[Tafsir al-Quran] Jalan Lurus [Tafsir Surah Al-Fatihah(1): 6-7] [Bahagian 2/2]
Kedua, petunjuk berupa ad-dalâlah wa ad-da’wah wa at-tanbîh (petunjuk, dakwah dan peringatan). [24] Al-Jazairi menyebutnya hidâyah bayân wa irsyâd (petunjuk penjelasan dan keterangan); [25] iaitu petunjuk berupa pengutusan para nabi dan penurunan kitab-kitabNya.
Dalam Surah As-Syura (42): 52 diberitakan bahawa Rasulullah SAW telah memberikan petunjuk kepada manusia menuju jalan yang lurus. Semua nabi yang diutus kepada setiap kaum juga disebut sebagai hâd[in], pemberi petunjuk [Surah ar-Ra’d (13): 7]. Allah SWT juga telah menjadikan para nabi sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintahNya [lihat Surah Al-Anbiya’ (21): 73].
Petunjuk ini juga yang telah diberikan kepada kaum Tsamud. Namun, mereka lebih memilih kekufuran [Surah Fussilat (41): 17]. Begitu juga petunjuk yang diberikan kepada Adam dan anak-cucunya [lihat Surah Taha (20): 123].
Penyebutan al-Quran sebagai hudâ li an-nâs atau petunjuk bagi seluruh manusia [lihat Surah Al-Baqarah (2): 185] boleh dimasukkan dalam pemahaman ini. Al-Quran dinyatakan telah memberikan petunjuk kepada jalan yang lebih lurus [lihat Surah al-Isra’ (17): 9]. Semua petunjuk ini bermaksud penjelasan kebenaran daripada Allah SWT kepada hambaNya.
Petunjuk ini juga diberikan kepada semua mukallaf. Dengan petunjuk itu datang kepada mereka, mereka tidak mempunyai alasan di hadapan Allah SWT jika mengingkari atau melanggarnya [lihat Surah An-Nisa’ (4): 165]. Sebaliknya, jika ada suatu kaum yang belum mendapat petunjuk ini, dijamin mereka tidak akan ditimpa azab [lihat Surah Al-Isra’ (17): 15].
Ketiga, hidayah yang berupa pengukuhan dan pemberian taufik. [26] Dalam hal ini, manusia diteguhkan dan diberi taufik untuk mengikuti petunjukNya yang disampaikan oleh rasul dan kitabNya. Seperti yang dijelaskan di atas, ayat ini [Surah Al-Fatihah (1): 6] termasuk yang mengandungi pemahaman tersebut.
Pemahaman ini juga yang terkandung dalam Surah Muhammad (47): 17 yang menjanjikan tambahan petunjuk bagi mereka yang mendapat petunjuk. Dalam Surah Maryam (18): 76 dinyatakan bahawa Allah SWT akan menambahkan petunjuk kepada mereka yang telah mendapat petunjukNya. Dalam Surah An-Nur (24): 54 juga ditegaskan bahawa mereka yang taat kepada Rasul akan mendapat petunjuk.
Jika hidayah dalam pemahaman pertama dan kedua diberikan kepada semua mukallaf, tidak demikian halnya dengan hidayah dalam pemahaman taufik. Hidayah tersebut hanya akan diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja. Di antara mereka adalah yang berjuang di jalanNya [Lihat: Surah Al-Ankabut (29): 69].
Sebaliknya, terdapat juga beberapa golongan manusia yang tidak diberi hidayah taufik ini. Mereka itu adalah orang-orang yang kafir [lihat: Surah Al-Baqarah (2): 264], orang-orang yang zalim [lihat: Surah al-Baqarah (2): 258], orang-orang yang fasik [lihat: Surah As-Saff (61): 5], melampaui batas lagi pendusta [lihat: Surah Al-Mukminun (40): 28], dan orang-orang yang disesatkan Allah [lihat: Surah An-Nahl (16): 37].
Begitu juga mereka yang berpaling dari kebenaran. Allah SWT juga memalingkan hati mereka [lihat: Surah As-Saff (61): 5]. Orang yang melampaui batas hatinya telah terkunci [lihat: Surah Yunus (10): 74].
