[Nafsiyah] Ramadhan Bulan Taubat
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Ramadhan boleh dikatakan sebagai bulan taubat. Oleh sebab itu, hendaklah setiap muslim memperbanyakkan taubat pada bulan ini kerana insyaallah, Allah Swt. akan lebih banyak lagi mengampuni para pendosa yang mahu bersungguh-sungguh bertaubat dari dosa-dosanya pada bulan suci ini.
Taubat dari dosa-dosa adalah salah satu amal yang wajib dilakukan oleh seorang muslim, baik taubat dari dosa besar mahupun dari dosa kecil, baik dosa kepada Allah Swt. mahupun dosa kepada sesama manusia, baik dosa yang disengaja mahupun dosa yang tidak disengaja.
Taubat hendaklah dilakukan dengan penuh kesungguhan. Itulah taubat yang benar-benar murni/tulus (tawbat[an] nashuha). Taubat nashuha ini mempunyai beberapa syarat.
Pertama, penyesalan yang sedalam-dalamnya. Penyesalan tentu saja memerlukan bukti, bukan sekadar kata-kata. Dalam hal ini, Ibnu al-Jauzi rahimahulLah berkata, “Wahai orang yang menyesali dosa-dosanya, manakah bukti penyesalanmu? Manakah tangisanmu atas ketergelinciran kakimu? Manakah rasa khuatirmu atas sakitnya hukuman-Nya? Manakah rasa cemasmu kerana takut atas teguran atau azab-Nya?” (Ibnu al-Jauzi, At-Tabshirah, 1/2971).
Seorang yang benar-benar menyesali perbuatan dosanya tidak akan memandang remeh dosa, termasuk dosa kecil sekalipun. Dalam hal ini, Bilal bin Sa’ad berkata, “Janganlah kamu memandang pada kecilnya dosa. Namun, perhatikanlah kepada siapa kamu berbuat dosa.” (Ahmad bin Hanbal, Az-Zuhd, hlm. 311).
Jadi, jangan sekali-kali meremehkan dosa kecil. Apatah lagi dosa besar, dosa kecil pun sama-sama merupakan maksiat kepada Allah Taala. Lebih dari itu, dosa-dosa kecil, jika sering dan biasa dilakukan, akan menjadi banyak juga jika pelakunya tidak bertaubat kepada Allah Taala.
Oleh kerana itu, seorang muslim sejati tidak akan fokus menghitung-hitung amal kebaikannya. Malah dia akan fokus menghitung-hitung berbagai keburukan atau dosa-dosanya. Dalam hal ini, Bilal bin Sa’ad rahimahullah berkata, “Mengingat amal-amal kebaikanmu berbanding melupakan amal-amal keburukanmu adalah sebuah kelengahan/kelalaian.” (Ahmad bin Hanbal, Az-Zuhd, hlm. 312).
Ini bererti, lebih baik kita sering mengenang dan menghitung amal-amal buruk (dosa/maksiat) daripada banyak mengenang dan menghitung amal kebaikan. Mengenang amal buruk (dosa/maksiat) akan mendorong kita agar banyak bertaubat. Mengenang amal kebaikan akan menjadikan kita merasa cukup dalam beramal soleh. Waspadalah, boleh jadi dosa/maksiat yang kita lakukan jauh lebih banyak daripada amal soleh yang kita lakukan.
Kedua, banyak memohon keampunan (beristighfar) kepada Allah Taala. Meskipun maksum, Baginda Rasulullah saw. sentiasa memohon keampunan kepada Allah Swt. tidak kurang dari 100 kali. Ini menunjukkan bahawa kita, umat Nabi Muhammad saw mesti lebih banyak lagi beristighfar. Ini kerana setiap hari, bahkan setiap waktu, kita melakukan dosa. Oleh kerana itu, di antara doa penting yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah saw. kepada Abu Bakar ash-Shiddiq ra. adalah doa memohon keampunan.
