[Ath-Thariq] Pemikiran dan Teori-Teori yang Salah Seputar Perubahan (Bahagian 2/3)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Seterusnya,
- Kebangkitan dengan pendidikan dan ilmu pengetahuan.
Mereka yang mencetuskan idea ini menyifatkan kemunduran kita yang begitu jelas ini adalah disebabkan masih meluasnya buta huruf, kurangnya orang yang berpendidikan serta penyebaran ilmu dan tidak ada usaha untuk betul-betul menyebarkannya. Kerana itu mereka lebih banyak mempromosikan slogan seperti “ilmu itu asas kebangkitan”, “ilmu pemacu kebangkitan Barat”, dan sebagainya.
Sebenarnya pandangan seperti ini adalah tidak benar dan untuk menjelaskannya, kami paparkan sebagai berikut :
- Jika kita bandingkan jumlah orang berpendidikan yang kita (umat islam) miliki dengan orang-orang berpendidikan yang dimiliki negara-negara maju, kita akan dapati bahawa golongan berpendidikan yang kita miliki adalah lebih banyak terutamanya di Lubnan, Jordan, Kuwait berbanding dengan mereka yang berada di Eropah Timur dan Barat yang saat ini bangkit.
- Apakah mereka bangsa Arab ketika memimpin umat Islam ke tahap kemajuan ilmu pengetahuan itu merupakan bangsa yang terpelajar? Atau adakah kemajuan mereka dalam bidang ilmu pengetahuan itu diperolehi setelah adanya kebangkitan umat Islam atau benarkah adanya kemajuan ilmu pengetahuan di Amerika dan Rusia sebelum kebangkitan mereka? Atau adakah kebangkitan negara-negara itu yang mewujudkan kemajuan dalam ilmu pengetahuan? Jika memang ramainya golongan terpelajar menjadi sebab kebangkitan, nescaya negara-negara umat Islam akan menjadi negara yang paling bangkit serta maju dan negara-negara Barat menjadi negara yang mundur. Maka dari sini jelaslah bahawa kebangkitan lah menjadi sebab kemajuan ilmu pengetahuan, bukan sebaliknya.
- Kebangkitan dengan akhlak.
Para pencetus idea ini beranggapan bahawa kebangkitan umat dapat dicapai dengan meningkatkan mutu akhlak setiap individu dan kemunduran umat adalah disebabkan mundurnya akhlak. Mereka memperkuatkan pendapatnya dengan beberapa bait syair, seperti ungkapan Syauqi berikut :
Umat-umat itu bertahan hidup dan tidak punah bila akhlak mereka ada
Jika akhlak mereka hilang, maka mereka pun ikut punah pula
Atau perkataannya yang lain:
Kebenaran dan kesesuaian urusanmu, akhlaklah menjadi tempat ia merujuk
Maka tegakkanlah dirimu dengan akhlak itu, nescaya dengannya engkau akan tegak lurus
Atau perkataannya:
Sia-sialah upaya pemimpin yang ingin membangun kaumnya
Jika akhlak kaum itu menjadi penghancurnya
Mereka juga memperkuatkan pernyataannya dengan nas-nas syarak yang berasal dari Al-Quran seperti firman-Nya,
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” [TMQ Al-Qalam (68): 4]
Atau dari hadis Nabi SAW., “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak.”
Untuk menjelaskan tentang pendapat yang tidak benar ini, kami paparkan sebagai berikut :
- Sesungguhnya pembahasan kita ini berkisar tentang usaha untuk membangkitkan umat dan masyarakat, bukannya untuk membangkitkan individu. Selain dari itu, kita juga mesti memahami terlebih dahulu realiti masyarakat dan aktiviti yang perlu ada untuk mengubahnya. Jika kita tetapkan bahawa akhlak itu dapat mengubah individu -dan ini bukanlah sebuah kenyataan yang sahih seperti mana yang akan kami jelaskan setelah ini- maka sesungguhnya perubahan individu itu tidak akan membawa kepada perubahan masyarakat kerana masyarakat itu tidak hanya terbentuk dari individu sahaja, melainkan dari individu-individu dan ikatan-ikatan antara individu tersebut beserta sistem yang menjaga ikatan-ikatan itu. Kerana itu, agar kebangkitan dan perubahan itu dapat terjadi, ia mestilah membahas kaifiah (tata cara) mengubah masyarakat seluruhnya yang dimana individu menjadi sebahagian darinya. Perlu diingat bahawa penelitian ini tidak boleh hanya berorientasi pada individu.
