[Soal Jawab] Bolehkah menjanjikan dan memberi hadiah untuk aktiviti ibadah?
Oleh: Ustaz M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
- Ustaz, bolehkah kita menjanjikan hadiah untuk anak kita yang sedang menghafal Al-Quran? Misalnya, kita janjikan hadiah kepada anak-anak kita jika berjaya menghafal juz amma.
- Ustaz, sebuah masjid mempunyai program memberikan hadiah undian kepada jemaah yang solat subuh berjemaah selama 40 hari secara berterusan. Setiap jemaah yang memenuhi kriteria tersebut akan diberi 1 kupon, lalu diundi, dan pemenangnya akan mendapat berbagai jenis hadiah, antaranya peti ais, motorsikal, dan televisyen. Apakah hukum program seperti ini?
Jawapan:
Dalam kajian fikh kontemporeri, hadiah yang ditanyakan di atas disebut dengan istilah al ja`izah ‘ala fi’li at tha’at (hadiah atas ketaatan) yang didefinisikan sebagai hadiah yang diberikan kepada orang-orang tertentu dengan syarat mereka perlu melakukan amal soleh tertentu atau meninggalkan kemaksiatan tertentu. Contohnya, seorang ayah berkata kepada anak-anaknya, “Barang siapa yang melakukan solat lima waktu setiap hari, akan mendapat hadiah dari ayah.” Atau, “Barang siapa yang tidak berbohong dalam seminggu ini maka akan mendapat hadiah dari ayah.”
Tujuan hadiah tersebut adalah mendorong mereka untuk melaksanakan perintah Allah Swt. atau untuk menjauhi larangan Allah Swt. (Basim Ahmad Hasan Muhammad ‘Amir, Al Jawa`iz Ahkamuha Al-Fiqhiyyah wa Tathbiqatuha Al Mu’ashirah, hlm. 61).
Bolehkah memberikan hadiah untuk tujuan seperti ini? Hukumnya boleh (ja`iz) dan tidak ada larangan (mani’) secara syariat. Dalil syarie yang membenarkan hadiah tersebut ada 2 (dua), iaitu:
Pertama, dalil-dalil umum yang membolehkan ji’alah, iaitu janji untuk memberikan hadiah atas suatu aktiviti tertentu yang diminta oleh pemberi hadiah.
Kedua, dalil-dalil khusus yang membolehkan memberikan hadiah untuk aktiviti-aktiviti ibadah atau ketaatan. (Basim Ahmad Hasan Muhammad ‘Amir, ibid., hlm 62).
Adapun dalil yang membolehkan ji’alah antara lain hadis Abu Sa’id Al Khudri ra. bahawa sebahagian sahabat Nabi saw. pernah melakukan rukyah dengan membaca surah Al-Fatihah kepada seorang pemimpin kaum yang digigit ular, dengan mendapat upah beberapa potong daging kambing. (HR Bukhari, no 5404, Muslim no 2201). Hadis ini membolehkan untuk mengambil hadiah atas suatu ibadah, iaitu melakukan rukyah.
Adapun dalil-dalil yang membolehkan memberikan atau mengambil hadiah untuk aktiviti-aktiviti ibadah dan ketaatan, antara lain: (1) Nabi saw. pernah mengutus para amil zakat untuk memungut zakat dan memberikan upah kepada mereka. Oleh kerana itulah, salah seorang anak bapa saudara Nabi saw. berkata kepada beliau, “Hendaklah Anda mengutus kami untuk mengambil zakat, lalu kami menunaikan tugas kami untuk Anda sebagaimana yang dilakukan orang lain, dan kami pun memperoleh upah sebagaimana yang diperoleh orang lain.” (Wahbah Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, V/691). Hadis ini membolehkan upah tertentu bagi amil zakat yang melakukan ketaatan berupa tugas mengambil zakat.
(2) Nabi saw. pernah bersabda, “Barang siapa yang membunuh seorang musuh [dalam peperangan] maka dia berhak mendapat salab-nya.” (Arab: man qatala rajulan falahu salabuhu) (HR Ahmad III/123; Abu Dawud, no 2717).
Salab adalah harta benda yang terdapat pada musuh kafir yang terbunuh, seperti bajunya, senjatanya, kudanya dsb. (Imam Syaukani, Nailul Authar, hlm. 1577). Hadis ini membolehkan jihad fi sabilillah—sebagai ibadah yang paling utama—dengan mendapat imbalan berupa harta yang terdapat pada musuh kafir yang terbunuh.
Dalil-dalil di atas menunjukkan bolehnya memberikan atau mengambil hadiah sebagai imbalan atas ibadah atau ketaatan yang telah dilakukan. (Basim Ahmad Hasan Muhammad ‘Amir, ibid., hlm. 66). Jadi, hadiah bagi anak yang hafal juz amma, atau hadiah bagi jemaah yang solat Subuh berjemaah, hukumnya boleh dan tidak mengapa. Wallahualam.
#hukumfikh #hadiah #ibadah #reward #soaljawab