Pandangan Islam Tentang Perkahwinan Berbeza Agama
Penulis: Farisha Aris
Allah SWT telah membenarkan lelaki Muslim untuk mengahwini wanita Ahlul Kitab, iaitu wanita Yahudi atau Nasrani kerana Dia SWT berfirman:“Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al-Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mahar mereka dengan maksud mengahwininya, bukan dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik” [TMQ al-Ma’idah (5): 5].
Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa wanita-wanita Ahlul Kitab yang sentiasa menjaga kehormatannya adalah halal untuk dikahwini oleh lelaki Muslim. Maka, seorang lelaki Muslim boleh berkahwin dengan wanita Ahlul Kitab sama ada Yahudi mahupun Nasrani sebagai pelaksanaan ayat tersebut. Namun sebaliknya, perkahwinan seorang wanita Muslimah dengan lelaki Ahlul Kitab, sama ada Yahudi atau Nasrani, secara syar’i adalah haram dan tidak dibenarkan. Jika perkahwinan seumpama itu berlaku, perkahwinan tersebut adalah batil (tidak sah) dan tidak diiktiraf. Keharaman wanita Muslimah dikahwini oleh lelaki Ahlul Kitab sama ada Yahudi atau Nasrani, telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka; maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman, maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada (suami-suami mereka) orang-orang kafir. Mereka tiada halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka” [TMQ al-Mumtahanah (60): 10].
Ayat di atas dengan jelas menyatakan bahawa wanita Muslimah tidak halal bagi lelaki kafir dan begitu juga sebaliknya. Ayat tersebut juga menyatakan bahawa perkahwinan antara wanita Muslimah dengan lelaki Ahlul Kitab adalah tidak sah kerana suami yang kafir menjadikan perkahwinannya tidak diiktiraf dengan wanita Muslimah. Selain itu, ayat tersebut menggunakan istilah kuffar, bukan musyrikîn. Oleh itu, penggunaan perkataan tersebut bermaksud generalisasi (li at-ta‘mîm) yang merangkumi semua orang kafir, sama ada musyrik atau Ahlul Kitab. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita Muslimah tidak boleh berkahwin dengan lelaki Ahlul Kitab kerana Ahlul Kitab termasuk dalam kategori orang kafir.
Bahawa Ahlul Kitab, iaitu Nasrani dan Yahudi, adalah orang-orang kafir telah ditetapkan menurut pernyataan al-Quran. Allah SWT berfirman:“Orang-orang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik tiada menginginkan diturunkannya sesuatu kebaikan kepadamu dari Tuhanmu” [TMQ al-Baqarah (2): 105]. Ahlul Kitab tidak beriman kepada risalah Nabi Muhammad SAW, dan oleh itu, mereka dikategorikan sebagai orang kafir. Hal ini ditegaskan dalam beberapa ayat al-Quran yang memberikan penjelasan (li al-bayân). Allah SWT berfirman:“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah itu ialah Al Masih putera Maryam” [TMQ al-Ma’idah (5): 17].“Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah itu salah satu dari yang tiga” [TMQ al-Ma’idah (5): 73]. Allah SWT juga berfirman:“Orang-orang kafir, iaitu ahli Kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata” [TMQ al-Bayyinah (98): 1].
Sementara itu, orang-orang musyrik adalah orang-orang kafir selain daripada Ahlul Kitab. Mereka termasuk orang Majusi, Shabi’ah, Buddha, Paganis (penyembah berhala), dan seumpamanya. Umat Islam haram berkahwin dengan mereka secara mutlak. Seorang lelaki Muslim tidak boleh berkahwin dengan wanita musyrik secara mutlak. Begitu juga, seorang Muslimah haram berkahwin dengan lelaki musyrik secara mutlak. Keharaman ini telah dijelaskan dalam nas al-Quran yang qath’i. Allah SWT berfiman:“Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak yang mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu nikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba yang mukmin lebih baik dari orang musyrik walaupun dia menarik hatimu” [TMQ al-Baqarah (2): 221].
Berdasarkan ayat di atas, dengan jelas hanya ada satu pengertian yang perlu difahami, iaitu perkahwinan antara wanita musyrik dengan lelaki Muslim dan perkahwinan antara lelaki musyrik dengan wanita Muslimah adalah haram secara qath’i. Jika perkahwinan seperti ini berlaku, perkahwinan tersebut adalah batil (tidak sah) dan tidak diiktiraf sama sekali. Hasan ibn Muhammad menuturkan:“Rasulullah SAW telah mengirim surat kepada orang-orang Majusi Hajr. Baginda menyeru mereka untuk memeluk Islam. Sesiapa sahaja yang masuk Islam, keislamannya diterima. Sebaliknya, sesiapa sahaja yang menolak, dia diwajibkan membayar jizyah, dan sembelihannya tidak boleh dimakan dan wanitanya tidak boleh dinikahi” [HR al-Bayhaqî].
Dengan ini, jelaslah bahawa syariat Islam tidak hanya mendorong dan membangkitkan keinginan untuk berkahwin bagi umat Islam. Lebih daripada itu, ia juga menjelaskan siapa yang halal atau pun yang haram dinikahi oleh lelaki Muslim atau wanita Muslimah. Seterusnya, syariat Islam juga menyatakan sifat-sifat yang baik yang perlu dicari dalam calon pasangan hidup bagi mereka yang berkeinginan untuk berkahwin. Perkara lain yang perlu diperhatikan adalah syariat Islam telah menetapkan syarat-syarat bagi wanita yang hendak dinikahi, iaitu wanita tersebut bukanlah isteri orang lain atau masih dalam masa ‘iddah. Hal ini demikian kerana salah satu syarat pernikahan ialah calon isteri mestillah bebas daripada ikatan pernikahan sebelumnya dan telah melepasi tempoh ‘iddah.
Wallahu’alam.