BERPUASA RAMADHAN DENGAN DORONGAN IMAN
Allah SWT berfirman, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [TMQ al-Baqarah: 286]. Melalui ayat ini kita difahamkan bahawa setiap tugas dan tanggungjawab yang Allah berikan kepada manusia adalah dalam kadar kesanggupan manusia itu sendiri. Malah, dalam keadaan tertentu, Allah memberikan rukhsah (keringanan) kepadanya. Termasuklah dalam hal puasa Ramadan, Allah memberikan keringanan kepada mereka yang sakit atau dalam perjalanan boleh untuk tidak berpuasa, tetapi wajib menggantikannya pada hari yang lain.
Allah bahkan tidak menghendaki kesukaran dalam kita melaksanakan ibadah puasa kerana agama ini tidaklah dijadikan sempit bagi kita untuk mengamalkannya. Namun, masih terdapat segelintir umat Islam yang merasakan sulit untuk berpuasa. Apakah sebenarnya yang menjadi kesulitan? Faktanya, kita masih dapat menikmati segala jenis makanan, hanya waktu pengambilannya sahaja yang berbeza. Ada waktu yang kita perlu menahan diri lebih lama namun tidaklah pernah kita mendengar ada yang mengalami sakit kronik, kecederaan yang teruk atau kematian akibat berpuasa. Sebaliknya, puasa terbukti dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan rohani.
Untuk mengatasi kesulitan menjalani ibadat puasa justeru yang diperlukan selain kesanggupan atau kemampuan adalah dorongan iman. Malah iman adalah faktor pendorong utama dalam menjalani ibadat puasa. Sabda Rasul SAW, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan landasan iman dan semata-mata mengharap redha Allah SWT, nescaya Dia mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu…” [HR Ahmad]. Seorang Muslim tunduk kepada Allah SWT kerana iman mereka. Ia akan membawa kepada takwa, yang bermaksud sentiasa bersedia untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya.
Banyak masalah muncul pada umat Islam hari ini kerana faktor keimanan yang menjadi pendorong untuk mentaati-Nya kian berkurang. Iman mendorong seseorang itu untuk mempunyai keinginan dan kemampuan untuk mematuhi perintah Allah dan menahan hawa nafsu. Ini termasuk juga memupuk keinginan dan keupayaan untuk melaksanakan syariah secara menyeluruh sebagai manifestasi utama keimanan kepada Allah SWT. Umat ini akan kembali kepada kemuliaan mereka dan menjadi umat terbaik, khayra ummah, apabila ibadat puasa Ramadan dilaksanakan dengan dorongan yang benar, iaitu dorongan iman. Semoga Ramadhan ini menjadi permulaan transformasi yang mengembalikan “kuasa umat”.
Sumber: muslimahnewsid