[Soal Jawab] Adakah usaha manusia boleh menambah rezeki?
Oleh: Syekh ’Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Soalan:
Adakah usaha dapat menambah jumlah rezeki yang telah Allah tetapkan? Adakah seseorang yang hanya duduk di rumahnya akan sama rezekinya dengan jika dia bekerja? Adakah pengiklanan atau mempromosikan pekerjaan akan menambah jumlah rezeki yang telah Allah tuliskan?
Jawapan:
Nampaknya terdapat kekeliruan dalam topik rezeki dan usaha ini. Di atas semuanya itu, perkara ini telah dijelaskan, khususnya di dalam Al-Kurâsah. Saya akan meringkaskan sebahagiannya sebagai berikut:
Adapun masalah rezeki, maka banyak ayat-ayat yang qath’ie dalaalah yang tidak meninggalkan sedikit pun ruang untuk orang yang mengimani Al-Quran kecuali dia mengimani bahawa rezeki itu di tangan Allah. Allah memberikan rezeki kepada orang yang Dia kehendaki.
Masalah rezeki berbeza dengan masalah al-qadar. Sebab, al-qadar bermakna bahawa Allah Swt. mengetahui suatu perkara tertentu akan terjadi, sebelum perkara itu terjadi. Jadi Allah telah menuliskan dan menetapkan sesuatu. Adapun terkait rezeki bukan hanya bahawa Allah Swt. mengetahui bahawa si fulan akan diberi rezeki sehingga Dia telah menuliskan dan menetapkan rezeki itu untuk dirinya. Namun, selain itu, Allah telah menetapkan rezeki hambaNya dan yang memberikan rezeki tersebut adalah Allah. Bukan hamba/manusia. Inilah yang ditunjukkan oleh ayat-ayat Al-Quran. Misalnya Allah Swt. berfirman,
لَا نَسۡئَلُكَ رِزۡقٗاۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَۗ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ ١٣٢
“Kami tidak meminta rezeki kepada kamu. Kamilah Yang memberikan rezeki kepada kamu. Akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” [TMQ Thaha (20): 132].
وَكُلُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَٰلٗا طَيِّبٗاۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِيٓ أَنتُم بِهِۦ مُؤۡمِنُونَ ٨٨
“Makanlah makanan yang halal dan baik dari apa yang telah Allah rezekikan kepada kalian. Bertakwalah kalian kepada Allah, Tuhan Yang kalian imani.” [TMQ Al-Maidah (5): 88].
Ayat-ayat ini qath’ie dalaalah yang menunjukkan bahawa Allah-lah Pemberi rezeki. Dia juga yang memberikan rezeki itu kepada siapa saja yang Dia kehendaki. Dia juga yang melapangkan rezeki untuk siapa saja yang Dia kehendaki dan menyempitkan rezeki bagi orang yang Dia kehendaki. Jadi semua ayat-ayat tersebut menisbatkan rezeki kepada Allah Swt.. Ertinya, di dalam Al-Quran dinyatakan bahawa tidak ada yang memberi rezeki selain Allah. Ini menunjukkan bahawa Allah-lah Pemberi rezeki. Ini merupakan penyandaran (penisbatan) yang hakiki.
Jadi penisbatan rezeki kepada Allah adalah penisbatan yang hakiki. Lebih dari itu, tidak dinyatakan sama sekali penisbatan rezeki kepada manusia, yakni bahawa manusialah yang memberikan rezeki kepada dirinya sendiri. Tidak ada penisbatan seumpama itu baik di dalam Al-Quran mahupun hadis Nabi saw.. Di dalam semua nas yang ada, penisbatan rezeki itu hanya kepada Allah Swt.
