[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH ALI IMRAN AYAT 140
إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌۭ فَقَدْ مَسَّ ٱلْقَوْمَ قَرْحٌۭ مِّثْلُهُۥ وَتِلْكَ ٱلْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَآءَ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٤٠
“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”
———————-
TETAP KOMITED DALAM MENEGAKKAN ISLAM DAN YAKIN PADA JANJI ALLAH
“Jika kalian terluka atau 70 orang dari kalian terbunuh pada perang Uhud, maka orang-orang kafirpun terluka dan terbunuh pada perang Badar. Demikianlah Allah mempergilirkan kemenangan dan kekalahan antara kaum muslimin dan musyrikin untuk menguji mereka, sehingga terlihat siapa yang beriman dengan sebenar-benarnya, dan untuk memilih sebahagian kalian untuk mendapatkan kesyahidan di jalan Allah. Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim, Dia akan mengazab mereka“.
(Tafsir Al-Madinah Al-Munawwarah, Markaz Ta’dzhim al-Qur’an di bawah pengawasan Syaikh Prof. Dr. Imad Zuhair Hafidz, professor fakulti al-Quran Universiti Islam Madinah)
Antara pelajaran yang boleh kita ambil sebagai peringatan adalah, dalam setiap perjuangan meninggikan agama Allah sudah pastilah akan ada ujian-ujiannya. Misalnya dalam berjihad. Kita akan dihadapkan dengan peluang untuk menang atau risiko kalah dalam bertarung. Akan ada yang terkorban, kehilangan atau mengalami kecederaan yang serius. Begitu juga dalam melaksanakan perintah-perintah Allah lainnya. Misalnya dalam menyampaikan dakwah kepada pemimpin.
“Sesungguhnya sebaik-baik jihad itu adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”
Juga akan ada risikonya (ujian). Namun, apa pun ujian yang kita hadapi, tidak wajar kebimbangan terhadap risiko yang ada dijadikan penghalang bagi diri kita daripada melakukan kewajipan-kewajipan yang diperintahkan. Ini kerana disebalik itu semua juga terkandung hal-hal yang menguntungkan bagi kaum mukmin, semisal keberuntungan mati syahid dan balasan pahala atas ketaatan yang dilakukan. Ujian yang menimpa kita tidak lain adalah ujian keimanan, yang menentukan benar atau tidaknya iman kita kepada Allah swt. Apakah kita akan tetap akur melaksanakan perintah Allah, atau berpaling kerana tidak suka terhadap risiko dihadapan, dan ujian yang menimpa. Padahal sudah jelas kalah atau menang itu ketentuan Allah, dan bagi orang beriman bukan soal kalah menang ukuran utamanya, kerana kedua-duanya mempunyai kebaikan. Yakni, jika mati dalam jihad, maka mendapat kesyahidan (insyaALlah) dan kemenangan disisi Allah kelak, jika menang dalam perang mendapat keuntungan dunia dan pahala berjihad (insyaALlah). Sebab itu penting bagi kita menyandarkan apa saja tindakan dan amal perbuatan adalah demi melaksanakan perintahNya, ikhlas untuk meraih redha Allah. Bukan untuk manfaat dunia. Supaya apa pun situasi menimpa, kita tetap redha dengan ketentuan Allah dan tetap yakin dengan janji Allah. Allah Maha Adil dan Benar, juga sudah berjanji mempergilirkan kemenangan dan kekalahan bagi manusia, supaya manusia tidak lupa nikmat-nikmat yang diperoleh. Dan tidak lupa bahawa Allah lah yang berkuasa menetapkan kemenangan bila Dia berkehendak. Bukan kerana usaha manusia semata.Tapi kita sebagai hamba, perlu berusaha meraihnya sesuai ketetapan-Nya.
Melihat situasi hari ini, ramainya kaum muslim diseluruh dunia yang ditimpa bencana. Menjadi mangsa kezaliman rejim despotik. Bahkan umat Islam yang berdakwah dan sesiapa saja yang membicarakan tentang Islam turut diancam dengan pelbagai bentuk ancaman. Narasi islamofobia dan radikalisme turut dimainkan oleh sebahagian para penguasa ini demi mengawal kehidupan umat dan membungkam kebangkitan. Maka, wajarlah kita merenung kembali peristiwa-peristiwa dalam sirah Nabi, semisal peristiwa perang Badar ini, sebagai refleksi untuk kita terus termotivasi dan tidak pasrah menyerah kalah pada suasana yang mencengkam.
Ayat ini, bersama ayat-ayat Allah lainnya, semisal surah an-Nur ayat 55 – sepatutnya menjadikan kita lebih komited dalam melakukan kerja-kerja ke arah menegakkan agama Allah walau apa pun cabarannya. Kerana itulah lambang keyakinan kita pada janji-janji Allah bahawa kemenangan dan kekuasaan akan kembali kepada kaum Muslim suatu hari nanti. Namun, sudah pasti ia bukanlah keyakinan yang sekadar perasaan tanpa disertai usaha. Ini kerana, Allah Maha Adil sudah pun memberikan petunjuk kepada manusia usaha bagaimana yang perlu dilakukan untuk meraih kemenangan yang dijanjikan. Sebagaimana yang disampaikan dalam surah Al-Kahfi yang bermaksud:
“Sungguh Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami telah memberikan jalan kepadanya (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh suatu jalan”. (TMQ Al-Kahfi: 84-85)
Di sinilah kita perlu mengusahakan sebab dan menempuh jalan untuk meraih apa yang dijanjikan Allah swt. Tidak lain dah tidak bukan, mestilah berdasarkan jalan ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Dan jalan menelusuri (usaha) meraih kemenangan itu sudah pasti tidak sia-sia sekalipun tujuan akhir kemenangan itu belum dapat kita capai semasa hayat kita, namun, menjadi sebahagian daripada kelompok yang memetakan jalan kemenangan tersebut sudah pastilah termasuk dalam perbuatan yang terpuji. Ia adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan kemenangan hakiki ummah ini – meninggikan agama Allah, dan merealisasikan syariat-syariat Allah secara kaffah.
Ayuh, terus komited memperjuangkan agama Allah dan yakin pada janji-janji-Nya dan Rasul-Nya.
“Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkan-Nya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran.”[HR Ahmad]
Wallahua’alam.
#100TahunTanpaKhilafah #1hari1ayat