[Ath-Thariq] Pemikiran dan Teori-Teori yang Salah Seputar Perubahan (Bahagian 3/3)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Perkara-perkara yang telah dibahas sebelum ini merupakan contoh-contoh atas berbagai penyelesaian dan pemikiran yang telah gugur sebagai asas-asas kebangkitan. Kerosakan semua pemikiran yang gugur tersebut jelas kelihatan kerana jalan dan caranya sendiri serta telah nyata kegagalannya. Perlu diingat bahawa pernyataan kami tentang kerosakan semua penyelesaian tersebut sebagai asas kebangkitan tidaklah bermaksud kami menolak semua itu. Hanya saja kami menolaknya kerana penyelesaian tersebut bukanlah asas atau batu loncatan sesuatu kebangkitan.
Sesungguhnya, akhlak, ekonomi, pendidikan, persenjataan dan sebagainya merupakan hal-hal yang diperlukan oleh umat sehingga mesti dipenuhi dan perlu sentiasa berusaha untuk mewujudkannya. Akan tetapi, usaha tersebut dilakukan setelah kebangkitan itu berjaya diwujudkan, bukan sebelumnya.
Sebelum memasuki pada penyelesaian yang sahih dan pemikiran yang benar dan pasti dapat menghantarkan kita pada kebangkitan dan menjadi asas kebangkitan, terlebih dahulu kita perlu meringkaskan sebab yang paling penting yang memaparkan celah-celah kelemahan beberapa pemikiran yang gugur tadi. Sebab-sebab tersebut di antaranya adalah seperti berikut :
Pertama : Bahawasanya mereka (para pencetus dan pemilik idea-idea yang gugur tersebut) tidak mendalami pembahasan tentang sebab-sebab yang membawa pada kejatuhan umat ini. Mereka hanya mencukupkan diri dengan pandangan serta teori yang dangkal. Kerana itulah, mereka meletakkan penyelesaian yang hanya melibatkan permukaan sahaja, tidak dengan inti permasalahannya. Kesannya, mereka hanya memberikan penyelesaian yang sebenarnya hanya layak untuk menyembuhkan bekas penyakit itu, tetapi tidak menyembuhkan dan menghilangkan sumber penyakit sebenarnya.
Mereka adalah ibarat doktor yang mengubati penyakit demam dengan hanya menggunakan kain sejuk dan sepotong ais sahaja. Hanya dengan turunnya suhu badan si sakit, mereka menyangka bahawa penyakit itu telah berjaya disembuhkan. Atau seperti tabib yang lebih memilih untuk mengubati luka di pesakit yang menghidap cacar daripada mencari sumber penyakitnya.
Kedua : Para pencetus idea itu telah menyandarkan pembahasannya pada perkara-perkara yang tidak menjadi tujuan mereka sebenarnya iaitu kebangkitan. Objek perbahasan itu sepatutnya bukanlah terkait bagaimana kita memajukan ekonomi, ketenteraan dan politik, tetapi objek perbahasan yang sebenarnya adalah bagaimana agar manusia dan umat dapat bangkit sehingga kebangkitan itu tercapai, umat dapat merasakan hasilnya yang berupa kemajuan ekonomi, ketenteraan, ilmu pengetahuan dan dapat memimpin dunia seluruhnya sebagaimana yang telah dilakukan oleh umat Islam terdahulu. Adapun perbahasan dalam masalah ekonomi, persenjataan dan akhlak, dipandang sebagai perbahasan dalam perkara yang sebenarnya tidak perlu dijadikan pokok perbahasan.
Apa yang telah dijelaskan tadi perlu dijelaskan juga secara terang dan nyata pada umat agar ia dapat menjamin kebangkitan umat. Supaya dapat membangkitkan umat, kita mesti memahami fakta manusia dengan pemahaman yang sempurna, juga perlu memahami fakta umat dan masyarakat.
Adapun perhatian yang ditujukan pada selain hal itu hanya akan menjadi usaha yang sia-sia, membuang waktu dan tenaga. Kerana itu, bab seterusnya akan membahas tentang realiti manusia dan cara mengubahnya agar menjadi lebih baik.