RAMADHAN DAN KETAKWAAN HAKIKI
Dipertemukan dengan bulan Ramadhan merupakan antara kurniaan dan nikmat yang besar dari Allah SWT. Sudah semestinya kesempatan ini digunakan sebaiknya bagi meraih ketakwaan hakiki sebagaimana yang dikehendakiNya; “Hai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana puasa itu pernah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2): 183].
Ketakwaan adalah apabila seseorang berasa takut terhadap semua perkara yang telah Allah haramkan dan berusaha melaksanakan segala perintahNya. Di bulan Ramadhan umat Islam memahami kewajipan berpuasa dengan menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa serta lebih terdorong menjaga diri dari segala bentuk keharaman. Mereka juga dilihat bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah atas dorongan iman agar menjadi individu yang bertakwa.
Namun, ketakwaan individu sahaja tidak mencukupi. Momentum ketakwaan sebegini perlu wujud sepanjang masa serta meliputi bukan hanya individu bahkan masyarakat dan negara. Masyarakat yang bertakwa mesti menyedari akan pentingnya peranan mereka dalam mempertahankan syariat Islam. Realiti menunjukkan pelbagai bentuk maksiat dan perlanggaran syariat masih terus berlaku di bulan Ramadhan. Umat Islam yang bertakwa tentu tidak akan berdiam diri dengan keadaan ini.
Allah SWT menurunkan Al-Quran di bulan ramadhan yang mulia sebagai panduan hidup oleh orang-orang yang berpuasa. Panduan hidup ini meliputi bukan sahaja aspek ibadah dan akidah tetapi juga mengatur muamalah antara manusia meliputi ekonomi, politik, sosial, polisi pendidikan dan sebagainya. Petunjuk al-Quran ini perlu didakwahkan oleh umat Islam di samping mengajak kepada kemakrufan serta mencegah dari kemungkaran.
Namun ketakwaan hakiki hanya akan tercapai sekiranya panduan hidup dari Al-Quran ini dapat dilaksanakan secara kaffah oleh sebuah negara Islam yang pemimpinnya bertakwa. Dengan kepimpinannya negara akan menerapkan syariat, menegakkan hukuman dan menyebarkan keadilan serta mengembalikan hak-hak kepada pihak yang sepatut menerimanya sebagaimana negara juga menggerakkan tentera dan menyebarkan dakwah Islam di seluruh pelusuk dunia. Sabda Rasulullah SAW “Seorang pemimpin adalah pemelihara dan dia bertanggung jawab terhadap pemeliharaannya” [HR Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi dari ibnu Umar]. Semoga Ramadhan ini menjadi pencetus perjuangan ke arah penerapan Islam kaffah sehingga ketakwaan hakiki dapat direalisasikan semula.