Diriwayatkan bahawa Abu Bakar ash-Shiddiq ra. berkata kepada Rasulullah saw., “Ajarkan aku satu doa yang akan aku panjatkan dalam solatku.” Rasulullah saw. lalu bersabda,
اَللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِيْ ظُلْمًا كثيرًا، وَلاَ يَغفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لي مَغفِرَةً مِنْ عِندِكَ، وَارْحَمْنيِ إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
“Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sementara tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau. Oleh kerana itu, ampunilah aku dengan ampunan dari-Mu dan sayangilah aku. Sungguh, Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Mutaffaq ‘alaih).
Ketiga, bertekad kuat untuk tidak mengulangi dosa yang sama. Dengan kata lain, taubat yang benar harus dibuktikan dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk selalu taat kepada Allah Swt. dan Rasul-Nya. Bukan malah sering terjatuh ke dalam kemaksiatan kepada Allah Swt. dan Rasul-Nya.
Baginda Rasulullah saw. menyebut orang yang banyak bermaksiat sebagai orang yang enggan masuk ke dalam syurga. Beliau bersabda, “Setiap orang dari umatku akan masuk ke dalam syurga, kecuali yang enggan.” Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Beliau bersabda, “Siapa saja yang mentaatiku pasti akan masuk ke dalam syurga. Siapa saja yang bermaksiat kepadaku, bererti dia enggan masuk ke dalam syurga.” (HR Al-Bukhari).
Di antara bentuk kesungguhan agar selalu taat kepada Allah Swt. dan Rasul-Nya adalah dia bersungguh-sungguh dalam beramal. Kesungguhan beramal dibuktikan melalui kesungguhan dalam belajar. Ini kerana, amal yang benar perlu didasarkan pada ilmu, bukan semata dengan kesungguhan. Oleh kerana itu, pasti bohong jika seseorang mengaku bertaubat kepada Allah Swt., lalu berusaha taat dengan banyak beramal, tetapi enggan terus memperbanyak ilmu yang menjadi dasar amalnya. Dalam mempelajari ilmu, tidak ada alasan kerana sudah tua, lalu enggan belajar.
Dalam hal ini, Al-A’masy berkata, “Jika saya melihat orang yang sudah tua masih enggan belajar ilmu fikh (agama), saya sering ingin menamparnya.” (Ad-Daynuri, ‘Uyun al-Akhbar, 2/536).
Demikianlah sikap para ulama dahulu saat melihat orang tua yang enggan belajar agama. Boleh jadi orang yang enggan belajar agama kerana merasa usianya tidak muda lagi. Sesungguhnya, justeru kerana sudah tidak muda lagi lah, mereka perlu lebih giat lagi belajar agama demi mengejar apa yang mereka telah tinggalkan saat mereka muda dahulu. Ini kerana waktu atau umur yang ada hanya tinggal sedikit.
Keempat, tidak menunda-nunda dalam beramal. Seorang yang bertaubat kepada Allah Swt. dengan sungguh-sungguh tidak akan pernah menunda-nunda dalam beramal. Ini kerana dia sedar bahawa kesempatan yang dia ada dalam hidup ini sudah tidak banyak. Lebih-lebih lagi sebahagian hidupnya telah digunakan untuk bermaksiat kepada Allah Taala.
Dalam hal ini, Khalid bin Ma’dan rahimahulLah berkata, “Saat pintu kebaikan telah terbuka di hadapan salah seorang di antara kalian, segerala masuk. Ini kerana dia tidak tahu bila pintu kebaikan tersebut akan tutup kembali.” (Ahmad bin Hanbal, Az-Zuhd, hlm. 311).
Ini bererti, jangan sekali-kali menunda dalam melakukan amal soleh kerana merasa masih banyak kesempatan. Sesungguhnya, kesempatan itu boleh saja tiba-tiba hilang dan tidak akan kembali lagi.
Akhirnya, kita berharap, taubat kita di dunia ini dapat menghapuskan segala penyesalan di akhirat kelak. Sebabnya jelas, di akhirat nanti, banyak manusia yang akan menyesali diri. Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah berkata, “Sungguh, kebanyakan orang-orang yang telah diwafatkan berangan-angan untuk hidup kembali meski hanya sesaat saja agar dia dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan. Sesungguhnya, hal demikian mustahil bagi mereka.” (Ibnu Rajab, Latha’if al-Ma’arif, hlm. 727).
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.
#refleksiramadhan #motivasiramadhan #JomTaubat #AmalSoleh