[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN HADIS] BERHATI-HATI DENGAN JERAT KESESATAN
Dari Abu Said al-Kudri dari Nabi SAW bersabda, “Kalian akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sedepa demi sedepa. Sehingga apabila mereka masuk lubang biawak kalian akan mengikutinya”. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah mereka Yahudi dan Nasrani?” Nabi menjawab, “Siapa lagi?” (HR Bukhari)
—–
Rasulullah saw telah pun mengingatkan kepada kita tentang bahaya kesesatan bawaan kaum kafir yang boleh merosakkan akidah umat Islam, dan bahawa kelak akan ada sebahagian dari ummah ini terpedaya dengan apa yang dibawakan mereka dan mengikuti mereka sewenang-wenangnya bahkan sehingga ke lubang biawak. Al-Qadhi ‘Iyadh menjelaskan bahawa kata jengkal, hasta dan lubang biawak adalah perumpamaan dari tindakan taklid dan meniru perilaku dan kebiasaan mereka. Dapat kita saksikan pada hari ini betapa ramai yang dengan sukarela bertaklid pada kaum kafir dan mengikut gaya hidup mereka. Baik dari segi berpakaian, bertransaksi, berhibur, berpolitik mahupun dalam berfikir. Mereka menjadikan pegangan kaum kafir sebagai pegangan mereka atas pelbagai dalih seperti toleransi, kemodenan, bersederhana dalam beragama dan sebagainya. Misalnya, apabila sebahagian kaum muslim meraikan perayaan kaum kafir serta memakai pakaian atau simbolik kepercayaan bukan Islam. Padahal tindakan bertasyabbuh tersebut dilarang oleh agama. Begitu juga bila sebahagian yang mengaku muslim hari ni tidak segan silu menjunjung tinggi perundangan buatan manusia yang berasal dari Barat serta mengenepikan syariah Islam. Perundangan Barat seperti common law dan undang-undang lainnya dilihat lebih relevan berbanding hukum syariah yang ditetapkan Allah swt. Hal yang sama juga dalam berpolitik, politik Islam diganti dengan demokrasi dan politik sekular yang kononnya diIslamisasikan, namun akhirnya menjadi toksik dalam pengurusan hal ehwal ummah. Kaum kafir juga memperkenalkan pelbagai gagasan yang menyesatkan dan merosakkan pemikiran dan fitrah manusia seperti feminisme, liberalisme, nasionalisme, hedonisme, lkebebasan seksual, kebebasan beragama dan sebagainya. Gagasan berifkir yang lahir dari idea-idea semacam inilah menyebabkan umat jauh dari pemikiran Islam, seterusnya wujud salah faham atau tidak faham kepada syariat Islam itu sendiri. Lebih parah, akibatnya ramai terjerat dalam hal-hal yang dilarang agama.
Sebagai muslim, kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam hal-hal yang merosakkan akidah. Bukan semua budaya, idea atau tindakan yang dibawa oleh kaum kafir boleh digunapakai oleh umat Islam.