[Nafsiyah] Tanda-Tanda Keimanan dan Kemunafikan
Sesungguhnya pemilik masa adalah Allah SWT. Allah berkuasa mempercepat dan melambatkan masa. Setiap orang Islam tidak dibenarkan mencela zaman dengan mengatakan zaman itu tidak masuk akal atau gila. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Janganlah kamu mencela masa, kerana masa itu adalah Allah (maksudnya Allah jualah yang memberi rezeki dan menggerakkannya).”[HR Muslim].
Ada kalanya waktu adalah sebahagian daripada pertolongan Allah SWT yang Dia hulurkan kepada kita. Tidak sedikit masalah yang dialami oleh manusia dapat diselesaikan seiring berjalannya waktu oleh Allah. Ini kerana penguasa masa yang sebenar ialah Allah SWT.
Orang yang beriman mengatakan waktu adalah pedang. Jika dia tidak mampu menguruskannya, dia akan mengalami kerugian besar. Sedangkan bagi mereka yang berfahaman kapitalisme mengatakan bahawa masa adalah wang. Mereka tidak membuang masa, kecuali untuk mendapatkan harta benda (wang).
Masa adalah nikmat yang sering membuai kita, lebih-lebih lagi apabila ada masa lapang. Sebenarnya terdapat dua masa yang kerap membuatkan manusia tertipu iaitu ketika sihat dan masa lapang. Pada kedua-dua masa tersebut, manusia kerap lalai menunaikan kewajipannya sehingga mengakibatkan kemaksiatan dan kerugian.
FirmanNya, “Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).” [TMQ Yunus (10): 45). Wahai Saudaraku, hidup adalah masa yang singkat. Oleh itu, marilah kita sentiasa konsisten dalam ketaatan.
Tanda-Tanda Keimanan dan Kemunafikan
Wahai Saudaraku, ketahuilah, salah satu petunjuk antara keimanan dan kemunafikan seorang hamba terletak pada disiplinnya dalam menjaga waktu solat asar. Kenapa? Sebelum menjawab, kita perlu tahu dahulu keutamaan waktu Asar.
Keutamaan waktu asar. Pertama, asar merupakan waktu ketika malaikat menyampaikan amal-amal manusia kepada Allah SWT. Kedua, solat asar itu petunjuk antara keimanan dan kemunafikan. Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Itulah solatnya orang munafik. Duduk bersantai sambil melihat matahari. Hingga ketika matahari telah berada di antara dua tanduk syaitan (menjelang terbenam), dia baru mula solat dengan gerakan cepat seperti mematuk 4 kali. Tidak mengingati Allah dalam solatnya, kecuali sedikit.” [HR Muslim dan Ahmad].
Keutamaan waktu asar yang kedua telah menjawab pertanyaan kita, iaitu salah satu petunjuk seseorang muslim itu beriman atau munafik ialah dengan caranya menunaikan solat asar. Dengan demikian, setiap muslim hendaklah berusaha menjaga solat asar pada awal waktu. Jangan menunda solat asar sehingga matahari telah menguning atau mendekati waktu terbenam tanpa alasan yang dibenarkan. Ini supaya kita tidak dikategorikan seperti orang munafik.
Ketiga, keuntungan dan kerugian itu salah satunya terletak pada waktu asar. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang meninggalkan solat asar, maka terhapuslah amalannya.” [HR Bukhari].
Jagalah Solat Asar
Allah SWT berfirman, “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khususnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.” [TMQ Al-Baqarah (2): 238].
Makna solat wusta pada ayat di atas ialah solat asar. Hal ini berdasarkan hadis Rasul SAW ketika terjadi perang Ahzab. “Mereka (kaum kafir Quraisy) telah menyibukkan kita dari solat wusta, (iaitu) solat asar.” [HR Bukhari dan Muslim].
Seorang muslim yang menjaga solat asar akan mendapat balasan dari Allah SWT. Abu Bashrah al-Ghifari RA menceritakan, “Rasulullah SAW solat asar bersama kami di daerah Makhmash. Kemudian baginda SAW bersabda, ‘Sesungguhnya solat ini (solat asar) pernah diwajibkan kepada umat sebelum kalian, tetapi mereka menyia-nyiakannya. Barang siapa yang menjaga solat ini, maka baginya pahala dua kali ganda. Dan tidak ada solat setelahnya sampai terbitnya syahid (iaitu bintang).’” [HR Muslim].
Sementara itu, terdapat ancaman dari Allah SWT bagi muslim yang meninggalkan solat asar. Barang siapa yang meninggalkan solat asar, maka terhapuslah pahala amal yang telah dikerjakannya di hari tersebut. Ibnu Qayyim rahimahullah berkata, “Pertama, meninggalkan solat asar secara keseluruhan, tidak melaksanakan solat sama sekali, maka hal ini meyebabkan terhapusnya seluruh amal. Kedua, meninggalkan solat tertentu di hari tertentu, maka hal ini menyebabkan terhapusnya amal di hari tersebut. Terhapusnya amal secara keseluruhan adalah sebagai balasan kerana meninggalkannya secara keseluruhan, terhapusnya amal tertentu adalah sebagai balasan kerana meninggalkan perbuatan tertentu.” [Kitab Ash-Shalah wa Hukmu Taarikiha, hlm. 43—44].
Kemudian, Rasul SAW bersabda, “Orang yang terlewat (tidak mengerjakan) solat asar, seolah-olah dia telah kehilangan keluarga dan hartanya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Wahai Saudaraku, pelbagai dalil di atas mengingatkan kita untuk tidak menunda-nunda waktu solat fardhu. Bukan hanya solat asar, melainkan juga solat fardhu yang lain. Tentu kita semua tidak mahu disebut sebagai orang munafik. Namun, kita akan memiliki ciri-ciri orang munafik seperti yang disebutkan Rasulullah SAW pada hadisnya jika melambatkan waktu solat asar.
Salah satu ujian yang melanda umat Islam ialah sulitnya menunaikan kewajipan ibadah solat. Tidak sedikit dari kalangan umat ini yang tidak menunaikan ibadah solat, padahal solat merupakan penolong baginya dalam kehidupan. Sebagaimana firman Allah SWT, “Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” [TMQ Al-Baqarah (2): 45]. Wallahu muwaffiq.