[Ath-Thariq] Syarat-Syarat Kesahihan Sebuah Asas Pemikiran (Bahagian 2/5)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Tahap pemikiran adalah:
- Pemikiran yang rendah.
Pemikiran yang rendah adalah menetapkan segala sesuatu dengan melihat permukaan atau bentuk luar sahaja, tanpa adanya pemerhatian atau usaha untuk memahami berbagai faktor dan keadaan yang mengelilinginya.
- Pemikiran mendalam
Pemikiran mendalam tidak cukup—sebagaimana pemikiran rendah—hanya melihat pada permukaan atau bentuk luar, tetapi ia berupaya memahami sesuatu secara lebih mendalam. Dengan demikian, tahap pemikiran ini layak untuk meneliti zat materi dan susunannya. Namun, ia tidak layak untuk menetapkan hakikat (substansi) segala sesuatu, kerana ia perlu kepada pemahaman tentang keadaan atau faktor segala sesuatu atau benang yang sangat lembut yang mengikat sesuatu itu dengan yang lainnya sehingga tahap pemikiran ini tidak layak untuk menetapkan status berbagai perkara yang tidak boleh diindera.
- Pemikiran cemerlang
Jenis pemikiran ini merupakan satu-satunya penjamin yang menyampaikan kita pada solusi yang sahih untuk memecahkan al-uqdat al-kubra (simpulan besar problematik manusia). Tiada lain kerana ia tidak cukup—sebagaimana dua jenis pemikiran terdahulu—dengan hanya melihat permukaan sesuatu dan mendalaminya, tetapi ia akan melampauinya sehingga sampai pada penelitian tentang apa yang meliputi sesuatu yang diteliti dan ikatan yang menghubungkan sesuatu dengan sesuatu yang lain sehingga boleh diperoleh sebuah ketetapan yang pasti.
Untuk menjelaskan perbezaan antara beberapa tahap pemikiran tersebut, kami akan anjurkan beberapa perumpamaan yang boleh membantu dalam memahami perkara tersebut. Misalnya, seandainya kita meminta tiga orang untuk menetapkan realiti sebuah pokok pada kita, maka beberapa metode yang mereka gunakan untuk menetapkan realiti tersebut adalah sebagai berikut:
Pertama, memandang pokok tersebut, melihat dedaunan, buah yang memiliki bentuk dan corak tertentu, kemudian dia pun menetapkan bahawa pokok tersebut adalah pokok jeruk.
Kedua, tidak cukup dengan hanya melihat, tetapi dia akan memetik buah jeruk dan mengambil daun dari pokoknya, menyelidikinya, kemudian memandang batang dan dahannya, secara umum meneliti pokok tersebut dengan lebih mendalam, kemudian menghasilkan segenap informasi yang diperoleh dalam penelitian tersebut, setelah memahami realitinya secara sempurna, dia pun menetapkan bahawa pokok tersebut adalah pokok jeruk.
Ketiga, dia akan melakukan hal sebagaimana dua orang sebelumnya, tetapi dia akan menghubungkan antara pokok tersebut dengan keadaan pertumbuhannya, tata cara mewujudkannya, dan dari hal itu dapat diperoleh kesimpulan bahawa pokok yang tinggi ini tiada lain berasal dari sebutir biji yang sangat kecil, kemudian bertanya dari mana datangnya biji yang pertama. Dengan pemikiran yang cemerlang, dia dapat sampai pada kesimpulan bahawa pokok jeruk tersebut sesungguhnya diwujudkan meskipun ia dan segala sesuatu di alam tidak suka, dan seterusnya.
Beberapa perumpamaan tersebut diharapkan dapat menjelaskan tiga tahap pemikiran. Yang pertama adalah pemikiran yang rendah yang pelakunya cukup melihat pada (Zahir) bentuk luar pokok tersebut semata, kemudian menetapkan realitinya. Jenis pemikiran seperti ini merupakan pemikiran umum manusia dan tergambar dalam transformasi penginderaan atas realiti ke dalam otak melalui alat indera dan mengaitkannya dengan informasi awal, tanpa meneliti apa pun yang tidak tampak (sebaliknya) dan tanpa berusaha memahami apa yang melingkupi pokok tersebut atau yang berkaitan dengannya.
Inilah tahap berfikir majoriti yang ada dalam pemikiran berbagai jemaah, mereka yang berpemikiran rendah, orang-orang yang tidak berpendidikan, dan tahap ini menjadi wabah yang menimpa berbagai umat dan bangsa, tidak lain kerana tahap pemikiran seperti ini menghambat kebangkitan mereka dan tidak memungkinkan mereka boleh hidup dengan nyaman.
Adapun tahap pemikiran yang mendalam boleh tergambar—dalam contoh kita tadi—usaha mengetahui pokok lebih mendalam dan tidak cukup hanya dengan satu penginderaan pertama—pandangan untuk pertama kali—dan dengan adanya informasi awal tentang itu sahaja, tetapi perlu disertai penginderaan terhadap pokok tersebut secara berulang-ulang dari setiap bahagiannya, inilah tahap pemikiran para ilmuwan.
Adapun pemikiran yang cemerlang—dan ini yang menjadi tuntutan—merupakan jenis pemikiran paling tinggi secara mutlak. Pemikiran cemerlang merupakan ungkapan tentang pemikiran yang mendalam yang diiringi dengan pemikiran tentang sesuatu seputar realiti dan apa yang berkaitan dengannya agar sampai pada berbagai kesimpulan yang benar untuk sebuah tujuan tertentu.
Kecemerlangan dalam berfikir sangat penting untuk mengangkat tahap berfikir sehingga menghasilkan para pemikir atau intelektual. Kecemerlangan berfikir tidak menuntut adanya pendidikan atau pembelajaran.
Seorang Arab badwi mengatakan bahawa najis unta menunjukkan adanya seekor unta, sebuah jejak menunjukkan adanya jarak, dan sebagainya merupakan seorang yang memiliki pemikiran cemerlang, sedangkan seorang ilmuwan atom yang menyembah selain Allah bukanlah seorang yang berpemikiran cemerlang, kerana pemikirannya tidak berfungsi ketika bersujud pada selain Allah Swt..
Berdasarkan hal ini, maka solusi penghurai simpulan besar problematik manusia, tidak boleh tidak, perlu diperoleh melalui metode pemikiran yang cemerlang kerana berbagai persoalan yang ada bukanlah tentang zat segala sesuatu, tetapi tentang apa yang ada sebelum dan sesudah segala sesuatu itu ada, dan tentang hubungan antara apa yang ada sebelum dan sesudahnya.
Jawapannya tidaklah ada pada bentuk luar segala sesuatu yang ada, juga tidak ada pada zat semua itu, jawapan itu semata ada dalam sesuatu yang ada di sebalik segala sesuatu. Ini kerana yang menciptakan segala sesuatu tidaklah menjadi bahagian dari sesuatu, juga tidak menjadi bentuk luar sesuatu, tetapi sesuatu yang sama sekali lain dan berbeza dengan segala sesuatu yang tampak/zahir.
Kerana pemikiran yang cemerlang merupakan satu-satunya penjamin yang membawa kita sampai pada solusi penghurai simpulan besar yang boleh memuaskan akal, pemikiran cemerlanglah yang memenuhi syarat untuk menetapkan berbagai solusi yang dianjurkan untuk memecahkan al-uqdat al-kubra (simpulan besar problematik manusia).
Bersambung ke bahagian 3/5
Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
#fikrulislam #pemikirancemerlang #kebangkitanpemikiran