Demokrasi merupakan satu pembohongan. Realitinya..tiada pemerintah demokrasi hari ini ambil peduli apa yang dilaungkan masyarakat..
Sokongan yang diberikan kepada penduduk Palestine telah menular ke seluruh dunia. Demonstrasi-demonstrasi menunjukkan sokongan ini dilakukan oleh pelbagai pihak dari Yahudi, Kristian, individu sekuler dan juga umat Islam. Mereka semua bersatu membantah pembunuhan beramai-ramai yang terjadi setiap hari di Gaza.
Menurut laporan dari Reuters pada 28 Oktober 2023, “Ratusan ribu orang berhimpun melakukan demonstrasi di Eropah, Timur Tengah dan Asia pada hari Sabtu tanda sokongan mereka kepada penduduk Palestine semenjak tentera Israel mula melancarkan serangan udara dan darat yang lebih gencar di Semenanjung Gaza.”
Perarakan beramai-ramai dilakukan dibandar-bandar di Malaysia, Turkiye, Pakistan, Iraq, Jordan, Mesir, Tunisia, Yaman, Maghribi, Indonesia, Lubnan, Denmark, Italy, Sweden, Perancis, New Zealand, Amerika, Kanada, Afrika Selatan, Greece dan Sepanyol. Bantahan anti perang ini juga turut dilakukan di kalangan entiti Yahudi itu sendiri.
Melalui demonstrasi-demonstrasi ini, umat telah bersuara dengan sejelas-jelasnya, mereka tidak mahu negara mereka hanya berdiam diri dan membiarkan penghapusan etnik ini berlaku. Mereka telah menuntut negara mereka untuk mengambil tindakan memaksa entiti Yahudi melakukan gencatan senjata.
Bukankah demokrasi seharusnya menjadi seperti mana yang dikatakan oleh Abraham Lincoln, “Demokrasi adalah kekuasaan oleh rakyat, untuk rakyat dan dari rakyat.”?!
Sekian lama, kita mendengar demokrasi adalah sistem politik terbaik kerana ianya adalah satu-satunya sistem yang mewakili rakyat. Sistem ini terbela dengan menggunakan hujah bahawa pemimpin dipilih oleh rakyat untuk mewakili rakyat, dan melaksanakan kehendak rakyat. Masyarakat yang mempersoalkan realiti idea ini yang berhujah bahawa sebenarnya tiada demokrasi tetapi oligarki, diketepikan dan sering kali dilabel pereka teori konspirasi. Walaupun hujah ini berasas dan dibincangkan, penyelesaian yang dicadangkan adalah kita harus terus berusaha ke arah menambah lebih banyak demokrasi.
Hujah yang mengatakan demokrasi menyelesaikan masalah umat sudah semakin usang. Peristiwa terkini telah mendedahkan bagaimana pihak berpengaruh yang mengawal kekuasaan dan perundangan, benar-benar tidak ambil peduli apa yang disuarakan rakyat.
Mereka dengan terang-terangan tidak mengendahkan suara rakyat mereka sendiri. Banyak laporan yang dikongsikan melibatkan pihak berkuasa yang mencegah demonstrasi umum dilakukan, mana-mana orang awam yang menyatakan bantahan mereka tentang penghapusan etnik telah hilang pekerjaan dan pengabaian suara-suara rakyat yang bekerja di dalam kerajaan.
Demokrasi bukanlah penyelesaiannya dan tidak mungkin akan menyelesaikan masalah secara tuntas. Sistem politik yang membenarkan tipudaya ke atas rakyat bukanlah satu penyelesaian. Sistem politik yang mengangkat amanah terhadap pemerintah bukanlah satu penyelesaian. Bagi umat Islam, sistem politik yang meletakkan undang-undang yang dibuat manusia lebih tinggi daripada undang-undang Allah SWT, bukanlah satu penyelesaian.
Satu-satunya penyelesaian untuk manusia sejagat, sama ada orang Islam atau bukan Islam, Yahudi, Kristian atau sekular, adalah satu sistem yang melindungi hak setiap orang tanpa diskriminasi. Hanya dengan Sistem Khilafah Islam di atas jalan kenabian mampu melaksanakan tugas ini. Negara Khilafah yang melaksanakan hukum syariah, tidak akan membenarkan sekelompok manusia mendominasi negara untuk manfaat mereka sendiri. Hukum-hukum yang diberikan kepada manusia oleh Pencipta kita adalah untuk melindungi nyawa, darah dan juga harta manusia seluruhnya. Bahkan selama beberapa kurun sewaktu era Khilafah, orang Islam dan bukan Islam telahpun tinggal bersama di dalam keadaan aman dan sejahtera.
Umat Islam kini dalam kesakitan dan tangisan ketika melihatkan apa yang berlaku di Palestin. Kemarahan umat semakin meningkat terhadap pemerintah yang berdiam diri dan menonton sahaja serta mengeluarkan ucapan-ucapan tanpa tindakan. Begitu juga meningkatnya seruan mengembalikan negara Khilafah dengan pemerintah yang ikhlas dan takutkan Allah SWT.
Pemerintah Islam tidak mewakili umat Islam. Mereka hanya memikirkan kekayaan dan kedudukan mereka sahaja. Umat Islam menyayangi satu sama lain dan sanggup berkorban untuk satu sama lain. Marilah kita semua berusaha dan berdoa agar kembalinya Khilafah, supaya Khalifah kita akan dapat benar-benar mencerminkan keimanan yang kita bawa sebagai satu umat. Firman Allah SWT:
“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah [2] : 257)
Ditulis oleh Fatimah Iqbal untuk Pejabat Media Pusat, Hizbut Tahrir.