[Nafsiyah] Persaudaraan Sejati
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [TMQ al-Hujurat (49): 10].
Berdasarkan ayat di atas, sesiapa sahaja asalkan seorang mukmin adalah bersaudara, kerana asas ukhwah (persaudaraan) adalah akidah yang sama. Dengan menggunakan lafaz ikhwah, ayat ini ingin menyatakan bahawa ukhwah Islamiyyah itu lebih kuat daripada persahabatan atau teman biasa. Selain itu, dengan lafaz innamâ, ayat ini memberi maksud hasyr (pembatasan). Ini bermakna tidak ada persaudaraan yang sejati, kecuali antara sesama mukmin (Ash-Shabuni, Shafwah at-Tafâsir, III/217).
Ini menunjukkan bahawa ukhwah Islamiyyah lebih kuat daripada persaudaraan nasab. Persaudaraan antara keluarga boleh terputus kerana perbezaan agama. Sebaliknya, ukhwah Islamiyyah tidak terputus kerana perbezaan nasab. Ini jelas, sebagai contoh, dalam masalah pewarisan. Tidak ada hak pewarisan antara mukmin dan kafir, begitu juga sebaliknya. Dalam urusan kekuasaan, orang Islam tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai wali (pemimpin), walaupun mereka adalah bapa mahupun adik beradik mereka. [Lihat TMQ At-Taubah (9): 23].
Rasulullah SAW juga bersabda, “Mukmin dengan mukmin lain bagaikan satu bangunan, Sebahagian dari mereka menguatkan sebahagian yang lain.” [HR Bukhari, At-Tirmidzi, An-Nasa’i, dan Ahmad].
Baginda juga bersabda, “Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai.” [HR Muslim].
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.
Sumber: ariefbiskandar[dot]com