Adakah kita bersedia untuk pulang ke Kampung Akhirat?
Bagi negara ini, Hari Raya Aidilfitri sangat identik dengan fenomena balik kampung. Setiap kali menjelang hari raya, para perantau akan berbondong-bondong memenuhi ruang terminal pengangkutan awam seperti terminal bas, stesen keretapi, dan lapangan terbang. Lengkap dengan barang bawaannya, berupa beg besar, buah tangan seperti kuih raya, juga tidak ketinggalan barang penting yang lain seperti gajet, head phone, powerbank, broadband wifi dan lain-lain agar kepulangannya kelihatan trendy.
Selain menggunakan pengangkutan awam, para perantau juga banyak menggunakan kenderaan peribadi/sewa memenuhi seluruh jaringan jalan raya. Kesesakan lebuhraya agak luar biasa di musim perkataan sehingga memakan masa berbelas jam malah berpuluh jam untuk sampai ke kampung halaman. Walau apa pun caranya, jenis pengangkutannya, yang penting mereka dapat sampai ke kampung halaman untuk menyambut hari lebaran bersama keluarga tersayang.
Mengapa Pulang ke Kampung?
Pasti kalian sudah tahu kan bagaimana rasanya sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman. Mungkin juga kalian berpengalaman pulang ke kampung menjelang hari lebaran. Sepanjang perjalanan darat, kita bakal disuguhi asap-asap kenderaan bermotor yang menyesakkan pernafasan. Kesesakan luar biasa baik di lebuhraya utama mahupun jalan alternatif. Di mana-mana pun sesak, kita hanya mampu pasrah.
Lebuhraya berbayar yang konon menjadi laluan terpantas ternyata menjadi mitos setiap kali musim raya. Pengguna jalan raya masing-masing ingin cepat sampai sehingga ada yang mengabaikan aspek-aspek keselamatan jalan raya.
Kadang-kadang timbul satu persoalan, kenapa perantau sanggup melalui semua kesusahan dan keperihan hanya untuk pulang ke kampung? Banyak yang mengeluh di sosial media akan masalah-masalah yang terpaksa dilalui hanya untuk pulang ke kampung. Namun, itulah pengalaman unik yang berulang setiap tahun. Hasilnya, jawapan yang kita peroleh, biasanya tidak boleh lari dari tiga sebab berikut.
Pertama, silaturahmi. Dalam Islam, silaturahmi terutama saat lebaran bukan sekadar bersalaman. Akan tetapi, silaturahmi adalah buah ketakwaan. Ini sesuai anjuran Rasulullah saw.,
“Siapa yang bertakwa kepada Rabb-nya dan menyambung silaturahmi, nescaya umurnya akan diperpanjang dan hartanya akan diperbanyak, serta keluarganya akan mencintainya.” (HR Bukhari).
Dari Abu Ayyub al-Anshari, Rasulullah saw. pernah ditanya tentang amalan yang dapat memasukan ke syurga. Lantas, Rasulullah saw. menjawab, “Sembahlah Allah, janganlah berbuat syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan jalinlah tali silaturahmi (dengan orang tua dan kerabat).” (HR Bukhari).
Terlebih lagi, silaturahmi juga akan memperpanjang usia dan membuka pintu rezeki kita. Ibnu Umar ra. berkata, “Siapa yang bertakwa kepada Rabb-nya dan menyambung silaturahmi, nescaya umurnya akan diperpanjang dan hartanya akan diperbanyak, serta keluarganya akan mencintainya.” (HR Bukhari).
Kedua, ziarah kubur. Agenda ziarah kubur dilakukan pasca-lebaran. Lebih-lebih lagi saat pulang kampung. Ziarah kubur atok, nenek, kerabat, atau mungkin kedua ibu bapa. Perbuatan ini adalah semata-mata mengikuti ajaran Rasulullah saw. agar kita sentiasa ingat akan akhirat dan kematian sebagai sebuah kepastian.
“Lakukanlah ziarah kubur kerana itu lebih mengingatkan kalian pada akhirat (kematian).” (HR Muslim).
