[Ath-Thariq] Kita dan Perubahan (Bahagian 4/5)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Setelah semua aturan ini berlaku dan menetapkan hubungan seorang lelaki dan perempuan, yang perempuan itu menjadi bahgian dari lelaki, serta bagaikan cermin yang perlu diberlakukan dengan penuh kelembutan, cinta, dan kasih sayang, dan juga agama serta akhlaknya perlu menjadi keutamaan ketika seorang lelaki memilihnya untuk menjadi pendamping hidupnya, bukan kecantikan, harta, dan yang lainnya. Seorang perempuan wajib untuk menghormati lelaki dan suami itu memiliki hak untuk ditaati dan dihormati oleh isteri.
Setelah semua ikatan yang luhur dan mulia itu, maka pada hari ini ikatan-ikatan yang ada ditegakkan atas dasar bahawa perempuan merupakan komoditi yang perlu dinikmati, sedangkan dahulu perempuan itu menjadi anugerah dan harta yang wajib dijaga. Dan yang lebih membuktikan hal itu adalah dengan lambakan wajah-wajah mereka (di bahagian depan) tempat penjualan pakaian, salon, serta tempat yang penuh gemerlap, kenderaan seperti kapal terbang dan bas yang dianggap tidak lebih dari makanan untuk menarik pelanggan, mereka menjadi barang dagangan yang akan ditatap selama mereka masih muda, dan dilempar keluar apabila telah ‘tamat tempoh’, bagaikan puntung rokok yang dilempar dan diinjak oleh tapak kaki.
Kini, kaum perempuan tidak lagi menjadi sosok yang diperlakukan penuh kelembutan oleh hukum perzinaan moden ciptaan perundangan yang ada saat ini, tetapi mereka kini (kecuali yang dirahmati Tuhanmu) menjadi atlet sepak bola. Perempuan tidak lagi dianggap “Syurga itu ada di telapak kaki ibu”, tetapi menjadi “Ibu dan telapak kakinya—kecuali sedikit—berada di bawah telapak kaki syaitan atau di rumah-rumah orang tua”.
Talak tidak dianggap lagi sebagai sesuatu yang dibenci, talak disukai atau mungkin dicintai selama negara boleh memperoleh bea dan harta. Runtuhnya hubungan dan ikatan keluarga lebih jelas untuk berbicara, apakah setelah keluhuran sistem pergaulan kala negara Islam tegak ada keluhuran dan kemuliaan lain? Apakah setelah kerendahan pergaulan yang kita alami saat ini ada kerendahan lain? Adakah orang berakal tidak merasakan musibah dan kerosakan, keruntuhan dan kehancuran yang menimpa masyarakat kita ini?
- Sistem Pendidikan
Setelah kita menjadi bangsa yang paling maju di bidang ilmu pengetahuan, pendidikan, penyelidikan dan pengembangan (R&D), dan perguruan tinggi, di mana perguruan tinggi dan universiti kita menjadi kiblat impian para pelajar dari seluruh penjuru dunia, pusat perhatian para ilmuan dan kalangan intelektual, selepas Cordoba, Sevilla, Kairo, Baghdad, dan Universiti Zaitunah boleh melahirkan ilmuan dan intelektual yang mempersembahkan berjuta karya pada umatnya.
Setelah anak-anak kita—dalam naungan negara dan realiti tadi—menamatkan pendidikan mereka dalam jangka waktu pendek dan mereka memahami agama dan akidahnya dan mengetahui berbagai bentuk ilmu dan pengetahuan. Setelah negara menjamin segenap pembiayaan para pelajar sehingga tamat pengajian mereka kerana pendidikan itu wajib dan percuma bagi semua orang. Selain itu asas yang menjadi pijakan kurikulum pendidikan adalah akidah, dan pembelajaran tentang sesuatu yang dipergunakan seseorang dalam kancah kehidupan menjadi sebuah kewajipan bagi seorang muslim dan muslimat serta wajib pula negara memenuhinya untuk semua, setelah negara Islam dan kaum muslim telah sampai pada tingkat kemajuan ilmu pengetahuan yang pengaruhnya masih membekas dan digunakan di universiti-universiti besar di dunia seperti matematik Ibnu Haitsam dan Hasan Bishri, dan kedoktoran Ibnu Sina dan al-Razi, dan sebagainya, setelah itu semua, kini kita meluncur ke tingkat paling bawah.
