[Keluarga] Ramadhan, Momen Keluarga Muslim Menempa dan Memupuk Kesabaran
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Ramadhan merupakan bulan penuh keberkahan. Pada bulan istimewa ini, setiap muslim diperintahkan memperbanyak amal kebaikan agar mendapatkan sebanyak mungkin pahala dan selalu dinaungi keberkahan-Nya. Ramadhan disebut juga syahrus shabr, bulan kesabaran. Pada bulan ini, umat Islam dilatih bersabar melalui ibadah puasa. Menahan lapar dan dahaga adalah latihan sabar. Menahan diri untuk tidak berhubungan suami isteri pada siang hari Ramadhan juga adalah latihan unutk sabar. Begitu juga menahan diri agar tidak marah dan mengumpat termasuk latihan sabar. Rasul saw. bersabda, “Puasa itu separuh sabar.” (HR Tirmidzi).
Sabar Adalah Perintah Allah Taala
Sabar berasal dari kata “sobaro-yasbiru” yang bererti menahan. Menurut istilah, sabar adalah menahan diri dari kesusahan dan menyikapinya sesuai syariat dan akal, menjaga lisan dari celaan, dan menahan anggota badan dari berbuat dosa yang lain. Dalam Al-Quran dijelaskan bahawa bagi orang-orang yang sabar, Allah menjanjikan pahala dengan bilangan yang tidak ada batasnya. Ini sebagaimana firman Allah Swt.,
“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu.‘ Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia akan memperoleh kebaikan. Bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.” (TMQ Az-Zumar: 10).
Imam Ibnu Katsir menjelaskan, Al-Auza’iy mengatakan bahawa pahala mereka tidak ditukar ataupun ditimbang, melainkan diberikan secara borong tanpa perhitungan. Ibnu Juraij mengatakan bahawa pahala mereka tidak diperhitungkan, melainkan ditambah terus-menerus. Sedangkan As-Saddi menyatakan sehubungan dengan firman-Nya ini, “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas, yakni kelak di syurga.” (Tafsir Ibnu Katsir).
Rasulullah saw. bersabda, “Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan mengujinya dengan ujian yang tidak ada ubatnya. Jika dia sabar, Allah memilihnya dan jika dia redha, Allah menjadikannya pilihan.” Sabda Rasulullah yang lain, “Barang siapa yang menempa diri untuk sabar, Allah akan jadikan dia penyabar. Tidaklah seorang diberikan suatu kurniaan yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.” (HR Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan dalil-dalil ini jelaslah bahawa sabar adalah sikap yang diperintahkan oleh Allah Taala. Bukan hanya kerana adanya pahala yang diberikan, akan tetapi memang dijelaskan dalam beberapa ayat dan hadis bahawa Allah Swt. mencintai orang-orang yang sabar. Lebih-lebih saat Ramadhan, pahala yang Allah berikan berlipat ganda. Oleh kerana itu, Ramadhan menjadi momen yang tepat untuk melatih dan menguatkan kesabaran kita agar kita mendapat pahala berlimpah dan menjadi individu yang lebih baik.
Ramadhan Mendidik Keluarga Muslim Bersabar
Saum merupakan medan untuk melatih kesabaran. Mengapa tidak, pada hari-hari di luar Ramadhan, kita bebas makan dan minum pada siang hari. Akan tetapi saat Ramadhan, kita diharamkan makan dan minum kerana diwajibkan berpuasa. Sudah pasti kita memerlukan kesabaran untuk menjalaninya. Kita dilatih menahan hawa nafsu sehingga dapat merasakan penderitaan jika tidak memiliki makanan. Dengan demikian, kita akan menjadi orang yang pandai bersyukur. Kita juga diperintahkan menjaga nilai-nilai puasa sepanjang Ramadhan.
Orang yang melakukan puasa dengan benar, pasti akan sabar menahan hawa nafsu dan emosinya. Dengan demikian, dia terhindar dari perkara yang dapat membatalkan puasa atau mengurangi pahala puasanya. Rasulullah saw. telah menuntun kita bersabar ketika sedang menjalani puasa. Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw. bersabda, “Puasa bukanlah menahan makan dan minum sahaja. Akan tetapi, puasa adalah menahan diri dari perkataan lagwu dan rofats. Apabila ada seseorang yang mencelamu atau mengganggumu, katakanlah padanya, ‘Aku sedang puasa, aku sedang puasa.”” (HR Ibnu Majah dan Hakim).
