliah, iaitu hidup dengan sistem selain Islam/sistem kufur dan dilingkupi keburukan.
Lalu datang khayr (kebaikan), iaitu Islam, keimanan, serta keadaan yang baik, hidup di bawah sistem Islam, dan jauh dari segala jenis kekejian.
Setelahnya akan ada syarr (keburukan). Para ulama seperti Qadhi ‘Iyadh, Ibn Hajar, dan yang lain menunjukkan syarr setelah kebaikan yang pertama itu adalah pembunuhan Uthman dan fitnah akibat pembunuhan itu.
Setelah itu akan ada khayr wa fîhi dakhanun (kebaikan, tetapi disertai dengan asap). Dakhanun (asap) itu adalah dendam, bencana, atau fasad dalam hati. Sebahagian ulama menunjuk khayr ini adalah semasa Umar bin Abdul Aziz. Ibn Hajar menunjuk khayr itu adalah berkumpulnya (kaum muslim) bersama Ali dan Muawiyah.
Frasa tersebut mengisyaratkan bahawa khayr sesudah syarr pertama itu tidak lagi khayr yang murni dan jernih, di dalamnya terdapat kekeruhan, lumpur, atau kotoran. Ini mengisyaratkan bahawa pelaksanaan sistem dalam tahap ini diwarnai dengan penyimpangan atau keburukan di satu atau beberapa bahagian.
Selanjutnya Rasulullah SAW menjelaskan, dakhanun itu adalah kaum yang memberi petunjuk dengan selain petunjuk Rasul. Dalam riwayat Al-Baihaqi dikatakan, “qawm yastannûna bi ghayr sunnatî wa yahdûna bi ghayr hadî (kaum yang berjalan mengikuti selain jalan dan langkahku serta memberi petunjuk dengan selain petunjukku).” Ertinya, asap yang menjadikan keruhnya keadaan khayr yang kedua ini adalah dua kelompok.
Pertama, orang-orang yang tidak mengikuti jejak langkah Rasul. Mereka mengikuti minhaj, sistem, dan aturan selain Islam.
Kedua, mereka yang memberi petunjuk dengan selain Islam; boleh berupa sistem, aturan, minhaj, pemikiran, dan falsafah selain Islam—seumpama pemikiran Yunani, Persia, Romawi, Hindu, dan sebagainya. Namun, kedua kelompok ini berada di bawah khayr (sistem Islam). Hal ini lebih menguatkan isyarat bahawa setelah keburukan pertama, sistem Islam tetap ada dan berjalan, tetapi terdapat penyimpangan dan keburukan di satu atau beberapa bahagian sejarahnya.
Selanjutnya ta‘rifu minhum wa tunkiru (engkau mengenal [kebaikan] mereka dan mengingkari [keburukan mereka]). Menurut Qadhi ‘Iyadh, mereka adalah para pemimpin sesudah khayr yang kedua (sebahagian ulama menilai sesudah Umar bin Abdul Aziz). Di antara mereka ada yang berpegang pada sunnah dan berlaku adil, ada juga yang mengajak pada bid’ah dan berlaku zalim.
Setelah tahapan khayr kedua ini akan ada syarr, iaitu para penyeru yang mengajak ke pintu-pintu neraka. Mereka akan menjerumuskan dan menenggelamkan siapa sahaja yang memenuhi ajakan dan seruan mereka ke neraka jahanam. Mereka, dalam lanjutan hadis ini, disebut sebagai firkah-firkah yang mesti dijauhi. Ertinya, mereka adalah firkah-firkah, kelompok, jemaah, parti, organisasi, atau yang lain yang berdiri di atas landasan selain Islam; tidak mengembang misi Islam; dan menyerukan selain Islam.
Mereka boleh sahaja berjemaah berlandaskan kemaslahatan semata, kesombongan, ataupun nafsu untuk meraih kekuasaan; ataupun jemaah yang berdiri berasaskan idea-idea atau ideologi kufur seperti sosialisme dan kapitalisme-sekularisme untuk meraih kekuasaan dan pemerintahan agar idea dan ideologi mereka boleh diterapkan di tengah-tengah masyarakat. Mereka boleh juga terdiri dari jemaah yang berdiri atas dasar sektarianisme, kedaerahan, nasionalisme, atau pemikiran dan asas apa pun selain Islam.
Mereka inilah yang mesti dijauhi seperti yang diperintahkan dalam hadis di atas sebab mereka menyebarkan kebatilan dan berjemaah berlandaskan kebatilan. Mereka mengembang keharaman dan melaksanakan aktiviti yang diharamkan. Balasan semua itu tidak lain adalah neraka jahanam. Mereka tentu akan menjerumuskan dan menenggelamkan siapa sahaja yang menyambut dan memenuhi ajakan mereka ke dalam neraka jahanam.
Mereka min jildatinâ wa yatakallamûna bi alsinatinâ (berkulit sama dengan kita dan berbicara dengan bahasa kita). Mereka berasal dari kaum kita dan menggunakan bahasa kita. Menurut Al-Qabisi, maksudnya adalah mereka itu lahiriyahnya berada di atas milah (agama/sistem hidup) kita, tetapi dalam batin mereka menyalahinya. Ertinya, mereka secara lahiriyah beragama Islam, tetapi menyerukan keyakinan, pemikiran, konsepsi, sistem, atau ideologi selain Islam.
Dalam kondisi tersebut, Rasulullah SAW memerintahkan kita agar berpegang pada jemâ‘ah al-muslimîn dan imam mereka, iaitu khalifah. Ini adalah perintah untuk terikat dengan Islam dan bergabung dengan kelompok yang terikat dengan Islam, berdiri di atas landasan Islam, mengembang misi Islam, serta menyerukan akidah, pemikiran, konsepsi, sistem aturan, hukum, dan ideologi Islam.
Jika tidak ada jema‘âh al-muslimîn dan khalifah mereka, seperti saat ini, maka Rasulullah SAW memerintahkan agar kita menjauhi semua firkah (kelompok) yang disifatkan di atas, iaitu kelompok yang berdiri atas dasar selain Islam, mengembang misi selain Islam, dan menyerukan keyakinan, pemikiran, konsepsi, sistem, dan ideologi selain Islam. Hal itu mesti dilakukan dengan teguh, penuh kesungguhan, meskipun berat dan banyak menghadapi kesulitan. Rasulullah SAW mengungkapkannya dengan kiasan “menggigit akar pohon dengan geraham sampai kematian datang menjemput”.
Perintah menjauhi firkah (kelompok) itu adalah terhadap kelompok yang disifatkan dalam hadis di atas, dan tidak mencakup kelompok yang berdiri atas dasar Islam, mengembang misi Islam, melakukan amar makruf dan nahi mungkar, serta beraktiviti untuk mewujudkan khayr (kebaikan) sebagaimana kebaikan tahap pertama, dengan mewujudkan satu khalifah bagi seluruh kaum muslim dan menegakkan Khilafah yang mengikuti metod kenabian (Khilâfah ‘alâ minhâj an-nubuwwah) yang akan menerapkan Islam secara keseluruhan, baik akidah mahupun syariatnya. Kelompok yang demikian justeru wajib diwujudkan dan didukung Bersama-sama. [TMQ ali Imran [3]: 104]. Wallahu’alam bissawab.