Selagi mereka masih terikat dengan sifat-sifat ini, mereka tidak akan mendapat hidayah taufikNya. Oleh itu, jika mereka ingin mendapatkan hidayah taufikNya, mereka hendaklah melepaskan terlebih dahulu segala sifat yang menjadi penghalang. Peluang untuk mendapat hidayah taufikNya terbuka sekiranya mereka bertaubat dari segala sifat jahat tersebut [Lihat: Surah Ar-Ra’d (13): 27].
Berdasarkan penjelasan di atas, jelaslah bahawa yang berperanan secara langsung dalam perkara petunjuk dan dhalâlah ialah manusia. Manusia diberi kebebasan untuk menyahut petunjuk Allah SWT yang disampaikan oleh rasulNya dan dinyatakan dalam kitabNya.
Sudah tentu, pilihan ini mempunyai akibat. Sesiapa yang mengikuti petunjukNya, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sebaliknya sesiapa yang berpaling dari petunjuk dan peringatanNya, nescaya dia akan mendapat celaka di dunia dan akhirat [lihat: Surah Taha (20): 123-124].
Wallahua’lam bissawab.
Sumber: Majalah Alwa’ie edisi Julai 2009
Nota kaki:
1 Ketiga-tiga nama tersebut boleh dilihat dalam Al-Baghawi, Ma’âlim At-Tanzîl, vol. 1 (Riyadh: Dar al-Thayyibah, 1989), 49.
2 Dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah, dinyatakan bahawa surah Al-Fatihah terbahagi kepada dua bahagian. Separuh untuk Allah dan separuh lagi untuk hambaNya. Untuk hambaNya apa yang dia minta.
3 Abu Bakar Ar-Razi, Mukhtâr as-Shihhah (Beirut: Dar al-Fikr, 1992), 827. Lihat juga Ibnu Manzhur, Lisân al-‘Arab, vol. 15 (Beirut: Dar al-Shadir, tt), 353.
4 Taqiyuddin An-Nabhani, As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah, vol. 1 ( Beirut: Dar al-Ummah, 2003), 98.
5 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 1 (Riyadh: Dar ‘Alam al-Kitab, 2003), 147; As-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 1 (Kaherah: Markaz Hijr, 2003), 75-76; Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), 143; As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 1 (Beirut: Dar al-Fikr, tt), 23; Ibnu Juzyi al-Kalbi, At-Tashîl li ‘Ulûm at-Tanzîl, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 46; As-Shabuni, Rawâi’ al-Bayân fî Tafsîr Ayât al-Ahkâm, vol. 1 (Beirut: Dar al-Fikr, tt), 28.
6 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl Al-Qur’ân, vol. 1 (tt: al-Risalah, 2000), 170.
7 As-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 1, 75
8 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 1 (Beirut: Dar al-Fikr, 2000), 24; As-Suyuthi, Ad-Durr al-Mantsûr, vol. 1, 76; As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 1, 23.
9 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl al-Qur’ân, vol. 1, 175; As-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 1, 76; As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 1, 23.
10 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 1, 24;
11 Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 1, 54. Dalam As-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 1, 79 dinyatakan bahawa pendapat tersebut berasal dari Ibnu ‘Abbas.
12 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 1, 24-25.
13 As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 1, 24.
14 As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 1, 23. Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Ibnu Juzyi al-Kalbi, At-Tashîl li ‘Ulûm at-Tanzîl, vol. 1, 46
15 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl Al-Qur’ân, vol. 1, 166.
16 Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 1, 549
17 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 1, 25
18 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, vol. 1, 178-179; As-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 1, 83
19 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, vol. 1, 178
20 As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahmân, vol. 1, (tt: al-Risalah, 2000), 39.
21 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 149; As-Sinqithi, Adhwâ’ al-Bayân, vol. 1 (tt: Dar ‘Alam al-Fawaid, tt), 53.
22 As-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 1, 83-84; 86.
23 Ar-Raghib al-Asfhani, Mufradât Alfâzh Al-Qur’ân (Beirut: Dar al-Fikr, tt), 536. Penjelasan yang hampir sama juga diberikan oleh Al-Qasimi, Mahâsin at-Ta’wîl, vol. 2 (tt: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, 1957), 14-15.
24 As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 1, 33.
25 Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 1 (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hukm, 2003), 15.
26 As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 1, 33.