Ziarah kubur juga dapat memberi kebaikan bagi mayit seorang muslim/muslimah yang diziarahi. Ini kerana kita yang berziarah diperintahkan mengucapkan salam kepada mayit, mendoakannya, dan memohonkan ampun untuknya. Dari ‘Aisyah ra., “Nabi pernah keluar ke Baqi’, lalu beliau mendoakan mereka.” Kemudian, ‘Aisyah menanyakan hal tersebut kepada beliau, lalu beliau menjawab, “Sesungguhnya aku diperintahkan untuk mendoakan mereka.” (HR Ahmad).
Ketiga, berkongsi rezeki. Saat pulang ke kampung, biasanya para perantau tidak pulang dengan tangan kosong. Kebanyakannya membawa buah tangan untuk keluarga dan kerabat di kampung halaman. Tidak sedikit yang sudah menyediakan dana lebih lantaran dapat bonus raya untuk berkongsi rezeki. Meski tidak banyak, yang penting dapat berkongsi kebahagiaan dan kebanjiran doa dari sanak saudara. Berkah hartanya. Alhamdulillah.
Sahabat sekalian, apapun tujuan kita pulang ke kampung, semoga tetap penuh keberkahan, ya. Jauhi sifat riak atau ujub, serta takabur. Kebahagiaan bertemu sanak keluarga, semoga menjadi amal soleh yang membuka pintu rezeki dan kebaikan sebanyak mungkin.
Pulang ke Kampung yang Sebenar
Jika melihat orang-orang yang berbondong-bondong pulang ke kampung, jadi ingat diri sendiri. Sebagai hamba Allah, kita semua pasti bakal pulang ke kampung, ke tempat yang abadi. Bukan ke desa, tetapi ke kampung akhirat. Sesungguhnya, kehidupan dunia hanya sementara.
“Wahai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini adalah kesenangan sementara. Sesungguhnya, akhirat itu adalah negeri tempat kembali.” (TMQ Al-Mukmin: 39).
Banyak dari kita yang lupa atau tidak peduli dengan tempat kembalinya kelak. Pulang ke kampung akhirat tidak sedikit pun tersirat dalam benak. Akibatnya leka dan asyik mengejar kesenangan dunia dengan menghalakan segala cara. Malah ada yang tidak peduli akan halal dan haram, yang penting dapat menikmati hidup dan berfoya-foya.
“Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu, serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanamannya mengagumkan para petani. Kemudian, (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning, lalu menjadi hancur. Di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah, serta keredhaan-Nya. Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.” (TMQ Al-Hadid: 20).
Orang yang tergila-gilakan dengan dunia dan lupa akan akhirat, gambarannya seperti yang disampaikan oleh Yahya bin Mu’adz ar-Razi, “Dunia adalah khamar syaitan. Siapa yang mabuk, barulah tersedar diri ketika kematian (yang gelap) itu datang. Nanti dia akan menyesal, bersama dengan orang-orang yang merugi. (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 2: 381).
Rasulullah saw. mengingatkan kita ketika ditanya tentang kehidupan dunia. “Apa peduliku dengan dunia? Tidaklah aku tinggal di dunia, melainkan seperti musafir yang berteduh di bawah pohon dan beristirahat, lalu meninggalkannya.” (HR Tirmidzi).
Oleh sebab itu, jangan sampai kita lupa dengan kampung akhirat, tempat kembali yang abadi. Lebih-lebih lagi pulang ke kampung akhirat itu tidak mengenal waktu, usia, atau status sosial. Ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu lebaran tiba. Juga boleh menimpa siapa saja, tidak kira orang yang berlimpah harta atau orang tua renta. Tidak ada notification (pemberitahuan), meski gajet kita yang terpaling canggih di dunia. Saat ajal menjemput, perjalanan menuju kampung akhirat pun bermula. Maka bersedialah!
Bekal Apa yang Sudah Kita Siapkan?
Sebelum pulang ke kampung halaman, para perantau telah membuat persiapan lebih awal. Antaranya membeli tiket bas, keretapi atau kapal terbang lebih awal. Membuat sedikit simpanan untuk membawa oleh-oleh buat sanak saudara di kampung. Jadi, tidak hairan kenapa para perantau bekerja keras membanting tulang empat kerat demi momen acara tahunan, pulang ke kampung untuk lebaran.