Kita menjadi orang yang begitu fakir dalam bidang ilmu pengetahuan di dunia saat ini, mencukupkan diri dengan sisa hidangan negara-negara lain, kita memakan apa yang mereka lemparkan kepada kita, dari sisa-sisa apa yang mereka tidak perlukan lagi atau kerana sudah bosan dengannya, semua itu dianggap sudah ketinggalan zaman. Kita tidak belajar sebagaimana yang kita atau Islam inginkan, tetapi bergantung pada keinginan penjajah atau para sekutunya. Islam tidak lagi menentukan kurikulum pendidikan, tetapi Dunlop dan kawan-kawannya, seterusnya badan-badan yang berada di jabatan pendidikan yang berjalan sesuai dengan selera penjajah dan ajaran-ajarannya. Saat ini kita mempelajari apa yang bertentangan dengan akidah, budaya, dan kebiasaan kita sebagai orang Islam.
Para pelajar kita lebih mengenali Napoleon dan Hitler berbanding Khalid, Shalahuddin, dan Thariq bin Ziyad. Mereka lebih mengenali John Travolta dan Demis Roussos berbanding Mush’ab bin Umair, Abu Dzar, dan Bilal. Apakah setelah kemunduran seperti ini ada kemunduran lain yang melebihinya, apakah setelah kejatuhan dan keterpurukan ini ada kejatuhan lain yang melebihinya?
- Sistem Perundangan
Setelah sekian lama kita menikmati kehidupan di bawah naungan daulah Islam, negara yang memelihara kehormatan dan kemanusiaan manusia, di mana semua manusia sama kedudukannya di hadapan hukum sehingga tidak ada perbezaan antara satu penduduk dengan penduduk lainnya “Seorang pun tidak akan dihukum kecuali dengan adanya vonis mahkamah peradilan”, dan “Secara asalnya seorang muslim itu bebas dari tanggungan”, dan “Tidak diperbolehkan menyeksa seorang pun secara mutlak” dan “Qadhi Mazalim menuntut segala perbuatan ketidakadilan yang dilakukan negara, baik oleh pemimpin negara atau pegawainya yang menimpa rakyat”, dan “Syarat qadhi itu wajib adil, tulus, faqih, dan faham”, dan “Seorang qadhi yang salah memberikan ampunan seribu kali, lebih baik daripada seorang qadhi yang salah menetapkan hukuman satu kali” “Jika salah seorang yang bersengketa telah mendatangimu, sedangkan satu matanya telah dicukil (Qafa`a=mencungkil, membelah, memecah), maka janganlah engkau menetapkan hukumnya hingga orang yang kedua mendatangimu pula dan kadang kedua matanya telah dicungkil pula.”
“Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah tatkala ada orang lemah yang mencuri, mereka potong tangannya, dan jika orang yang terhormat mencuri, mereka membiarkannya,” dan “Demi Allah, seandainya Fathimah binti Muhammad mencuri, nescaya Muhammad akan memotong tangannya.”
Begitulah keadaan daulah tersebut beserta realiti peradilannya sehingga semua orang boleh menjalani hidupnya dengan aman kerana mereka tahu bahawasanya mereka tidak akan dihukum apabila tidak ada dosa dan kesalahan yang dilakukan, atau hanya kerana adanya tuduhan yang batil. Khalifah dengan rakyat, siapa pun orangnya, akan duduk di tempat yang sama. Dalam sebuah kisah diceritakan, “Bahawasanya Imam Ali bin Abi Thalib ada masalah dengan seorang Yahudi dan membawa perkara tersebut ke hadapan Umar bin Khattab, Ali agak marah kerana sang qadhi (Umar) memanggil Yahudi dengan namanya sedangkan memanggil Ali dengan julukannya, yakni Abu Hasan, juga dalam kisah seorang Qibthiy dengan Ibnu Amr bin Ash, ketika ibnu Amr berlumba dengan orang Qibthiy, dia (orang Qibthiy) mendahului Ibnu Amr bin Ash (menang dalam perlumbaan), maka Ibnu Amr marah, lalu memukul orang Qibthiy tersebut. Orang Qibthiy itu pergi mengadukan perkara tersebut kepada Umar bin Khattab. Maka Umar memerintahkan orang Qibthiy itu untuk memukul Ibnu Amr dan mengambil haknya untuk membalas.
Inilah sekelumit kisah dan ratusan kisah lainnya yang menunjukkan ketinggian dan keindahan dalam peradilan yang kita peroleh dalam naungan Daulah tersebut. Begitulah keadaan yang umat Islam dahulu pernah lalui. Maka, bagaimana halnya dengan sekarang?
*Bersambung ke bahagian 5/5
Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
#FikrulIslam #AthThariq