- Sesungguhnya yang mendorong individu untuk mahu menerima dan berpegang teguh pada akhlak bukanlah sebab akhlak itu sendiri, tetapi merupakan beberapa faktor di luar akhlak itu sendiri. Sebagai contoh, terkadang seseorang terbiasa berkata jujur kerana ia menganggap dalam sikap jujur itu ada manfaat baginya atau kerana bapanya telah mengajarkan perkara itu padanya, atau kerana manusia menghormati orang yang bersikap jujur atau kerana agama memerintahkan untuk bersikap jujur dan sebagainya. Berdasarkan hal ini, jika kita menginginkan agar seseorang berakhlak dengan akhlak tertentu, maka kita perlu menyeru pada asas yang menjadi sumber terbitnya akhlak tersebut dan asas inilah yang menentukan segenap tingkah laku, akhlak dan perbuatan manusia.
- Al-Quran juga tidak pernah membicarakan tentang akhlak dalam bentuk lafaz kecuali hanya dalam ayat, “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” [TMQ Al-Qalam (68): 4]
Kemudian, para fukaha kaum muslim juga telah membuat sebuah bab untuk setiap jenis hukum, tetapi mereka tidak pernah membuat bab tersendiri dalam kitab mereka yang membahas tentang akhlak.
- Seandainya kita bandingkan akhlak antara umat dan bangsa yang sedang bangkit, dengan akhlak umat dan bangsa yang dianggap mundur, nescaya kita akan mendapati bahawa umat-umat yang dianggap mundur tersebut, terutamanya kaum muslim merupakan orang yang lebih baik akhlaknya. Tetapi walaupun begitu, mereka tetap saja terkebelakang dan tidak bangkit.
Apa lah faedah yang diperolehi daripada berjuta-juta buku, buletin, kuliah dan seminar yang membincangkan akhlak sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Adakah ia dapat mengubah sesuatu dari realiti kita ini?
Paparan tadi menunjukkan dengan jelas bahawa pandangan tentang akhlak merupakan asas kebangkitan adalah pandangan yang salah. Perlu difahami, apa yang kami nyatakan bahawa akhlak tidak layak dijadikan sebagai asas perubahan, bukanlah bermaksud kami menolak akhlak, tetapi maksudnya, akhlak itu bukanlah asas atau penyebab pada kebangkitan walaupun seorang manusia perlu memiliki akhlak yang terpuji.
- Kebangkitan dengan kekuatan fizikal dan persenjataan.
Sesetengah golongan berpendidikan berpendapat bahawa kemunduran adalah disebabkan oleh ketidakupayaan kita untuk memiliki kekuatan ketenteraan yang kuat dan senjata moden. Kemudian, mereka berpendapat bahawa kebangkitan kita tidak akan tercapai melainkan kita mempunyai senjata dan kekuatan ketenteraan dan sebagainya.
Pemikiran seperti ini adalah salah dan ia juga disokong oleh realiti yang sangat jelas dan nyata. Berdasarkan realiti yang ada, kita tidak memerlukan persenjataan demi sebuah kebangkitan. Timbunan persenjataan di gudang-gudang besar negara-negara Arab sudah melebihi jumlah persenjataan yang dimiliki oleh negara-negara yang saat ini sudah bangkit. Namun, tetap saja persenjataan itu tidak tampak dan digunakan untuk memerangi Israel dan sekutu mereka. Persenjataan tersebut hanya muncul semasa peperangan Al-Asyqa’u.
Kerana itu, persenjataan yang ada pada negara yang tidak bangkit dan mundur hanyalah seperti senjata yang dipegang oleh anak kecil atau orang gila. Kerana persenjataan itu tidak diarahkan pada tujuan yang sebenarnya dan ia digunakan bukan di tempat yang sepatutnya.
Orang gila, mengarahkan senjatanya ke mana saja yang dia inginkan tanpa memperhatikan matlamat atau tujuan sehingga mungkin saja dia akan mengacu senjata tersebut pada diri atau saudaranya sendiri.
Berdasarkan hal ini, kami nyatakan bahawa persenjataan yang lengkap dan moden tidak akan membawa pada kebangkitan, bahkan banyaknya persenjataan serta ketenteraan tidak dapat dikaitkan dengan adanya kebangkitan. Walaupun negara-negara yang sudah bangkit -disebabkan oleh tabiatnya untuk memiliki persenjataan dan persenjataan itu menjadi sebuah kemestian (dlaruriy) bagi umatnya- lengkap dengan persenjataan. Bagaimanapun, lengkapnya senjata umat Islam saat ini tetap saja tidak membawa pada kebangkitan. Jika hendak diistilahkan secara metafora, keadaannya adalah sebagai berikut, “Celakalah sebuah umat yang memakan sesuatu yang tidak ia tanam dan memakai sesuatu yang tidak ia tenun.”