Jadi, seorang muslim hendaklah bersabar dalam melaksanakan perintah Allah Swt. meskipun perintah itu berat untuk dilakukan. Seorang muslim hendaklah taat pada hal-hal yang telah diwajibkan-Nya, meskipun banyak cabaran yang merintangi. Sabar bukan bererti bersikap pasrah saat berhadapan dengan masalah atau ujian tanpa berusaha menghilangkan permasalahan itu. Namun, sabar dalam Islam didahului atau bersamaan dengan ikhtiar yang maksima untuk sentiasa mencari solusi atas ujian yang sedang dihadapi. Saat semua usaha telah dilakukan, saat ikhtiar mencapai batas maksima, saat itulah sabar bertemu dengan tawakal, berserah diri kepada Allah Taala. Dengan demikian, Allah Swt. akan mengampuni dosa-dosanya. Luar biasa pahala dan berbagai kebaikan yang Allah berikan kepada orang-orang yang sabar. Oleh kerana itu, sudah seharusnya sabar selalu menghiasi akhlak keluarga muslim. Bersama keluarga, kita hendaklah berusaha memupuk kesabaran. Dengan demikian, Ramadhan lebih bermakna dan berpengaruh pada bulan-bulan seterusnya.
Bagaimana Menguatkan Kesabaran Keluarga?
Ketika memasuki Ramadhan, Rasulullah saw. bersabda, “Ramadhan adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya syurga. Ramadhan adalah bulan memberi pertolongan (syahrul muwasah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin di dalamnya.”
Sesungguhnya dengan khutbah ini, Rasulullah saw. mengingatkan keluarga muslim agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak mulia, termasuk bersabar. Ramadhan adalah momen tepat untuk menempa dan menguatkan kesabaran seluruh anggota keluarga. Lalu, apa saja yang boleh kita lakukan?
- Menjelaskan kepada anak-anak bahawa sabar adalah perintah Allah Taala.
Allah Swt. memerintahkan setiap keluarga muslim agar menghiasi dirinya dengan sikap sabar. Ini sebagaimana firman-Nya,
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya, Allah bersama orang-orang yang sabar.” (TMQ Al-Baqarah: 153).
Penting untuk menanamkan kepada keluarga kita bahawa sabar merupakan bahagian dari akhlak terpuji dan sikap yang diperintahkan oleh Allah Taala. Oleh kerana itu, bersabar merupakan bahagian dari hukum syarak yang perlu dilaksanakan oleh keluarga muslim. Hal ini hendaklah dijelaskan kepada anak-anak. Dengan demikian, seluruh anggota keluarga akan faham bahawa menghiasi diri dengan akhlak mulia akan bernilai pahala dan menjadi amal soleh.
- Menjelaskan bahawa sabar akan membawa ke syurga.
Allah Swt. berfirman,
“Mereka itu akan diberi balasan dengan tempat yang tinggi (dalam syurga) atas kesabaran mereka. Di sana mereka akan disambut dengan penghormatan dan salam.” (TMQ Al-Furqan: 75).
Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Allah Swt. berfirman, ‘Tidak ada balasan yang sesuai di sisi-Ku bagi hamba-Ku yang beriman, jika aku mencabut nyawa orang yang dicintainya di dunia, kemudian dia rela dan bersabar, kecuali dengan syurga.‘” (HR Bukhari).
Dalil-dalil ini dengan sangat tegas menjelaskan kepada kita bahawa Allah Swt. menjanjikan syurga bagi orang-orang yang sabar. Siapa pun yang memahami hal ini tentu akan terdorong dan berupaya menghiasi dirinya dengan sabar. Oleh kerana itu, kita hendaklah menanamkan kepada seluruh anggota keluarga agar keluarga kita menjadi ahli syurga. Amin.
- Memberikan contoh yang baik.
