[Ath-Thariq] Bagaimana Kita Mengubah Manusia dan Membangkitkannya? (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Tujuan dari proses kebangkitan (amaliyat al-taghyir) adalah memajukan dan membangkitkan umat dari keadaannya yang sudah mencapai titik terendah. Umat itu terbentuk dari kumpulan individu yang berada di dalamnya dan dari hubungan-hubungan yang mengikat individu-individu tersebut. Kerana itu, kita perlu memahami fakta manusia sebagai individu, ikatan-ikatannya dan faktor-faktor yang mempengaruhi semua itu. Hal ini bertujuan untuk memajukan manusia dan semua ikatannya sehingga pada akhirnya, umat dapat bangkit secara keseluruhan.
Supaya dapat memahami lebih dalam tentang fakta dan realiti manusia dari sisi tinggi dan rendahnya, kita perlu mencermati bahawa yang menunjukkan keluhuran dan keperibadian seseorang itu adalah perilaku orang tersebut (suluk al-insan), bukanlah bentuk tubuhnya, ketampanan parasnya, tinggi rendahnya, harta kekayaannya dan sebagainya. Bila kita mengatakan bahawa si fulan itu adalah seseorang yang luhur, maka yang kita maksudkan adalah perilakunya. Walaupun terkadang kita berbeza pendapat dalam mendefinisikan penampakan luar (mazahir) dan ciri-ciri perilaku yang baik itu, tetapi kita semua sepakat bahawa perilaku itulah yang menentukan tinggi atau rendahnya seseorang.
Jika kita ingin mengubah perilaku seseorang, kita perlu mengubah pemahamannya (mafahim) terlebih dahulu kerana yang menentukan perilaku seseorang terhadap orang lain dan segala benda adalah pemahamannya.
Adapun yang dimaksudkan dengan mafahim adalah, “pemikiran-pemikiran yang bersesuaian dengan realiti pada seseorang manusia untuk memenuhi potensi hidupnya (thaqah hayawiyah) yang berupa keperluan jasmaninya (al-hajat al-‘udhawiyah) seperti makanan dan minuman serta naluri-nalurinya (gharizah) seperti keinginan untuk memiliki dan kecenderungan pada lawan jenis”, perkara ini akan kami jelaskan dengan lebih terperinci pada bab selanjutnya.
Dalam bab ini, antara manusia dan haiwan itu sama sahaja. Kedua-duanya berupaya untuk memuaskan thaqah hayawiyah-nya. Tetapi, cara manusia untuk memuaskan keperluan jasmani dan keinginan nalurinya itu berbeza dengan cara yang dilakukan oleh haiwan.
Ketika ingin memuaskan keperluan jasmani seperti makan contohnya, haiwan akan segera memenuhi keperluan itu dengan berbagai cara. Ini adalah kerana yang dikehendaki oleh haiwan itu adalah kepuasan semata.
Keldai sebagai contoh, ketika ia merasa lapar (menghajatkan makanan), sesungguhnya ia tidak akan ragu-ragu untuk menelan benda yang layak untuk dimakan yang ia temui selagi mana benda itu memungkinkan untuk menghilangkan rasa laparnya. Kadangkala ia memakan daun-daun kotor, rumput kering, sampah yang busuk dan sebagainya.
Ketika kecenderungannya terhadap lawan jenis bergejolak, maka dia tidak akan ragu dan bimbang untuk melepaskan hajatnya pada keldai betina yang pertama kali ia temui tanpa memperdulikan tempat dan syarat kerana yang penting baginya adalah memuaskan keinginannya, tidak peduli bagaimana pemuasan itu dilakukan atau akibat apa yang bakal ditimbulkan.
Keadaan ini berbeza dengan manusia yang berakal. Ia tidak akan rela untuk memuaskan keperluan jasmani dan keinginan nalurinya kecuali apabila bersesuaian dengan aturan dan cara tertentu.
Bila ia merasa lapar, ia tidak akan terus memakan benda yang pertama ia temukan. Akan tetapi, ia akan terlebih dahulu mencari makanan tertentu yang disukainya dan berusaha untuk memperolehi makanan itu dengan cara-cara yang disepakati, juga berupaya untuk mempersiapkan suasana yang sesuai bagi memenuhi keperluan tersebut.
Begitu juga apabila kecenderungannya terhadap lawan jenis bergejolak, maka dia akan memuaskan naluri tersebut dengan cara berkahwin jika dia belum berkahwin atau dengan menemui isterinya bila dia sudah berkahwin. Seseorang itu akan semakin tinggi dan luhur apabila tatacara yang ia lakukan untuk memenuhi keperluan jasmani dan keinginan nalurinya dengan cara yang luhur juga. Dan dia akan semakin rendah bila tatacara pemenuhan yang dia lakukan itu hampir dengan cara yang dilakukan oleh haiwan sehingga dia akan lebih dekat pada sifat kebinatangan daripada sifat kemanusiaannya.
Adapun sebab yang membawa pada perbezaan antara manusia demgan haiwan dalam tatacara pemuasan itu adalah kerana manusia memiliki akal yang mampu untuk menggabungkan dan mengaitkan, berfikir dan menetapkan status hukum sesuatu. Hal ini berbeza dengan haiwan kerana haiwan tidak memiliki akal yang mampu untuk menghubungkan semua itu.
Bersambung ke bahagian 2/2
Sumber: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)