[Syarah Hadis] Memberi Hadiah, Menyuburkan Mahabbah
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
تَهَادَوْا تَحَابُّوا
“Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian saling mencintai.” [HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Abu Ya’la].
Imam Bukhari mengeluarkan hadis di atas dalam Adab al-Mufrad, bab “Qabûl al-Hadiyah”, hadis no. 612. Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis ini berturut-turut dari Amru bin Khalid, dari Dhimam bin Ismail, dari Musa bin Wardan, dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW.
Abu Ya’la mengeluarkan hadis di atas dalam Musnad-nya, iaitu hadis no. 6013, berturut-turut dari Suwaid bin Said, dari Dhimam bin Ismail, dari Musa bin Wardan, dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW.
Adapun Al-Baihaqi mengeluarkannya dalam Sunan al-Kubrâ, Syu’ab al-Îmân, dan Al-Adâb li Al-Baihaqi.
Hadis ini juga dikeluarkan oleh Abu Bisyr Muhammad bin Ahmad ad-Daulabi dalam Al-Kunâ wa al-Asmâ’, Tamam bin Muhammad dalam Al-Fawâ’id Tamam, Ibn al-Muqri’ dalam Al-Mu’jam li Ibn al-Muqri’, dan An-Nasai dalam Al-Kunâ.
Ibnu Hajar al-‘Ashqalani dalam Talkhîsh al-Habîr berpandangan, “Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad dan Al-Baihaqi. Ibn Thahir menyatakannya dalam Musnad asy-Syihâb dari jalur Muhammad bin Bukair, Dhimam bin Ismail, Musa bin Wardan dan Abu Hurairah; sanadnya hasan…”
Az-Zaila’i al-Hanafi di dalam Nashb ar Râyah memberi komen hadis tersebut, “Hadis ini diriwayatkan oleh Dhimam bin Ismail dan diperselisihkan. Lalu ia meriwayatkannya dari Musa bin Wardan, dari Abu Hurairah, dan dengan sanad ini Muslim mengeluarkan hadis Abu an-Nadzir. Dhimam juga meriwayatkannya dari Abu Qubail, dari Abdullah bin Amru. Jadi dimungkinkan bahawa Dhimam memiliki dua jalur: dari Abu Qubail dan dari Musa bin Wardan.”
Jalur Dhimam bin Ismail dari Abu Qubail itu diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam Ma’rifah ‘Ulûm al-Hadîs dari Abu Zakariya al-‘Anbari, dari Abu Abdillah al-Busyanji, dari Yahya bin Bukair dari Dhimam bin Ismail, dari Abu Qubail al-Ma’afiri, dari Abdullah bin Amru.
Al-‘Iraqi dalam Takhrîj Ahâdîts al-Ihyâ’ memberi komen hadis di atas, “Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad, dan Al-Baihaqi dari hadis Abu Hurairah dengan sanad jayyid (bagus)”.
Ibnu ‘Adi meriwayatkannya dalam Al-Kâmil dan dia menilai terdapat ‘illat (cacat) pada diri Dhimam. Ibnu ‘Adi memberi komen, “Sesunguhnya hadis-hadisnya tidak diriwayatkan oleh perawi yang lain.”
Namun, pada bahagian awal biografi Dhimam ini, Ibn Adi di dalam Al-Kâmil menukil riwayat dari Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, bahawa ayahnya (yakni Ahmad bin Hanbal) berkata kepadanya, “Tulislah dari Suwaid hadis-hadis Dhimam.”
Tentang Dhimam bin Ismail ini, Al-Mazi dalam Tahdzîb al-Kamâl diantaranya mengatakan, “Abdullah bin Ahmad bin Hanbal mengatakan dari ayahnya bahawa dia (Dhimam) sâlih al-hadîs. Abu Bakar bin Abi Khaitsamah mengatakan dari Yahya bin Ma’in, “Lâ ba’sa bihi (tiada masalah dengannya).”