Tidak dimungkiri biasanya anak akan meniru tingkah laku orang dewasa, terutama ayah dan ibunya. Ini kerana ibu bapa adalah contoh terbaik dan sosok terdekat dengan anak-anaknya. Usaha menanamkan sikap sabar hendaklah dimulai dari diri kedua ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa hendaklah menjadi teladan yang baik bagi anak-anaknya. Keteladanan juga akan memberikan persekitaran yang baik bagi anak. Dengan demikian, akan lebih mudah membentuk pola kebiasaan berperilaku baik pada anak.
Tugas utama ibu bapa adalah mengasuh, mendidik, memberi teladan mulia, serta mendorong anak-anak agar selalu menghiasi diri dengan kesabaran. Walaupun ia bukan perkara yang mudah, berilah motivasi pada anak agar sentiasa sabar. Sampaikan bahawa dengan bersabar sesuai tuntunan Rasulullah dan perintah Allah, kita akan selamat. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw., “Sabar itu salah satu wasiat dari beberapa wasiat Allah Swt. di bumi. Barang siapa menjaganya, dia akan selamat. Barang siapa menyia-nyiakannya, dia akan celaka.”
- Menyampaikan kisah kesabaran para sahabat kepada anak.
Membacakan atau menceritakan kisah tokoh-tokoh Islam yang sabar menghadapi berbagai cabaran merupakan hal yang baik bagi anak-anak. Beragam kisah ini akan menginspirasi dan membantu mereka memahami nilai-nilai kesabaran.
Salah satu kisah penuh hikmah terjadi pada masa Rasulullah saw., dahulu. Suatu hari, seorang perempuan berkulit hitam datang menghadap Rasulullah. “Aku menderita penyakit sawan (epilepsi). Ketika sakitku datang, aku tidak sedar sehingga auratku tersingkap,” kata perempuan itu. “Doakanlah agar Allah menyembuhkanku,” pintanya.
“Jika engkau mahu bersabar, bagimu syurga,” jawab Rasulullah, “Akan tetapi jika engkau mahu, aku akan mendoakan agar Allah menyembuhkanmu.” Dengan mantap perempuan itu menjawab, “Aku pilih unutk bersabar. Doakanlah agar auratku tidak tersingkap ketika penyakitku datang.” Kemudian, Nabi saw. mendoakannya. Perempuan itu akhirnya menjadi ahli syurga.
- Memberikan pujian atas usaha anak unutk bersabar.
Pada dasarnya, setiap orang akan senang dan bahagia ketika dipuji dalam hal-hal yang positif. Jadi, tidak ada salahnya memberikan pujian dan penghargaan saat anak menunjukkan usaha dalam bersabar. Lebih-lebih lagi untuk bersikap sabar memang bukan perkara mudah. Sabar memerlukan usaha dan latihan yang terus menerus. Pujian tulus yang ibu bapa berikan akan memperkuat perilaku positif anak dan mendorong mereka untuk terus berusaha unutk bersabar. Meskipun hasilnya belum sempurna, menghargai usaha mereka akan memberikan motivasi untuk terus belajar.
Khatimah
Demikianlah, Islam telah menuntun setiap muslim agar menghiasi dirinya dengan berbagai akhlak mulia, termasuk sabar. Tidak mudah, terutama bagi anak-anak untuk menjalaninya. Akan selalu ada ujiannya. Namun, keluarga muslim hendaklah memahami bahawa sabar adalah salah satu sifat mulia yang dicintai-Nya. Allah Swt. menjanjikan berkah dan pahala yang banyak kepada hamba-Nya yang sabar dalam menjalani kehidupan. Dengan demikian, siapa pun akan termotivasi untuk menjalankannya.
Dalam sebuah hadis dijelaskan, “Wahai manusia, barang siapa memperbaiki akhlaknya pada bulan ini, dia akan dapat melintasi Shirat (jambatan akhirat) ketika semua kaki pada saat itu tergelincir. Barang siapa meringankan beban hamba sahayanya pada bulan ini, Allah akan meringankan perhitungan (amal)-nya.”
Semoga hadis ini menjadi motivasi bagi setiap keluarga muslim agar selalu menghiasi diri dan keluarganya dengan akhlak mulia. Terutamanya pada Ramadhan yang mulia ini. Sudah pasti hendaklah terus dilakukan dan makin diperkuat pada bulan-bulan seterusya. Wallahualam bissawab.
#ramadhan #keluarga #islamicparenting #sabar #akhlakmulia