[Ath-Thariq] Pemikiran dan Teori-Teori yang Salah Seputar Perubahan (Bahagian 1/3)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Golongan intelektual umat ini telah mencuba berbagai macam ubat dan penyelesaian untuk mengubati penyakit umat ini. Malangnya usaha mereka untuk menyedarkan umat dari penyakit yang menghalangnya untuk bangkit ini menemui kegagalan dan nyaris membawa mereka ke jurang kebinasaan. Realiti pahit yang terus menyelubungi kehidupan kita menjadi bukti yang lebih menunjukkan kegagalan mereka.
Seandainya kita meneliti lebih dalam lagi segala faktor-faktor yang membawa pada kegagalan golongan intelektual itu, kita akan temukan bahawa faktor tersebut merupakan salah satu dari dua penyebab berikut ini.
Pertama, tidak adanya pemahaman yang benar akan penyakit yang menimpa umat ini sehingga mereka tidak mampu untuk memberikan ubat dan penyelesaian yang bersesuaian dan benar. Kedua, mereka mampu mendiagnosis penyakit dan mengetahui ubatnya, tetapi mereka tidak memberikan ubat serta penyelesaian yang benar pada si sakit (umat ini). Analoginya begini, jika ubat itu sepatutnya dimakan, mereka malah menyuruh si sakit itu menyapu ubatnya. Jika ubat itu sepatutnya diberikan sebanyak tiga kali, mereka malah memberikannya sebanyak 10 kali.
Kerana itu, kita mesti membahas tentang ubat yang sepatutnya serta penyelesaian yang tepat serta mempunyai keyakinan pada ubat tersebut sebelum memberikannya kepada umat. Bahkan, ubat tersebut mestilah diuji terlebih dahulu keberkesanannya. Ini kerana, umat ini sudah terlalu sakit sehingga tidak mahu lagi mencuba ubat yang belum diuji cuba serta belum terbukti faedahnya.
Dari titik tolak inilah, secara pasti saya berpendapat -sebelum memaparkan ubat penyembuh yang terbukti keberkesanannya- untuk mengingatkan pada umat akan beberapa penyembuhan yang telah diuji sebelum ini dan menemui kegagalan, walaupun sebahagian ubat itu -walaupun telah nyata kegagalannya- senantiasa didendangkan serta diserukan. Antaranya adalah :
- Kebangkitan umat dengan ekonomi.
Sebahagian orang menyangka -dan mereka masih saja menyangka- bahawa penyebab kemunduran umat ini adalah kerana kemunduran ekonomi, kurangnya harta kekayaan, kecilnya tingkat kenaikan pendapatan nasional (bangsa) dan individu serta kurangnya sumber-sumber ekonomi dan tidak terpenuhinya berbagai produksi industri. Mereka mengatakan bahawa asas yang pasti dapat membawa pada kebangkitan adalah aktiviti yang dilakukan dalam rangka mewujudkan kemajuan dalam bidang ekonomi. Untuk menjelaskan rosaknya pemikiran seperti ini, kami terangkan sebagai berikut:
- Sesungguhnya Amerika yang menjadi negara kuasa besar di dunia saat ini tidaklah bangkit atas asas ekonomi atau apa pun yang sejenis dengannya kerana Amerika -sehingga hari kemerdekaan dan kebangkitannya- hanyalah menjadi tanah jajahan Britain yang dimana mereka mengeksploitasi setiap hasil dan kekayaan alamnya dan keadaan itu terus berlaku sehingga Amerika bangkit. Setelah beberapa tahun negara tersebut bangkit, barulah kelihatan adanya kemajuan dalam bidang ekonomi, industri dan ketenteraan. Lalu, bagaimana Amerika boleh bangkit sedangkan ekonominya lemah?
- Empayar Rusia adalah negara yang paling lemah dalam bidang ekonomi, dan keadaan berterusan seperti itu sehingga mereka mengubah sistem yang mereka gunakan. Selepas beberapa tahun yang panjang semenjak pertukaran sistem baru, barulah kelihatan kemajuan ekonomi di Rusia. Bagaimana mereka boleh bangkit sedangkan ketika itu mereka mengalami kemunduran ekonomi?
- Jika kekayaan, kefakiran, peningkatan pendapatan nasional dan individu menjadi tolok ukur kemajuan bidang ekonomi, bukankah lebih sepatutnya negara-negara teluk dan Arab Saudi menjadi negara yang paling maju daripada negara-negara lain yang telah bangkit? Mengapa negara-negara Eropah boleh bangkit sedangkan negara-negara Arab tidak?
Contoh-contoh yang diberikan tadi menjelaskan rosaknya pemikiran yang menyatakan bahawa ekonomi dapat menjadi asas kebangkitan. Oleh kerana itu, pemikiran yang benar dan perlu difahami adalah bahawa kemajuan dalam bidang ekonomi itu menjadi salah satu pengaruh adanya kebangkitan dan menjadi salah satu buah dari hasil-hasil kebangkitan, bukannya menjadi sebab atau batu loncatan kebangkitan. Kemajuan ekonomi merupakan hasil dari sebuah kebangkitan.
Apakah yang sebenarnya akan terjadi seandainya negara-negara besar itu menetapkan untuk memukul harga minyak Arab atau mereka -negara-negara besar- itu mampu dengan berbagai cara untuk tidak membeli minyak itu? Yang kelihatan bakal terjadi adalah hilangnya tanda-tanda kemajuan ekonomi itu, kerana kemajuan tersebut tidak berdiri tegak di atas asas yang kuat.
Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)