Adapun apa yang dinyatakan berupa penisbatan rezeki untuk manusia yang memberikan ‘rezeki’ kepada manusia lainnya, maka yang dimaksudkan adalah “serahkanlah harta untuk mereka”. Jadi, yang diinginkan bukanlah perbuatan memberi rezeki. Misalnya firman Allah Swt.,
وَلَا تُؤۡتُواْ ٱلسُّفَهَآءَ أَمۡوَٰلَكُمُ ٱلَّتِي جَعَلَ ٱللَّهُ لَكُمۡ قِيَٰمٗا وَٱرۡزُقُوهُمۡ فِيهَا وَٱكۡسُوهُمۡ وَقُولُواْ لَهُمۡ قَوۡلٗا مَّعۡرُوفٗا ٥
“Janganlah kalian menyerahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang ada dalam kekuasaan kalian) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu).” [TMQ An-Nisa’ (4): 5].
Allah Swt. juga berfirman,
وَإِذَا حَضَرَ ٱلۡقِسۡمَةَ أُوْلُواْ ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينُ فَٱرۡزُقُوهُم مِّنۡهُ ٨
“Jika sewaktu pembahagian itu hadir kerabat, anak yatim, dan orang miskin, maka berilah mereka dari harta itu (sekadarnya).” [TMQ An-Nisa’ (4): 8].
Yang diinginkan dengan ayat pertama adalah “berikan makanan untuk mereka”. Yang diinginkan dengan ayat yang kedua adalah “maka serahkanlah kepada mereka dari rezeki yang kalian peroleh ini”. Jadi itu adalah perintah agar mereka diberikan sebahagian rezeki. Itu bukan penisbatan rezeki kepada mereka. Tidak dinyatakan penisbatan rezeki dengan makna yang melakukan ar-rizqu (pemberian), kecuali kepada Allah Swt.. Di dalam Al-Quran Allah Swt. berfirman,
نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ ١٥١
“Kami akan memberikan rezeki kepada kalian.” [TMQ Al-An’am (6): 151] .
Dalam ayat lain Allah Swt. berfirman,
وَرِزۡقُ رَبِّكَ ١٣١
“Rezeki (kurnia) Tuhanmu.” [TMQ Thaha (20): 131].
Allah Swt. juga berfirman,
كُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ مِن رِّزۡقِ ٱللَّهِ ٦٠
“Makan dan minumlah dari rezeki Allah.” [TMQ Al-Baqarah (2): 60].
Di dalam semua nas di atas, perbuatan memberi (fi’lu ar-rizqi) dinisbatkan dan disandarkan hanya kepada Allah Swt.. Ini memberikan makna yang tidak menerima penakwilan, iaitu bahawa Allah sahajalah Yang Maha Pemberi rezeki (Ar-Razâq) dan bahawa rezeki itu ada di tangan-Nya.
Berdasarkan hal ini, kita wajib mengimani bahawa Allah adalah Pemberi rezeki kepada makhluk-Nya. Sebab, dalilnya qath’ie ats-tsubût dan qath’ie ad-dalâlah. Jadi mengimani perkara ini wajib dan mengingkarinya adalah kufur. Oleh kerana itu, siapa saja yang tidak mengimani bahawa Allah adalah Zat Yang Maha Pemberi rezeki, maka sungguh dia telah kafir, dan tempat berlindung hanya kepada Allah. Ini masalah rezeki dari sisi keimanan dan dari sisi dalil.
Hanya saja, selain memerintahkan keimanan bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki, Allah juga memerintahkan manusia untuk berusaha memperoleh rezeki ini. Allah Swt. berfirman,
هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦۖ ١٥
“Dialah Yang telah menjadikan bumi itu mudah bagi kalian. Oleh kerana itu, berjalanlah kalian di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” [TMQ Al-Mulk (67): 15].
Allah Swt. juga berfirman,
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَٱبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ ١٠
“Jika telah ditunaikan solat Jumaat, bertebaranlah kalian di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.” [TMQ Al-Jumu’ah (62): 10].
Di dalam dua ayat ini, Allah Swt. memerintahkan manusia untuk berusaha mencari rezeki. Jika perintah untuk berusaha mencari rezeki ini dikaitkan dengan ayat-ayat yang menyatakan bahawa Allah Swt. adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki, menjadi jelas makna keberadaan Allah adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki. Dengan itu menjadi jelas makna iman bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki.
