[Syarah Hadis] Simpulan-simpulan Islam
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
“Sesungguhnya, simpulan-simpulan Islam akan terlepas satu demi satu. Setiap kali satu simpulan terlepas, orang bergantung pada simpulan berikutnya. Simpulan pertama yang terlepas ialah al-hukm (pemerintahan/hukum) dan yang terakhir adalah solat.” (HR Ahmad).
Imam Ahmad (164—241 H) menukil hadis di atas masing-masing daripada Walid bin Muslim, daripada Abdul Aziz bin Ismail bin Ubaidillah, daripada Sulaiman bin Habib, daripada Abu Umamah al-Bahili, daripada Rasulullah SAW.
Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Ibn Hibban (w. 354) dalam Shahîh Ibn Hibbân, Al-Hakim (321—405 H) dalam Al-Mustadrak, Al-Baihaqi (384—458) dalam Su‘ab al-îmân, Ath-Thabrani (260—360 H) dalam Musnad asy-Syamiyîn dan Mu’jam al-Kabîr, Muhammad bin Nushr bin Al-Hajaj al-Muruzi (202—294 H) dalam Taqdîr Qadr ash-Shalâh, dan lain-lain. Semuanya bersandar kepada sanad Ahmad di atas.
Para perawi riwayat tersebut adalah perawi yang sahih. Memang, menurut sebahagian Syaraulama hadis seperti Abu Mushir Walid bin Muslim (w. 195 H) perawi hadis ini termasuk mudallis atau melakukan tadlîs, iaitu menyembunyikan kecacatan pada sanad dan menunjukkan kebaikan pada zahirnya. Namun di sisi lain, banyak juga pujian terhadapnya, antaranya dia digelar sebagai al-hâfizh, ‘âlim asy-syâm. Beliau juga terkenal dengan pengetahuan yang luas, tawaduk dan kuat hafalannya. Muhammad bin Saad Abu al-Hasan al-‘Ajali al-Kufi (182—261) dan yang lain menilainya tsiqah. Abu Hatim menilainya “shâlih al-hadîts”. Ibn Hajar dalam Muqadimah Fath al-Bârî menyatakan, “Walid bin Muslim ad-Dimasyqi terkenal dan disepakati mengenai tsiqahnya. Ulama hadis hanya mencelanya kerana banyak melakukan tadlîs dan tasywiyah…”
Menurut Dr. Mahmud ath-Thahan dalam Taysîr Mushthalah al-Hadîts, sikap yang sahih mengenai riwayat seorang mudallis adalah, “Jika dia menyatakan secara jelas bahawa dia mendengar (hadis tersebut), maka riwayatnya diterima, iaitu jika dia berkata, ‘Sami’tu (Aku telah mendengar),’ atau yang seumpamanya, maka hadisnya diterima.” Dalam riwayat di atas secara jelas Walid berkata, “Hadatsanâ (Telah menceritakan kepada kami). Dengan demikian, hadis di atas boleh diterima. Oleh itu, kita dapati Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Baihaqi, Al-Haitsami dalam Majma‘ az-Zawâ’id, Al-Minawi dalam Faydh al-Qadîr, dan yang lain menilai hadis di atas sahih.
Makna Hadis
Dalam Lisân al-‘Arab, ‘urâ adalah jamak dari ‘urwah. Kata ‘urwah mempunyai beberapa makna di antaranya ialah: pegangan di sisi timba, cawan atau cerek, al-wutsqâ (perjanjian), akar tumbuhan yang tetap di dalam tanah dan terus tumbuh, semak belukar, harta yang berharga, sesuatu yang dijadikan pegangan, dan sebagainya.
Al-Minawi menyatakan, ‘urâ al-Islâm, ‘urâ jamak dari ‘urwah, asalnya ia adalah sesuatu yang menjadi pegangan di sisi timba, cawan dan seumpamanya. Lalu ia dipinjam (dengan gaya majaz isti‘ârah) dan digunakan untuk merujuk kepada perkara-perkara agama dalam bentuk cabang-cabang Islam yang dijadikan pegangan dan tempat untuk bergantung.