Abu Hatim berkata, “Dia shadûq (jujur) dan ahli ibadah.”
An-Nasai berkata, “Laysa bihi ba’sun (tiada masalah dengannya). Ibnu Hibban menyebutkannya di dalam kitab Ats-Tsiqât…”5
Dengan demikian, hadis Dhimam layak dijadikan hujah, termasuk hadis di atas.
Imam Malik di dalam Al-Muwatha’ mengeluarkan hadis dari Atha’ ibnu Abdillah al-Khurasani bahawa Rasul SAW juga pernah bersabda,
تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ، وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا، وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ
“Saling berjabat tanganlah kalian, niscaya akan hilang rasa dengki; dan saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian akan saling mencintai dan akan lenyap rasa permusuhan.” [HR Malik].
Hadis Malik ini statusnya adalah hadis mursal, kerana Atha’ ibnu Abdillah al-Khurasani adalah seorang tabiin. Jadi, ada perawi dari thabaqât sahabat yang tidak disebutkan. Namun demikian, tidak disebutkannya perawi sahabat itu tidak berpengaruh kerana para sahabat semuanya—seperti yang dinyatakan oleh para ulama hadis adalah adil. Dengan demikian hadis di atas dan hadis mursal ini boleh dijadikan hujah.
Makna Hadis
Hadis ini menyatakan bahawa saling memberi hadiah merupakan sarana untuk menumbuhkan rasa saling mencintai di antara kaum muslim. Al-Hafizh Ibn Hajar berkata, mengikuti al-Hakim, “Jika dengan tasydîd maka itu berasal dari al-mahabbah dan jika tidak dengan tasydîd maka itu berasal dari al-muhâbâh. Hal itu kerana hadiah termasuk bahagian dari akhlak Islam yang ditunjukkan oleh para nabi dan didorong oleh para pengganti mereka di antara para wali; (boleh) melembutkan hati dan melenyapkan kemarahan di dalam dada.”
Hadiah adalah pemberian dalam makna pemindahan kepemilikan suatu harta kepada pihak lain kerana adanya hubungan, untuk menjalin ukhwah dan kasih sayang, atau sebagai penghormatan. Jelas di dalam hadis di atas adanya perintah untuk saling memberi hadiah. Perintah itu dikaitkan dengan qarînah, iaitu dengan saling memberi hadiah akan tumbuh rasa saling mencintai. Qarînah ini menunjukkan bahawa memberi hadiah itu lebih diutamakan untuk dilakukan. Dengan demikian, itu menunjukkan bahawa saling memberi hadiah hukumnya sunah.
Dalam beberapa riwayat, Rasulullah SAW sangat mendorong agar kaum muslim saling memberi hadiah, bahkan walaupun hadiah itu secara kebendaan nilainya kecil. Beliau berkata, “…walaupun kaki kambing.”
Oleh kerana itu, dalam hal saling memberi hadiah ini, yang mesti dilihat adalah nilai maknawinya, bukan nilai kebendaannya; iaitu dipandang sebagai pemberian tulus, ungkapan dari ukhwah, persahabatan, dan kecintaan. Dengan begitu, hadiah tersebut apa pun bentuknya, betapapun kecilnya, dan berapa pun nilainya akan boleh membangkitkan keredhaan, kecintaan, dan kasih sayang, dan sebaliknya, akan menjauhkan permusuhan.
Akhirnya, kebiasaan saling memberi hadiah akan boleh meningkatkan rasa saling mencintai dan menyayangi. Jika saling memberi hadiah menjadi kebiasaan atau sering dilakukan, maka kesan baiknya akan diperolehi. Kecintaan, kasih sayang, dan ukhwah akan semakin tinggi di antara mereka yang saling memberi hadiah itu. Hendaknya kebiasaan itu kita tumbuh suburkan dengan keimanan dan ketaqwaan. Wallahu’alam bissawab.