Ayat-ayat pertama semuanya memastikan bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki. Ertinya, pihak yang memberi rezeki adalah Allah, dan bukan manusia. Adapun dua ayat ini memerintahkan manusia untuk bekerja bagi memperoleh rezeki Allah.
Faktanya, usaha bukanlah sebab untuk memperoleh rezeki. Hal itu kerana, sebab itu menghasilkan musabab secara pasti. Musabab tidak dihasilkan kecuali dari sebabnya. Pisau adalah sebab terpotong dan pisaulah yang memotong. Api adalah sebab terbakar dan apilah yang membakar. Tidak terjadi keadaan terpotong tanpa pisau, yakni tanpa alat yang tajam. Tidak terjadi pembakaran tanpa api, yakni tanpa alat yang membakar. Ini adalah sebab.
Seandainya usaha mencari rezeki seperti itu, nescaya merupakan sebab rezeki, dan nescaya realitinya bahawa usaha adalah yang mendatangkan rezeki. Ini sebagaimana pisau adalah yang memotong dan api adalah yang membakar.
Namun, dalam usaha mencari rezeki tidak demikian. Ertinya, tidak seperti pisau terkait dengan keadan terpotong, dan tidak seperti api terkait dengan keadaan terbakar. Sebab, kadang-kadang telah dilakukan usaha mencari rezeki, tetapi rezeki tidak diperoleh. Kadang-kadang rezeki diperoleh tanpa melalui usaha/pencarian rezeki. Ertinya, kadang-kadang telah terjadi sebab, tetapi tidak terjadi musabab. Kadang-kadang telah terjadi musabab tanpa sebabnya, bahkan boleh jadi tanpa sebab apa pun. Ini menunjukkan dengan dalaalah yang qath’ie bahawa usaha bukanlah sebab bagi datangnya rezeki.
Contoh-contoh atas hal itu dalam realiti kehidupan sangat banyak, yang memberikan kepastian. Seorang pedagang berusaha untuk mendapatkan laba (hasil/keuntungan), tetapi hasil dari perdagangannya adalah kerugian atau tidak ada laba. Kadang-kadang telah diusahakan, tetapi tidak mendapatkan rezeki. Ertinya, telah ada sebab, tetapi tidak dihasilkan musabab. Kerana musabab itu tidak dihasilkan, maka itu bukanlah sebab. Sebabnya, sebab itu secara pasti menghasilkan musabab.
Orang yang mewarisi harta bererti rezekinya itu datang tanpa dia berusaha mencari. Seandainya usaha adalah sebab rezeki, nescaya tidak diperoleh harta tanpa ada usaha. Ini menunjukkan bahawa, musabab itu tidak dihasilkan kecuali dari sebab yang jadi penyebabnya. Perolehan harta dengan waris tanpa ada usaha merupakan dalil bahawa usaha bukan sebab untuk rezeki kerana harta warisan diperoleh tanpa adanya usaha.
Semua ini menetapkan secara qath’ie bahawa usaha untuk mencari rezeki bukan merupakan sebab untuk rezeki. Ertinya, usaha itu bukanlah sebab bagi mendatangkan rezeki. Jadi usaha itu bukan seperti pisau yang melakukan pemotongan dan bukan seperti api yang melakukan pembakaran. Jadi usaha bukanlah sebab yang mendatangkan rezeki sebab usaha bukanlah sebab untuk rezeki.
Begitulah, Yang Maha Pemberi rezeki adalah Allah Swt.. Ini termasuk perkara akidah. Adapun usaha adalah bahagian dari hukum syariat. Jika kita berusaha, kita mendapatkan rezeki yang telah Allah tetapkan untuk kita, selain mendapatkan pahala atas usaha kita dalam mencari rezeki. Jika kita tidak berusaha, maka kita pun mendapatkan rezeki yang telah Allah tetapkan untuk kita, tetapi kita telah menyalahi hukum syariat jika kita tidak berusaha sebagaimana yang Allah perintahkan kepada kita.
#soaljawab #rezeki #usaha