Persiapan pulang ke kampung sahaja memerlukan usaha keras berlama-lama, padahal kita hanya pulang ke kampung hanya untuk berapa hari sahaja, kemudian kita akan kembali ke kota. Bagaimana dengan bekal kita untuk pulang ke kampung akhirat? Seberapa banyak bekal yang telah kita siapkan? Bekal apa yang perlu kita siapkan?
Rasulullah saw. mengingatkan, “Yang mengikuti mayit sampai ke kubur ada tiga, dua akan kembali dan satu tetap bersamanya di kubur. Yang mengikutinya adalah keluarga, harta, dan amalnya. Yang kembali adalah keluarga dan hartanya, sedangkan yang tetap bersamanya di kubur adalah amalnya.” (HR Bukhari Muslim).
Sebagaimana Luqmanul Hakim pernah memberikan nasihat kepada anaknya tentang perumpamaan dunia ini. Dia berkata kepada anaknya, “Wahai anakku! Ketahuilah bahawa sesungguhnya dunia ini merupakan lautan yang dalam dan luas. Oleh sebab itu, hendaklah engkau isi perahumu dengan ketakwaan dan keimanan kepada Allah Swt., sedangkan layarnya diisi dengan tawakal kepada Allah Taala. Mudah-mudahan kamu selamat, tetapi saya tidak melihat kamu selamat.”
“… Berbekallah kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Bertakwalah kepada-Ku, wahai orang-orang yang mempunyai akal sehat.” (TMQ Al-Baqarah: 197).
Sudah jelas, ya, bekal yang kita bawa untuk pulang ke kampung akhirat bukan harta kekayaan, sanak saudara, jumlah follower, subscriber, atau status sosial. Akan tetapi, amal soleh yang lahir dari ketakwaan. Oleh sebab itu, kita mesti menjadi muslim yang cerdas.
Ibnu Umar meriwayatkan, “Kami bersepuluh datang kepada Nabi saw., ketika seorang Anshar berdiri dan bertanya, ‘Wahai Nabi saw., siapakah manusia yang paling cerdas dan mulia?’ Kemudian Rasulullah saw. menjawab, ‘Mereka yang paling banyak mengingat mati dan paling banyak mempersiapkan kematian. Merekalah orang yang paling cerdas. Mereka akan pergi dengan membawa kehormatan dunia dan kemuliaan akhirat.’” (HR Ibnu Majah).
Muslim cerdas akan terbiasa berfikir baik-buruknya dalam kacamata Islam sebelum melakukan sesuatu perbuatan. Tidak asal buat atau ikut-ikut trend. Dia akan belajar menjadikan dunia sebagai ladang pahala, bukan ladang cari kesenangan yang melenakan. Dia berlatih menundukkan hawa nafsu di bawah kendali aturan hidup Islam. Dia bukan muslim bermental beduk yang baru bersuara setelah dipukul. Akan tetapi, dia akan berusaha memberi nilai lebih dalam hidup dengan berdakwah dan menyampaikan kebenaran Islam untuk kebaikan dirinya dan umat. Muslim yang cerdas bukan keturunan Firaun yang akan bertaubat ketika ajal telah mendekat. Kerana dia tahu, hidupnya boleh berakhir bila-bila masa sahaja.
Rasulullah saw. bersabda, “Jika kalian bangun pada pagi hari, janganlah berharap akan (hidup) sampai ke petang hari. Jika berada pada waktu petang, janganlah berharap akan (hidup) sampai esok pagi. Pergunakan masa sihatmu untuk (mempersiapkan) masa sakit dan masa hidup untuk (menyiapkan bekal) kematian, seakan-akan kalian tidak tahu nama kalian esok pagi.” (HR Bukhari).
Sahabat, kita pasti boleh menjadi muslim yang cerdas. Asalkan kita mahu mengenal Islam dengan lebih mendalam yang akan membuatkan kita lebih percaya diri menjalani kehidupan di dunia, juga kehidupan kedua di akhirat. Adakah kita sudah bersedia untuk pulang ke kampung akhirat? Ayuh bersedia!
*Diterjemah dan diolah dari artikel asal.
Sumber: muslimahnews.net
#balikkampung #kampungkahirat #tempatkembali #kampungabadi