Hadis ini menyatakan bahawa al-hukm (pemerintahan dan al-qadhâ’), sama seperti solat, adalah sebahagian daripada urâ al-Islam. Ini bermakna, pemerintahan adalah sebahagian daripada Islam yang tidak dapat dipisahkan seperti solat. Oleh kerana itu, hadis ini menyangkal pendapat orang bahawa pemerintahan adalah urusan dunia dan bukan sebahagian daripada Islam. Tetapi sebaliknya, hadis di atas menyatakan bahawa al-hukm (pemerintahan/al-qadhâ’) ialah salah satu daripada simpulan Islam. Oleh itu pula, memisahkan pemerintahan daripada Islam adalah sama seperti membuang salah satu simpulan Islam.
Dalam hadis ini Rasulullah SAW. mengkhabarkan bahawa ‘ura al-Islâm itu akan terlepas satu persatu. Ungkapan dalam bentuk pasif, yunqadhanna menunjukkan bahawa terurai atau rosaknya ‘ura al-Islâm itu tidak berlaku dengan sendirinya, tetapi dilepas/dirosak atau bahkan dihancurkan oleh musuh Islam atau oleh orang Islam sendiri yang terpedaya dan atau diperalatkan oleh mereka.
Menurut Abu al-Biqa’, ‘urwat[an] ‘urwat[an] dibaca nashab sebagai perkara (keterangan) yang menunjukkan proses berurutan. Ertinya, selepas ‘urwah pertama terlepas diikuti yang kedua dan seterusnya sehingga ‘urwah yang terakhir. Yang pertama dilepaskan ialah al-hukm (pemerintahan dan al-qadhâ’) dan yang terakhir ialah solat. Ini menunjukkan bahawa al-hukm menjadi fokus sasaran pertama. Jika al-hukm berjaya dirosakkan, ia akan menjadi pembuka kepada rosaknya simpulan Islam yang lain, sehinggalah yang terakhir, iaitu solat. Al-Hukm adalah penghalang kepada rosaknya simpulan Islam yang lain. Jika al-hukm tetap ada dan baik, maka ‘urwah yang lain juga boleh kekal ada dan baik. Ini bermakna, pemerintahan menjadi pelindung kepada simpulan-simpulan Islam. Di sinilah, Rasulullah SAW. menerangkan dalam hadis lain bahawa imam (penguasa/pemerintahan Islam) adalah junnah (perisai) yang melindungi Islam dan umat Islam.
Sebahagian daripada apa yang diterangkan oleh Rasulullah SAW. dalam hadis ini dapat kita lihat dengan jelas pada hari ini. Ketika pemerintahan Islam terakhir, iaitu Khilafah Uthmaniyyah berjaya digulingkan oleh Barat melalui kaki tangannya, Musthafa Kamal laknatullâh ‘alaih, Islam telah lenyap dari ruang awam pengaturan masyarakat. Kemudian hal ini segera disusuli dengan rosaknya simpulan-simpulan Islam yang lain sehingga sekarang, Islam hanya ada dalam ruang lingkup peribadi; hanya tersimpan di dalam dada individu muslim dan tergambar dalam ritual ibadah dan unsur akhlak seperti yang ada pada hari ini.
Dalam keadaan seperti ini, ‘urâ al-Islâm yang tinggal adalah ‘urwah solat. Sudah tentu ‘urwah solat ini mesti dijaga dan dipelihara. Namun begitu, usaha ini perlulah disertai dengan usaha untuk memperbaiki dan mewujudkan ‘urwah yang lain khususnya ‘urwah al-hukm. Al-Hukm akan melindungi urwah-urwah Islam. Oleh itu, usaha untuk mewujudkan kembali ‘urwah al-hukm, iaitu pemerintahan yang menerapkan hukum-hukum Allah, adalah usaha strategik untuk memperbaiki dan mewujudkan kembali ‘urâ al-Islâm secara menyeluruh. Wallahualam bissawab.
Sumber:
#SimpulanIslam #SyarahHadis